17 November 2011

Hari-Hari Terakhir Aku Bersama Ibuku



Ibuku telah mengalami sakit sendi lututnya dalam tempoh yang terlalu lama. Aku tidak ingat bila ianya bermula. Tetapi aku yakin ianya disekitar tahun 2007. Seingat aku, aku membelikan tongkat berkaki empat untuk ibuku di saat aku baru mempunyai tiga orang anak. Anak ketiga aku pada masa itu baru mula belajar untuk bercakap.

Suatu yang aku sangat kagum dengan ibuku ialah semangatnya yang kuat. Dia masih kelihatan cergas bergerak ke hulu dan ke hilir dengan tongkatnya melawan kesakitan sendi lututnya setiap hari.

“Kalau aku layan sakit lutut aku ini, dah lama dah aku berkerusi roda macam Si Tom tu,” beritahu ibuku sambil mengaitkan dengan apa yang berlaku terhadap rakannya Makcik Tuminah yang mengalami penyakit yang sama.

Mohon Cuti Rehat

Selepas tamat satu kursus di Summit USJ, Subang Jaya pada 12/10/2011, aku terus pulang ke kampung halaman ku untuk menemui ayah dan ibuku. Aku telah memohon sehari cuti rehat dengan majikanku memandangkan tempat kursus telah hampir dengan kampung halaman aku. Lebih-lebih lagi aku belum pernah menggunakan cuti rehat aku tahun ini yang berjumlah 7 hari semuanya.

Aku meluangkan masa aku bersama ibu-bapaku selama 2 hari 1 malam.

Sepanjang tempoh aku bercuti, aku lihat ibuku lebih banyak menghabiskan masanya berbaring dan tidur. Tidak banyak pergerakan yang dia lakukan.

Dia tidak lagi rancak berbual seperti kebiasaannya ketika menemankan aku makan malam. Seperti biasa aku hanya banyak mendengar daripada membuat respons terhadap kata-katanya.

Tidak banyak yang aku ingat dengan apa yang dikatakannya. Dia hanya menceritakan kudratnya semakin berkurang. Dia mengakui sakitnya sendi lututnya sudah semakin teruk. Dia turut bercerita suatu ketika akibat ketidak-upayaannya dia telah terjatuh semasa berada di dalam bilik air.

Dia memaklumkan bahawa akibat sakit sendi lututnya yang semakin teruk, dia tidak lagi mampu bergerak melakukan exercise menggunakan tongkatnya bagi melembutkan sendi lututnya yang sakit setiap pagi sebagaimana yang biasa dilakukannya dahulu.

Kerja-kerja mengurus rumah-tangga pun tidak lagi dapat dilakukannya. Kerja-kerja membasuh pakaian dan memasak banyak dilakukan oleh ayahku. Demikianlah kata ibuku menceritakan perjalanan hidupnya kini sambil berbaring. Sesekali dia kan memejamkan matanya dan mengerutkan dahinya sambil merintih kesakitan.

Halwa Buah-Buahan.

Esoknya ketika aku sedang makan tengahari sebelum berangkat pulang ke Temerloh, ibuku ku lihat sedang bersusah payah mencari dan membungkus sesuatu sebagai ole-ole untuk ku. Walau dalam keadaan lututnya yang sakit, beliau gagahkan dirinya sambil terhencut-hencut berjalan menngunakan tongkatnya.

Dia memberikan kepadaku sebalang halwa betik kepadaku. Dia meminta aku memanaskan air halwa tersebut apabila sampai di rumah kelak. Dia mengatakan sudah lama air halwa tersebut tidak dimasak semula kerana ketidak-upayaannya.

Aku cuba menolak pemberiaannya dengan alas an di rumahku masih banyak lagi halwa tersebut yang belum sempat kami makan dan habiskan.

“Tak apalah ambil saja. Tinggal ini saja yang tinggal. Lepas ni aku tak buat dah. Yang ini pun aku dah lama tak panaskan airnya,” katanya lalu dia mengajar kepada ku cara-cara untuk memasak semula air gula halwa tersebut.

Dia mengiringi pemergianku di muka pintu. Aku tak tahu sampai bila dia berada di situ. Di saat aku telah menggerakkan keretaku dia masih lagi di situ di atas kerusi sambil memegang tongkatnya. Aku lihat seolah-olah dia begitu berat melepaskan aku pergi.

Itulah kali terakhir di mana di saat aku pulang menziarahinya, dia masih lagi mengenaliku.

Sakit Kuat

Selepas cuti sambutan Deepavali, adik lelakiku Salleh memaklumkan penyakit mak aku bertambah teruk. Dia tidak lagi mahu bercakap. Pandangannya semakin kabur, pendengarannya semakin berkurang. Dia tidak lagi mahu makan. Tidak langsung boleh bangun daripada tempat tidurnya.

Dia meminta aku pulang jika berpeluang. Tinggal aku dan keluaga sahaja yang belum menziarahinya sepanjang dia berkeadaan sedemikian.

Pada Jumaat 4/11/2011 aku bercadang pulang pada petang tersebut. Segala keperluan pakaian telah isteriku kemaskan. Bagaimanapun di saat kami berhasrat untuk bergerak selepas solat Asar, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Aku menunggu hujan berhenti. Malangnya hujan terus turun mencurah-curah dengan lebatnya sehingga tengah malam.

Akibatnya pada hari sabtu selepas zohor barulah aku dapat memulakan perjalanan pulang menuju ke kampungku. Lebih kurang pukul 5.00 petang barulah aku sampai ke rumah ibu-bapaku. Saudara-mara sebelah ibuku (sepupu ibuku dan anak-beranak mereka) dari Mersing ada di rumah ketika itu menziarahi ibuku. Mereka semua duduk mengelilingi ibuku.

Aku merasa sangat sayu melihat ibuku yang terbaring tidak bermaya. Aku lihat hanya nafasnya sahaja yang turun naik. Tubuhnya begitu kurus dengan kulit yang kelihatan kering. Barangkali kerana kekurangan air kerana kurang meminum air.

Salah seorang daripada sepupu ibuku yang merupakan teman sepermainan ibu ketika mereka masih kecil duduk bersebelahan ibuku sambil mengurut-urut lembut tubuh ibuku.

“Munah, aku balik dulu. Maafkan aku Munah,” kata sepupu ibuku itu sambil mencium dahi dan pipi rakannya itu beberapa kali. Aku lihat air mata sepupu ibuku itu mengalir membasahi pipinya.

Ibuku Tak Kenal Aku

Setelah semua tetamu pulang meninggalkan rumah, aku memegang tangan ibuku. Aku memanggil ibuku. Dia membuka matanya dan memandang ke arahku.

“Kau siapa?” aku terkejut kerana ibuku tidak lagi mengenali aku. Aku memandang ke arah adikku, Ina.

“Mak! Ini Din dah balik,” kata adikku Ina ke telinga ibu.

“Din mana?” tanya ibuku pula sambil matanya terus terpejam.

Malam itu aku duduk makan malam pada kerusi berdekatakan dengan ibuku terbaring. Semasa aku makan malam aku mempelawanya makan apabila aku melihat dia membuka mata.

Dia menggeleng tak mahu. Dia kemudiannya kembali menutup matanya. Aku lihat dia kerap kali menguap seolah-olah tidak cukup tidur.

Beberapa ketika kemudian dia pun berkata.

“Aku ni dah nak mati Din. Aduh… sakitnya….,” katanya sambil merintih kesakitan. Kali ini aku dapati ibukusebenarnya kenal dan ingat dengan aku.

“Esok kita pergi Hospital ya mak?” kataku pula.

“Tak nak….” Kata ibuku sambil menggeleng.

“Aku berat nak hantar mak kamu ke Hospital. Nanti siapa nak jaga mak kamu di sana? Aku ni pulak tak larat nak berulang ke sana menaiki bas”, kata bapa aku kepada aku sebelum dia merebahkan tubuhnya untuk berbaring dan tidur bersebelahan ibuku.

Ke Hospital

Esok harinya pada waktu 12 tengah hari Ahad di hari sambutan Aidil Adha, atas inisiatf adikku Jamal dan abang iparku Arifin, ambulan dipanggil datang ke rumah mengambil ibuku untuk di hantar ke Hospital.

Ibuku menerima rawatan di Hospital Banting. Berbagai jenis salur disambungkan ke tubuh ibuku. Salur gas untuk membantu pernafasan. Salur air untuk menambah kandungan air badannya. Salur makanan untuk menyalurkan ubat. Salur air kencing untuk mengumpul air kencingnya.

Pada waktu malam kakak sulungku, Kak Kam bersetuju untuk menjaganya.Mujurlah anak-anaknya semua telah besar dan boleh ditinggalkan di rumah bersama bapanya.

Pada waktu pagi hari Isnin adik iparku Zarina mengambil alih tugas menjaga ibu. Adikku Sarina mengambil cuti pada hari Selasa untuk membolehkannya menjaga ibu kami pada waktu pagi tersebut.

Bapaku rasa terkilan kerana tidak dibenarkan menemani ibuku. Kami adik beradik lelaki dan bapaku hanya dibenarkan menziarahinya pada waktu melawat sahaja. Mujur hari Ahad dan Isnin pada ketika itu adalah hari cuti sempena Aidil Adha. Maka dapatlah kami adik beradik lelaki dan bapaku menemani ibuku daripada jam 1.00 hingga 6.00 petang.

Pulang Ke Temerloh

Petang Isnin aku lihat ibuku kelihatan lebih stabil. Aku berharap dia akan semakin sihat pada hari berikutnya.

Aku menyalami ibuku dan mengucup dahinya sebelum pulang.

Petang itu juga pada jam 6.30 petang aku sekeluarga bertolak ke Temerloh dengan perasaan yang berat. Aku benar-benar berharap ibuku pulih dari penyakitnya agar dapat aku bertemunya semula pada hujung minggu nanti.

Aku tidak dapat membendung perasaan sayu dan pilu ku kerana terpaksa meninggalkan ibu dalam keadaan beliau sedemikian.

Sepanjang memandu selama empat jam aku dan isteri tidak langsung bercakap-cakap. Aku selalu sahaja terimbas kenangan bersamanya sejak aku kecil sehingga aku dewasa. Terlalu banyak perkara yang membuatkan aku terkenangkan padanya.

Disebabkan keperluan kerjaya, aku terpaksa berjauhan darinya. Di saat dia sakit tenat pun aku tidak dapat menemaninya di hospital.

Berita Pilu

Adikku, Saleh menghubungi aku sekeluarga untuk memaklumkan ibu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 5.50 pagi Selasa 9/11/11. Doktor mengesahkan ‘Sepsis With Upper Gastro Intestinal Bleeding‘ iaitu sejenis penyakit dalam usus sebagai penyakit punca kematiannya. Ibu ku meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Disebabkan keperluan menguruskan anak-anak. Memastikan keselamatan rumah sebelum kami tinggalkan, dan jarak perjalanan dari Temerloh ke Banting yang agak jauh, aku hanya sampai ke rumah pada jam 12.30 selepas jenazah selesai diuruskan dan semua kaum kerabatku yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan semuanya telah berkumpul di rumah.

“Dah selamat dah Din. Maaflah sebab tak dapat tunggu kau. Tak dapatlah kau jumpa mak,” kata abang iparku Arifin.

“Tak apa. Aku memang rasa tak dapat nak sampai awal. Lagi pun aku dah jumpa dia Hari Raya Haji hari tu,” jawab ku melindungi perasaan terkilanku kerana tidak dapat menatap wajah ibuku dan mengucup dahi ibuku buat kali terakhir.

“Kalau rasa dah tak sempat, buat apa balik, tak payah lah balik,” kata bapaku.

Aku tak tahu apakah ada maksud lain daripada luahan kata-katanya. Bagaimanapun daripada nadanya kata-kata tersebut bukanlah bermaksud memarahiku. Bagaimanapun kata-katanya membuat hatiku sangat pilu. Air mataku menitik tanpa dapat aku tahan lagi.

Hati mana yang tidak terasa pilu, di saat jenazah ibu diuruskan sehinggalah jasadnya dikebumikan, aku gagal untuk berada disisinya buat kali terakhir.

Hatiku terus dilanda sayu dan pilu tiap kali aku melihat tongkatnya yang tegak sepi di tepi katil dan tiap kali aku melihat katil tempat ibuku sering berbaring dan tidur.

“Nenek mana, umi?,” tanya Aina anak aku yang nombor tiga kepada ibunya pada hari ketiga kami berada di kampong selepas ibu aku meninggal dunia. Dalam usia 6 tahun barangkali dia belum memahami akan situasi ini.



Apa yang dapat aku lakukan kini adalah mendoakan agar ibuku diberikan keampunan oleh yang Maha Esa. Doaku juga agar ibu ditempatkan bersama-sama orang yang beriman bertaqwa dan beramal soleh. Moga roh ibuku dicucuri rahmat Allah dan aman di alam Barzakh.

Dia Ibuku….

Al-Fatehah…

1 comments:

Jahirah berkata...

salam takziah....sedih baca entry ni...