Nuff Atas

01 April 2012

Tenaga Elektrik Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar

Rencana Sempena Earth Hour 2012

KLCC Di Saat Earth Hour 2012

Banjir di Thailand pada November yang meragut lebih 500 nyawa disifatkan sebagai satu daripada bencana alam paling buruk dalam sejarah negara itu.

Walaupun para saintis mengatakan perubahan iklim masih tidak pasti sama ada wujud kaitan langsung antara banjir dengan perubahan iklim, namun mereka sepakat mengatakan bahawa perubahan iklim baru-baru ini berkemungkinan besar berpunca daripada pemanasan sejagat, iaitu pelepasan gas rumah hijau.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), punca terbesar pelepasan tahap tinggi Karbon Dioksida ialah industri tenaga, melibatkan 41 peratus diikuti dengan pengangkutan (23 peratus) dan perindustrian (20 peratus) pada 2009.

Di Malaysia, satu kajian oleh UTM dalam tahun 2010 mengunjurkan pelepasan  Karbon Dioksida di negara ini mencapai 285.73 juta tan metrik, (daripada 187 juta tan metrik pada tahun 2006), dan 43.4 peratus berpunca daripada industri tenaga.


Sungguhpun banjir sekali-sekala berlaku di Malaysia, namun tidak terdapat bukti menunjukkan bahawa kadar pelepasan  Karbon Dioksida di negara ini menjadi punca utama.

Bagaimanapun, berdasarkan pelepasan  Karbon Dioksida seluruh dunia, Malaysia memberikan komitmen di sidang kemuncak iklim di Copenhagen pada 2009 untuk mengurangkan pelepasan  Karbon Dioksida sebanyak 40 peratus daripada tahap yang dicatat pada 2005, menjelang tahun 2020, bergantung kepada bantuan daripada negara-negara maju.

Mungkin nampak agak mustahil untuk mencapai sasaran tinggi mengurangkan pelepasan gas  Karbon Dioksida itu, ketika negara juga berusaha memenuhi aspirasi menjadi sebuah negara maju, dalam jangka masa yang sama.

Dalam hubungan ini, mesti ada kefahaman jelas bahawa tanggungjawab untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan dengan mesra alam, terletak pada pihak industri dan pengguna sendiri.

Industri tenaga perlu mendapatkan bekalan kuasa yang berdaya maju, mampan dan mampu, tanpa membinasakan bumi. Hal ini boleh dilakukan seandainya industri ini mendapat insentif daripada kerajaan dan bantuan, berupa teknikal mahupun pembiayaan, daripada negara-negara maju, demi meningkatkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan juga teknologi bersih.

Pengguna pula perlu memainkan peranan dengan cara bersederhana dari segi permintaan terhadap tenaga elektrik. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan cara berhemah dalam penggunaan komoditi yang berharga ini.

Menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), permintaan puncak tenaga elektrik bagi Semenanjung Malaysia mencapai 15,476MW pada Mei 2011, meningkat 2.7 peratus berbanding tahun terdahulu.

Berdasarkan unjuran semasa, permintaan puncak dijangka mencapai 21 Gigawatt (GW) pada 2020 dan 25 GW menjelang 2030.

Pada masa ini industri tenaga bergantung kepada sumber-sumber terbatas seperti bahan api fosil untuk menjana tenaga elektrik. Walaupun memang tidak dapat dinafikan kesan pelepasan  Karbon Dioksida terhadap alam sekitar, tetapi Malaysia masih lagi mempunyai lebih 60 peratus kawasan tanah dilitupi hutan hujan, sedangkan kebanyakan negara maju hanya mempunyai kurang daripada 30 peratus.

Isu mengenai  Karbon Dioksida tidak patut diperbesarkan kerana hutan hujan negara berkemungkinan besar berupaya menyerap lebih daripada  Karbon Dioksida yang dilepaskan.

BERSEDIA UNTUK TENAGA ALTERNATIF

Dalam jangka panjang, industri tenaga perlu mencari pilihan lain sebagai ganti bahan api fosil yang kian susut.

Di Malaysia, kerajaan mengorak langkah untuk melakukan kajian semula terhadap industri tenaga secara holistik dengan tujuan menjadikan industri itu lebih mampan, boleh diharap dan cekap.

Satu daripada bidang yang sentiasa dipertimbang pada masa lalu dan juga kini ialah usaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Stesen kuasa hidro, tenaga suria dan angin semuanya berfungsi dengan kadar pelepasan  Karbon Dioksida hampir sifar, dan bukan sahaja akan menolong meringankan masalah bekalan bahan api, tetapi juga mengurangkan masalah perubahan iklim.

Akan tetapi, pilihan-pilihan ini tidaklah begitu boleh diharapkan dan berdaya maju disebabkan kos pengeluaran tenaga elektrik jauh lebih mahal daripada menggunakan bahan api fosil.

Sistem tarif galakan (FiT) yang diperkenalkan dan mengenakan 1 peratus tarif atas penggunaan melebihi 300 kWh, untuk membiayai usaha pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang diuruskan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di bawah KeTTHA, mencapai kejayaan besar terutama bagi fotovolta suria, tetapi itu memerlukan subsidi berupa 1 peratus levi atau lebih.

Antara sumber tenaga boleh diperbaharui yang terdapat di Malaysia ketika ini ialah kuasa hidro, tenaga suria, biojisim daripada sekam padi, sisa minyak sawit (bahan api bio), dan sisa bandaran.

Di bawah skim FiT, pelanggan dikehendaki membayar premium bagi tenaga bersih yang dijanakan kepada penjana kuasa tenaga boleh diperbaharui untuk bilangan tahun yang tetap, dengan bayaran bagi setiap jam kilowatt (kWh) kuasa elektrik yang dijanakan, dan bayaran minimum terjamin bagi setiap kWh disalurkan kepada grid.

Banyak syarikat tempatan telah pun memanfaatkan teknologi tenaga boleh diperbaharui untuk mula mengurangkan kos tenaga dan menikmati hasil pendapatan.

Projek tenaga boleh diperbaharui biojisim yang pertama menggunakan tandan kosong sebagai bahan api telah dimulakan oleh TSH Bio Energy Sdn. Bhd. dan syarikat itu menjual tenaga elektrik kepada TNB dengan kadar 21.25 sen/kwh.

Teknologi fotovolta suria untuk menjana tenaga elektrik daripada matahari telah memungkinkan pemilik rumah menjana elektrik untuk kegunaan sendiri dan menjual kepada grid kebangsaan.

Tidakkah hebat jika difikirkan bahawa modal untuk memasang panel fotovolta di atas bumbung rumah anda akan memberi tenaga elektrik percuma ditambah pula dengan peluang untuk menjual lebihan kuasa balik kepada grid kebangsaan selama sekurang-kurangnya 21 tahun dan sebelum masa itu anda telah pun mendapat pulangan modal dan memperoleh keuntungan yang lumayan?

Ini ialah sumber tenaga alternatif yang boleh kita fikirkan untuk masa hadapan. Akan tetapi, semua sumber itu secara sendirinya tidak berdaya maju dan memerlukan subsidi untuk memastikan daya maju dari segi kewangan.

Oleh kerana itu, negara mempunyai hanya satu lagi sumber tenaga yang lebih murah - bahan api fosil. Bagaimanapun, kita masih boleh menyelamatkan bumi, dengan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, dan menginsafi bahawa tenaga elektrik murah perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

PERANAN PENGGUNA

Mengawal pelepasan  Karbon Dioksida bukanlah semata-mata tanggungjawab kerajaan atau industri tenaga, kerana bukan penjanaan tenaga elektrik sahaja yang menyebabkan pelepasan gas rumah hijau, tetapi juga masyarakat pengguna tenaga elektrik.

Setiap pengguna, industri, perniagaan dan kediaman perlu menghayati cabaran hijau ini.

Alasan bahawa "itu tidak memberi kesan pada saya" tidak boleh dipakai. Kita hidup dalam zaman globalisasi di mana segala-galanya, walau di mana jua, ada hubung kaitnya dengan sesuatu di tempat lain.

Jadi apabila cili dari Thailand naik harga, pengguna di Malaysia merasai 'pedasnya'. Apabila kilang anda tidak dapat beroperasi kerana ketiadaan barang ganti disebabkan banjir di negara yang membuat barang itu, kesannya akan anda rasai.

Sikap pentingkan diri dengan menyerahkan kepada orang lain tugas menyelamatkan alam sekitar adalah sikap yang merugikan.

Dorongan atau motivasi ke arah tenaga boleh diperbaharui tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada masalah tenaga.

Itu hanyalah pengganti bagi bahan api fosil yang menyebabkan pengurangan  Karbon Dioksida tetapi punca terbesar tetap terletak pada penggunaan tenaga elektrik.

Sia-sia segala usaha jika tenaga elektrik yang dijana menggunakan teknologi bersih itu terus-terusan digunakan oleh masyarakat pengguna dengan cara yang tidak berhemah.

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) percaya bahawa pengguna boleh membentuk tabiat penggunaan tenaga yang bertanggungjawab dan tidak membazirkan tenaga elektrik semata-mata kerana tenaga elektrik itu murah atau mampu dibeli.

Menggunakan alat kawalan jauh untuk menukar saluran televisyen, tidak salah, tetapi lazimnya orang ramai menutup TV dan alat stereo dengan alat kawalan jauh, tanpa memastikan suisnya terpasang semalaman.

Perkakas elektrik yang ditutup tanpa mematikan suisnya, tetap menggunakan tenaga. Lampu jangan dibiarkan menyala apabila tiada orang di dalam bilik.

Kalangan organisasi perniagaan hendaklah menggalakkan petugas supaya jimat elektrik dengan cara mematikan suis lampu apabila bilik kosong dan mematikan suis konsol komputer masing-masing setelah selesai kerja.

Peralatan cekap tenaga menggunakan tenaga yang kurang dan jimat belanja. Itu sebabnya kerajaan memperkenal inisiatif seperti SAVE atau Kemampanan yang Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga.

Di bawah skim ini, baucar rebat diberi untuk membeli peti sejuk dan pendingin hawa cekap tenaga. Mentol lampu jimat tenaga bukan sahaja menjimatkan tenaga tetapi juga tahan lebih lama.

Selain peti sejuk, mesin pengering pakaian juga paling banyak menggunakan tenaga elektrik. Menggunakan mesin pengering ini di negara yang menerima cahaya matahari selama enam jam, adalah sesuatu yang kurang munasabah sedangkan di Barat, orang ramai ternanti-nanti untuk menjemur pakaian cucian mereka sebaik melihat bayangan sinar matahari.

Mempelopori perubahan untuk dicontohi kalangan organisasi perniagaan dan orang ramai, semua pejabat kerajaan diarah untuk memastikan suhu pendingin hawa ditetapkan pada 24 darjah Celsius, kerana ini adalah suhu yang sesuai untuk iklim tempatan.

Dengan adanya panduan ini, pejabat dan rumah kediaman perlu mengambil contoh ini dan tidak lagi bekerja dalam suhu sejuk beku. Jika anda terpaksa tidur berselimut tebal di Malaysia yang beriklim tropika, ini bermakna suhu penyaman udara anda terlalu rendah.

Bukankah lebih menjimatkan jika pendingin hawa dihidupkan buat seketika untuk menyejukkan bilik dahulu kemudian baru menggunakan kipas siling?

Tarif elektrik di negara ini dikekalkan pada tahap rendah sebegitu lama menerusi subsidi yang banyak. Biarpun berlaku kenaikan tarif baru-baru ini, tarif di Malaysia masih lebih rendah berbanding kebanyakan negara Asean kecuali Indonesia.

Sudah tiba masanya masyarakat pengguna memikul sedikit tanggungjawab untuk menyelamatkan bumi. Sikap membazirkan elektrik ialah suatu perangai buruk yang perlu dikikis dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kanak-kanak perlu diberi kesedaran tentang peri pentingnya jimat tenaga elektrik menerusi pendidikan awal di sekolah. Jika kita sukar berubah dan keberatan mengurangkan permintaan terhadap tenaga elektrik, maka diri sendiri mesti bertanggungjawab atas bencana berkaitan iklim yang bakal berlaku.

Jika anda kurangkan penggunaan elektrik sebanyak satu jam megawatt, anda boleh berjimat 0.7 tan metrik  Karbon Dioksida, jadi kenapa tidak memulakannya sempena Earth Hour esok, 31 Mac, untuk membiasakan diri jimat elektrik?.

Oleh Rohana Mustapha
Sumber: BERNAMA

1 comments:

AzRi AtHiRaH berkata...

memang byk meninggalkan kesan terhadap alam skitar kalau byk gune tenage letrik ni.,hee^^