31 Oktober 2011

Nyamuk Toxo Lawan Aedes



Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melepaskan kira-kira 400 nyamuk gajah atau Toxorhynchites (Toxo) dewasa di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman di sini, dalam usaha mengurangkan pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah penyakit demam denggi di kampung terbabit.

Ia dijalankan di bawah Program Pengawalan Pembiakan Nyamuk Aedes Menggunakan Nyamuk Toxo dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB yang memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi menjayakan program berkenaan.Kampung Sri Aman dipilih sebagai lokasi melalui hasil pemantauan dari 27 Jun hingga 10 Oktober lalu oleh pihak USM.

Dalam pemantauan menggunakan teknik Ovitrap yang dipasang lima hari sebelum dan tujuh hari selepas fogging dijalankan, USM mendapati terdapat banyak pembiakan nyamuk Aedes.

Dekan Fakulti Pengajian Kaji Hayat USM, Prof Abu Hassan Ahmad berkata, USM menerusi Unit Kawalan Vektor sudah membiakkan nyamuk Toxo sejak 20 tahun lalu selepas mendapati nyamuk berkenaan mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes sekali gus mencegah demam denggi.

“Nyamuk Toxo hanya memakan madu bunga dan jentik-jentiknya akan memakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Ia hidup di dalam kawasan hutan hijau dan kerana itulah kita memilih kawasan berhutan untuk melepaskan nyamuk dewasa ini yang akan menetaskan jentik-jentiknya dalam tempoh 3 hingga 4 minggu.

“Pemantauan selepas sebulan pelepasan akan dibuat menggunakan alat khas yang dikenali sebagai Alat Memerangkap Jentik-Jentik Nyamuk (MLTD) bagi memastikan jumlah jentik-jentik aedes yang terdapat di situ,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 wakil JKP dan 20 wakil penduduk Kampung Sri Aman dipilih sebagai Skuad Denggi bagi mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran premis mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Skuad ini dilengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan mengadakan gotong-royong.

Sumber: BHarian

2 comments:

exora berkata...

agak2nya berkesan ker?
tp nyamuk aedes tu mmemang sgt bahaya...
area rmh sy pun ada sj yg kena denggi...

Tanpa Nama berkata...

hehe..nyamuk tu terbang pulang ke?;p