04 Julai 2013

Kepentingan Psikologi Sukan



KEBANYAKAN anggota masyarakat di negara ini mungkin memahami perkataan 'psikologi' berkait dengan emosi dan tingkah laku manusia, namun tidak ramai yang mengetahui tentang pertalian antara psikologi dan sukan.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 'psikologi' ditakrifkan sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran yang menghubungkan perlakuan manusia dan haiwan.

'Sukan' pula ditakrifkan sebagai segala jenis latihan gerak badan dan permainan yang memerlukan tenaga dan ketangkasan. Atas kesedaran itu, ramai jurulatih dan pengamal sukan di negara ini lebih menyedari peri pentingnya psikologi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet.


Di Malaysia, pemahaman mereka yang terlibat dalam bidang sains sukan juga masih terhad berbanding negara yang maju dalam bidang sukan seperti Australia, Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Menurut Ketua Psikologi Sukan, Cawangan Kepakaran Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN) Mohd Nizar Ahmad Padzi, kesedaran mereka dalam psikologi sukan menunjukkan peningkatan berbanding lima tahun lepas, apabila pada waktu itu psikologi sukan kurang diberi penekanan.

Beliau berkata psikologi adalah bidang yang berkaitan dengan emosi, perasaan dan tingkah laku dan secara realitinya semua individu tidak suka dipaksa dalam melakukan sesuatu perkara.

"Ini juga menjadi isu yang dihadapi atlet mengenai sikap terbuka mereka sama ada untuk menerima sesuatu yang baharu atau tidak dalam kehidupan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nizar berkata kewujudan psikologi sukan di kalangan atlet amat penting untuk memupuk sikap atlet yang matang dan profesional. Bagi menjana kualiti atlet yang setaraf dengan atlet antarabangsa, ISN dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi lain seperti Kementerian Pendidikan mewujudkan bengkel psikologi sukan kepada jurulatih dan pengamal sukan.

ISN juga menyediakan beberapa ahli psikologi sukan untuk kumpulan sukan tertentu dan mereka ini bertugas sepanjang masa bersama pasukan yang dipertanggungjawabkan dan bukan pada masa kejohanan sahaja.

"Kami telah merancang program yang bersesuaian dari aspek psikologi dan motivasi mengikut kumpulan sukan bagi membantu atlet meningkatkan prestasi mereka semasa latihan dan ketika pertandingan," katanya.

Antara program yang dirangka ialah sesi pendidikan, sesi praktikal, konsultasi secara individu atau berkumpulan, pemerhatian lapangan semasa latihan atau pertandingan dan melakukan ujian serta penilaian yang berkaitan.

Menerusi sesi pendidikan dan praktikal, katanya, para atlet akan didedahkan dengan teknik mengawal rasa kebimbangan dan kebangkitan pada diri mereka tetapi ia bergantung kepada atlet itu sendiri sama ada mahu mengaplikasikannya semasa latihan dan pertandingan.

Selain itu, teknik ini juga sama seperti latihan fizikal dan perlu membuat latihan berulang kali semasa latihan agar menjadi satu rutin dan akan bertindak secara automatik apabila diperlukan.

Antara masalah yang menjadikan atlet kurang menumpukan perhatian terhadap kerjaya mereka adalah perhubungan (komunikasi dalam pasukan dan keluarga), kewangan dan prestasi yang menurun.

"Ada di kalangan mereka yang boleh mengawal masalah dan ada juga yang bukan di bawah kawalan mereka," katanya.

Bagaimanapun, setiap individu itu tidak kira kumpulan atlet atau orang awam mempunyai tahap motivasi dan semangat yang berbeza mengikut keadaan atau situasi yang dipengaruhi pelbagai faktor sama ada faktor intrinsik (dalaman) atau ekstrinsik (luaran).

Menurut Mohd Nizar, pandangan masyarakat atau penyokong tegar sesuatu jenis sukan tertentu terhadap atlet juga harus dititikberatkan kerana mereka sering menyalahkan atlet atau jurulatih sekiranya atlet itu gagal meraih sebarang pingat semasa pertandingan atau kejohanan.

"Masyarakat juga dengan sewenang-wenangnya melabelkan atlet itu kurang bermotivasi dan menuding jari kepada psikologi sukan yang dikatakan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," katanya.

Beliau berpendapat adalah tidak wajar melabelkan pengamal sukan melalui pemerhatian semata-mata kerana para penyelidik atau saintis sukan lebih minat mencari teknik atau kaedah yang dapat memberikan impak positif dalam prestasi atlet berbanding mencari kelemahan atau kekurangan seseorang individu tersebut.

"Tahap kefahaman seseorang individu itu juga berlainan mengenai 'psikologi' kerana ia sangat subjektif menyebabkan pelbagai pihak lebih mudah memberikan persepsi mereka terhadap sesuatu situasi atau keadaan," katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian [19 Jun 2013]

0 comments: