04 November 2011

PPSMI Boleh Diteruskan Hingga Tingkatan Lima

Pelaksanaan penuh pada 2021

Semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara diberi kebebasan penuh untuk menentukan sama ada untuk terus menggunakan bahasa Malaysia (BM) atau bahasa Inggeris (BI) dalam pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga kohort terakhir tamat pada 2015 serta 2020. (BHarian)



KERAJAAN pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan bahasa Tamil di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun 2011 ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun 2012 telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Sumber: Kosmo



Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun 2012.

"Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

"Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Sumber: BERNAMA

Muhyiddin juga berkata kajian Kementerian Pelajaran mendapati kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah menggunakan sepenuhnya BI dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 sekolah menggunakan BI dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains," katanya.

Sumber: BHarian.

0 comments: