31 Disember 2011

Pendapatan Dan Perolehan Yang Dikecualikan Cukai



Sebahagian besar pembayar cukai tidak mendedahkan pendapatan sebenar mereka ataupun kesemua sumber pendapatan kerana khuatir mereka terpaksa membayar kadar cukai yang tinggi.

Bagaimanapun, mereka tidak harus lupa yang terdapat peruntukan-peruntukan relevan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memberikan pengecualian cukai terhadap pelbagai jenis pendapatan dan perolehan yang diterima pembayar cukai.

Mari kita lihat apa dia pengecualian yang mereka boleh nikmati. Ringkasan di bawah menunjukkan pengecualian yang relevan kepada orang ramai.

PAMPASAN KERANA KEHILANGAN PEKERJAAN
Pampasan kerana pemberhentian kerja atas sebab kesihatan adalah bebas cukai sepenuhnya. Pengecualian yang sama diberi kepada mereka yang diberhentikan atas perjanjian yang mengekang hak mereka untuk meneruskan dengan pekerjaan lebih kurang sama.

Jika tidak, pengecualian itu dikira pada kadar RM10,000 bagi genap setiap tahun perkhidmatan bersama majikan yang sama atau dengan syarikat-syarikat dalam kumpulan yang sama. Pengecualian cukai sebanyak RM10,000 berkuatkuasa kepada bayaran yang dibuat kepada mana-mana individu yang berhenti kerja pada atau selepas 1 Julai 2008.

FAEDAH ATAU DISKAUN TERHADAP SEKURITI KERAJAAN ATAU BON

Faedah atau diskaun yang dibayar atau dikredit kepada mana-mana individu berkaitan dengan Bon Simpanan Malaysia yang diterbitkan oleh Bank Negara atau yang berkaitan dengan mana-mana sijil simpanan yang diterbitkan atau dijamin oleh Kerajaan juga terkecuali daripada cukai.

Faedah terkumpul daripada Bon Simpanan Malaysia Siri Kedua (BSM 2) oleh Bank Simpanan Nasional juga diberi pengecualian.

FAEDAH ATAU DISKAUN DEBENTUR, SELAIN DARIPADA STOK PINJAMAN BOLEH TUKAR

Berkuatkuasa Tahun Taksiran (Y/A) 2003, faedah, pendapatan yang diperoleh individu-individu daripada debentur selain daripada stok pinjaman boleh tukar yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti adalah dikecualikan daripada cukai.

Berkuatkuasa daripada Y/A 2006, pengecualian ini dilanjutkan bagi diskaun dan berkuatkuasa Y/A 2010, ia turut mengambil kira diskaun daripada Sekuriti Islam.

BIASISWA

Jumlah yang diterima oleh seseorang individu dalam bentuk biasiswa atau geran atau elaun lain yang serupa, tidak kira sama ada ia berkaitan dengan penggajian individu itu, adalah bebas daripada cukai.

GANJARAN PERSARAAN (GRATUITI)

Ganjaran persaraan yang dibayar oleh kerana masalah kesihatan ketika mencapai usia persaraan atau selepas mencapai usia persaraan wajib 55 tahun ataupun mana-mana usia persaraan wajib yang lain daripada satu penggajian selama 10 tahun bersama majikan yang sama atau dengan syarikat-syarikat dalam kumpulan yang sama adalah bebas cukai.

Bagi mereka yang lain, berkuatkuasa Y/A 2007, pengecualian penuh cukai pendapatan diberikan bagi manfaat persaraan jika persaraaan wajib itu adalah pada usia 50 tahun dan bukan 55 tahun dengan syarat mereka yang berkenaan telah berkhidmat dengan majikan terakhir itu tidak kurang daripada 10 tahun.

Pengecualian atas syarat umur persaraan wajib ini tertera dalam kontrak penggajian ataupun dalam perjanjian kolektif antara majikan dan pekerja.

Ganjaran persaraan gantian cuti rehat (golden handshake) yang dibayar kepada petugas kerajaan selepas persaraan ataupun selepas penamatan kontrak penggajian adalah bebas cukai sepenuhnya.

PENCEN

Pencen yang diperoleh dari Malaysia oleh seorang individu yang mencapai usia 55 tahun atau usia persaraan wajib yang lain atau bersara atas sebab kesihatan tidak tertakluk kepada cukai pendapatan.

Bagaimanapun, jika seseorang itu menerima lebih daripada satu pencen, pencen dengan nilai tertinggi sahaja akan dikecualikan cukai. Yang lain tertakluk kepada cukai pendapatan.

Pencen yang dibayar di bawah mana-mana undang-undang tertulis atau di bawah skim yang diluluskan demi manfaat balu, duda dan anak si mati juga bebas cukai.

GANJARAN ATAU PENCEN KEPADA SENATOR DAN WAKIL RAKYAT

Ganjaran atau pencen yang dibayar kepada Presiden dan Timbalan Presiden Dewan Negara serta anggota senat, Speaker, timbalan speaker dan anggota Parlimen Dewan Rakyat serta anggota Dewan Undangan Negeri, juga dikecualikan daripada cukai dengan syarat mereka telah menjangkau usia 55 tahun atau tidak lagi memegang jawatan kerana masalah kesihatan.

Pengecualian ini hanya pada pencen dengan nilai tertinggi jika mereka yang terbabit menikmati lebih daripada satu pencen.

PENDAPATAN LAIN

Pendapatan lain yang diberi pengecualian penuh atau sebahagian adalah pendapatan penggajian di atas kapal milik Malaysia, pendapatan daripada kerja penterjemahan dan pengubalan muzik, hadiah wang tunai yang diterima oleh olaragawan dan olahragawati, pendapatan daripada penggajian di Labuan, pendapatan daripada syarikat-syarikat luar pesisir atau tabung amanah, geran atau subsidi daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri, pendapatan yang diterima oleh pemandu dan penunggang acara lumba kereta dan motosikal standard antarabangsa, faedah daripada Bon Merdeka, dan yang diberikan khusus kepada petugas seperti elaun penjagaan anak sehingga RM2,400 setahun, elaun makanan, elaun pengangkutan dari rumah ke tempat kerja sehingga RM2,400 setahun, elaun perjalanan bagi tugasan rasmi sehingga RM6,000 setahun, bayaran letak kereta, cendera mata dan bayaran bil utiliti oleh majikan selain subsidi bagi pinjaman kereta, pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan.

Pada keseluruhannya terdapat lebih daripada 70 jenis pendapatan dan perolehan yang dikecualikan daripada cukai dan pembayar cukai boleh mendapat maklumat lanjut daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri ataupun pihak akauntan atau ejen cukai.

Penerangan menerusi buku-buku berkaitan juga akan mendedahkan pelbagai pendapatan dan perolehan bebas cukai.

Oleh Ravindran Duraisamy
Catatan:
Penulis ialah ejen cukai berkelayakan, akauntan berkanun dan seorang anggota Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Berkanun Cukai Malaysia(CTIM) dan Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah UK (ACCA).
Sumber: BERNAMA

1 comments: