26 Oktober 2011

Insenerator Mengatasi Krisis Sisa Pepejal



PEJAMKAN mata seketika dan bayangkan tapak pelupusan sisa pepejal ditimbuni bertan-tan sampah-sarap yang dibuang penduduk setiap hari. Timbunan sampah-sarap yang dibuang saban hari itu tentu sekali akan menyebabkan bau busuk menusuk hidung.

Tolak ketepi soal bau hakikatnya, semakin banyak timbunan sampah-sarap semakin bumi ini tercemar. Selain pencemaran udara, tapak pelupusan sampah-sarap pepejal juga mencemarkan tanah dan air.


SEMAKIN banyak tapak pelupusan sampah-sarap yang kita bina, semakin teruk kita mencemari bumi.

Namun, ramai yang tidak pernah mempedulikan mengenai pusat itu apatah lagi untuk mengetahui ia mempunyai jangka hayat. Semakin banyak sampah-sarap ditimbunkan di sesuatu lokasi lagi cepat ia menemui jangka hayatnya. Ia mungkin hanya memerlukan tempoh lima hingga 10 tahun bergantung kepada keluasan dan jumlah sampah yang diletakkan di situ.

Apabila pusat tersebut tidak lagi boleh menerima sampah-sarap, kita perlu membuka satu lagi pusat baharu. Demikian prosesnya berterusan. Persoalannya sampai bila kita akan secara terus bergantung terhadap tapak pelupusan sisa pepejal untuk melupuskan sampah-sarap.

Menyedari kepentingan itu, Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd. menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation yang berpangkalan di Jepun membawa teknologi insinerator dalam memberi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.


TIMBUNAN sampah-sarap di merata-rata tempat boleh mengundang pelbagai penyakit. - Gambar hiasan

Pengarah Urusan Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd., Jini Wat, berkata, teknologi insinerator merupakan satu keperluan untuk mengatasi masalah sampah-sarap terutamanya melibatkan tapak pelupusan sisa pepejal.

“Buat masa ini, negara tidak mempunyai teknologi insinerator dan kita menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation untuk memastikan kepakaran mereka dapat dimanfaat sepenuhnya.

“Sudah terdapat beberapa negara yang menggunakan teknologi dari Jepun ini untuk mengatasi masalah tapak pelupusan sisa pepejal mereka,” katanya kepada Kosmo!

Pemindahan teknologi luar

Melalui kerjasama yang terjalin, Jini Wat menambah, teknologi luar dapat dibawa masuk ke negara ini sekali gus membuka peluang kepada penduduk tempatan mempelajari teknologi baharu itu.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan kepakaran dalam mengatasi sisa pepejal. Bukan sahaja dapat mengetahui mengenai teknologi terbaharu tetapi, mempelajari keberkesanan teknologi insinerator,” ujarnya.

“Melalui insinerator, terdapat beberapa proses perawatan sisa pepejal yang lebih berkesan perlu dilalui terlebih dahulu agar ia tidak menggugat alam sekitar.

“Antara proses itu termasuklah sistem penerimaan sisa pepejal, sistem dandang dan insinerator, sistem penggunaan haba sisa pepejal, sistem rawatan gas serombong dan sistem rawatan abu,” katanya.

Selain daripada itu, dia menambah, pembikinan insinerator turut dapat membantu memanjangkan lagi jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal. Katanya, ia sekali gus dapat menjadi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.

Pelbagai kelebihan insinerator


TEKNOLOGI Hitachi Zosen diguna pakai di beberapa buah negara maju dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu, Pengurus Besarnya, Bahtiar Affendi Ishak memberitahu, proses insinerator dapat membekalkan tenaga kepada pengguna bermakna tenaga yang terbiar tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

“Penggunaan teknologi ini bermakna sampah-sarap yang telah menjadi abu akan dikitar untuk dijadikan produk agar dapat digunakan semula.

“Selain daripada itu, ia juga dapat membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna yang memerlukannya,” katanya lagi.

Secara tidak langsung, Bahtiar berkata, insinerator membantu mengurangkan pemanasan global dan pencemaran alam sekitar kerana menguna pakai semula bahan buangan. Ujarnya lagi, banyak negara-negara sudah menggunakan teknologi insinerator dalam pengurusan sisa pepejal mereka.

“Antara negara-negara yang menggunakan teknologi Hitachi Zosen Corporation termasuk Jepun, Taiwan, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.


PENGGUNAAN insinerator dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.

“Jangan terkejut kerana terdapat tapak insinerator di luar negara turut membenarkan orang ramai memasuki premis mereka kerana dijadikan taman untuk orang ramai,” katanya.

Sebagai contoh, dia memberitahu, di Peitou, Taiwan, terdapat restoran dan peninjau di menara serombong.

Bahkan katanya, tapak insinerator-insinerator yang dibangunakan di luar negara terletak berhampiran dengan bandar utama.

Harapan insinerator

Dalam pada itu, Jini Wat menambah, dia berharap pendedahan mengenai kepentingan insinerator dapat membantu dalam pembikinan insinerator di negara ini.

Katanya, insinerator banyak memberi faedah apatah apabila berdepan masalah tapak pelupusan sisa pepejal dalam jangka masa panjang.

“Sebagai contoh, dahulu orang takut menaiki kapal terbang tetapi kini hampir semua orang menggunakan perkhidmatan penerbangan kerana memudahkan mereka.

“Ia sama juga dengan teknologi insinerator ini,” katanya.

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
Sumber: Kosmo

0 comments: