30 Disember 2011

Selaraskan Cukai, PCB dan Zakat



Berikut dipaparkan petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3):

"Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis".


Sejauh manakah seseorang berhak mendapatkan rebat ke atas cukainya?

Pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan. Jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2009, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja. Tiada istilah boleh patah-balik bagi mengira zakat yang telah dilunasi pada tahun-tahun terdahulu.

Oleh itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar; bukannya tarikh haul. Jika tarikh haul seseorang sudah berlalu, katakanlah seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2008 (dalam tahun 2009), maka di atas resit akan tertulis 'haul zakat 2008'; namun ia sebenarnya hanya akan dikira untuk rebat pada tahun 2009 sahaja.


Mereka yang membayar zakat boleh mendapat rebat cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Berapakah jumlah yang diizinkan oleh pihak LHDN untuk dibuat potongan atau rebat?

Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak disebutkan jumlah amaun yang tertentu atau batas amaun yang tertentu. Selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama - dalam konteks ini ialah zakat - maka ia masih dikira layak untuk memperoleh rebat ke atas cukai. Jelasnya, tiada sebarang limitasi ke atas pembayaran zakat ini.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja (atau 1/40).

Maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu adalah lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).

Di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijaksana menggunakan keluwesan akta yang meletakkan 'bayaran wajib' bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja.

Mereka boleh misalnya menunaikan zakat harta yang lain seperti zakat emas, saham, wang simpanan, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi 'potongan zakat pendapatan' semasa. Ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Di samping itu, apabila seseorang itu sudah menunaikan zakat maka mereka perlu menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan.

Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.

Walau bagaimanapun, seandainya resit sudah rosak, maka pembayar zakat masih boleh memohon salinan baharu daripada pihak institusi zakat.

Contoh rebat ke atas cukai pendapatan Encik X pada tahun 2009:

1. Cukai patut dibayar RM5,000
2. Zakat pendapatan RM1,200
3. Zakat wang simpanan RM1,800
4. Qada Zakat RM1,000
5. Baki cukai perlu dibayar RM1,000

Mari kita lihat pula apakah kesan pelarasan zakat dan cukai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut.

Keputusan ini memberi implikasi yang sangat besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat khususnya menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, maka mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

Contoh 1: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Y bagi Januari 2009

1. PCB bagi Januari 2009 RM100
2. SPG bagi Januari 2009 RM70
3. Baki PCB yang perlu dipotong RM30

Contoh 2: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Z bagi Februari 2009

1. PCB bagi Februari 2009 RM100
2. SPG bagi Februari 2009 RM60
3. Baki PCB yang perlu dipotong RM40

Apa yang lebih menarik, dalam kes Contoh 2 di atas, lebihan zakat (SPG) sebanyak RM40 berhak untuk dibawa ke bulan hadapan. Bagaimanapun, pelarasan sedemikian hanya tertakluk kepada tahun semasa sahaja, yakni tidak boleh dibawa sehingga melewati ke tahun berikutnya.

Dalam kes pelarasan di antara SPG dan PCB ini, para pekerja muslim sebenarnya berhak memohon pelarasan agar dilakukan oleh pihak majikan, sama ada majikan awam ataupun swasta. Namun, ia tertakluk kepada kesediaan majikan itu sendiri.

Pelaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperolehi pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.

Untuk kemudahan, institusi zakat membina gerbang khas bagi semua pembayar zakat dan juga majikan yang menjalankan pembayaran zakat termasuklah melalui potongan gaji, bagi tujuan semakan dan sebagainya. Hanya klik di www.e-zakat.com.my/ (klik banner e-zakat pay dan seterusnya klik sama ada e-majikan atau e-zakatonline) bagi memperoleh perkhidmatan berkenaan.

Pindaan pelarasan di atas hakikatnya adalah satu rahmat kepada orang Islam khususnya mereka yang memang terlibat dengan cukai pendapatan. Apa yang lebih utama, pematuhan syariat Allah SWT akan terlaksana tanpa menidakkan undang-undang negara.

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
Sumber: Utusan

1 comments:

ch000tz berkata...

Baeekkk tak lupa hehehehe :D

Happy New Year Babe! incase tak sempat nak singgah 2-3hari ni xoxo


http://ch000tz.blogspot.com/2011/12/gaban-pun-tak-sebizi-aku-haha.html