26 Oktober 2011

Guru Menang Anugerah APICTA 2011



Tahniah diucapkan kepada Muhammad Hafiz Ismail (Apis Takkisah).....

Aku tumpang berbangga apabila ada rakan blogger yang berjaya memperolehi satu anugerah istimewa atas daya kreativitinya menulis dan mengusahakan blognya sendiri.

Pastinya ia adalah satu anugerah yang mencetuskan motivasi kepada penulis blog yang lain agar berusaha sebaik mungkin mengusahakan blog mereka agar bukan sahaja menarik, tetapi juga berinfomasi.

Mulai hari ini para blogger bolehlah lebih kerap melawat ke blog "Life Through My Eyes' dan menjadikan blog tersebut sebagai 'penanda aras' untuk memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam blog masing-masing.

"These awards means so much to me and I believe to many people. I believe it will open a new view towards the ICT solutions and also a new perspective towards the education. It will open more eyes, it will grow much more motivation and it will inspire more hearts!" demikian cetusan hati beliau dalam entri bertajuk 'A dedication to my pupils'.

Guru menang Anugerah Apicta Terbaik Perdana Menteri



Kaedah e-Pembelajaran menerusi blog bagi mendidik anak Orang Asli melayakkan seorang guru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik MSC Malaysia (Apicta) Terbaik Perdana Menteri, tahun 2011.

Penerimanya, Muhamad Hafiz Ismail, 25, merupakan seorang guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara), Perak berjaya mengetepikan kira-kira 250 calon lain dalam kategori yang sama.

Anak kelahiran Kedah itu memenangi anugerah tersebut dengan blog www.apistakkisah.blogspot.com yang bertajuk Life Through My Eyes: A teacher's little steps towards perfection dengan menceritakan pengalaman tahun pertamanya di sekolah berkenaan.

"Saya ingin berkongsi pengalaman suka-duka bersama rakan yang lain dalam dunia pendidikan mengenai kaedah yang digunakan oleh saya untuk mendidik murid terutama anak Orang Asli supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

"Blog ini juga merupakan satu bentuk jaringan untuk guru meluahkan dan berkongsi apa sahaja mengenai pengalaman mereka memandangkan di negara ini agak jarang adanya jaringan bagi menghubungkan warga pendidik," katanya.

Tambah Muhamad Hafiz, kandungan dalam blognya itu turut telah dibukukan oleh penerbit Universiti USCI dan MPH.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia adalah penganjur bersama anugerah tersebut.

Menurut kenyataan itu 246 syarikat tempatan, individu dan pelajar menghantar penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) buatan Malaysia mereka untuk bersaing dalam 19 kategori dan 35 pencalonan dipilih sebagai sama ada pemenang atau merit dalam kategori masing-masing.

Bagi Anugerah Projek Pelajar kategori Menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor manakala kategori Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Dua Sungai, Mukah, Sarawak.

Sementara itu, Idottv Sendirian Berhad pula memenangi merit bagi Anugerah Teknologi Hijau Terbaik dengan memperkenalkan produk bil 'hijau' yang akan memasuki pasaran pada akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrin Mohd. Noor berkata, fokus produk itu adalah bagi mengurangkan penggunaan kertas ke atas bil telefon bimbit oleh syarikat telekomunikasi.

"Dengan adanya bil hijau ini, pengguna boleh menyemak penggunaan alat komunikasi menerusi telefon atau online bagi mengurangkan pergantungan dan penggunaan kertas yang berlebihan.

"Kajian juga menunjukkan setiap tahun penggunaan kertas bil telefon mampu membentuk 222 Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan anggaran 10 juta pengguna," ujarnya.

Antara pemenang ialah:

1. E-Kerajaan Terbaik (IRIS AXESS P5000) -- IRIS Corp Bhd;
2. Keselamatan Terbaik (Secure Token ST3) -- SecureMetric Technology Sdn Bhd;
3. Aplikasi Kewangan terbaik (Digital Transaction Banker) -- eBworx Bhd;
4. Syarikat Baharu Terbaik -- Open Dynamics Sdn Bhd; and,
5. Projek Perisian/Perkakasan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Terbaik (Health3) -- Asia Pacific University College of Technology & Innovation.

Menurut kenyataan itu, para pemenang akan bersaing di peringkat antarabangsa di Anugerah International APICTA di Pattaya, Thailand, lewat tahun 2011 ini.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata anugerah tersebut merupakan wadah yang menekankan hasrat kerajaan untuk menjana kreativiti dan inovasi bagi menerajui kekayaan, kualiti dan kesejahteraan masyarakat untuk negara.

"Malahan, Laporan Bank Dunia 2010 menyenaraikan inovasi sebagai satu daripada tiga pembaharuan yang perlu untuk memacu keluaran dalam negara kasar Malaysia sebanyak lima peratus atau lebih lagi tahun ke tahun," katanya.

Sumber Foto: Life Through My Eyes
Sumber Berita:  BERNAMA dan Utusan

1 comments:

chegu abbas berkata...

saya amat berbangga denga beliau sebab beliau adalah senior saya....