Nuff Atas

25 Mac 2013

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)



Cadangan penubuhan ESSCOM dipersetujui Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan penubuhan ESSCOM pada 7 Mac 2013 berkata, cadangan yang dipersetujui oleh Kabinet itu akan memberi keyakinan kepada rakyat khususnya di Sabah bahawa kerajaan melakukan apa saja bagi menjamin keselamatan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata struktur organisasi ESSCOM akan disiapkan dalam tempoh terdekat oleh sebuah pasukan perundangan. Sebaik saja penubuhan ESSCOM dipersetujui dari segi undang-undang, pelantikan ketua eksekutifnya akan dibuat dengan persetujuan kerajaan negeri.

Buat permulaan, enam balai polis dan tiga lagi pusat kastam, imigresen dan kuarantin akan diwujudkan di kawasan ESSCOM dalam tempoh sebulan. Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mengkaji untuk mewujudkan lebih banyak pembangunan termasuk dalam bidang perumahan dan infrastruktur.


Pasukan keselamatan juga mencadangkan penempatan haram di beberapa kampung di wilayah ESSCOM dibersihkan bagi memastikannya bebas daripada anasir keganasan dan aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

Kerajaan utama keselamatan rakyat

Perihal orang Suluk keluar masuk ke kawasan Pantai Timur Sabah dengan membawa senjata api, bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku lebih daripada 20 tahun yang lalu.

Pada pandangan pihak keselamatan ketika itu, selagi kedatangan mereka tidak mengancam keselamatan penduduk tempatan, tiada tindakan diambil. Lagipun, hampir sebahagian besar yang keluar masuk itu sama ada untuk berniaga secara ‘barter trade’ atau mempunyai hubungan keluarga dengan rakyat tempatan.

“Membawa senjata api di kalangan mereka dari kepulauan Sulu sama seperti orang kampung membawa parang dan golok di negara ini satu ketika dulu. Begitu juga dengan keluar masuk mereka ke negara ini, sama seperti Rantau Panjang dan Sungai Golok atau Padang Besar,” katanya.

Barangkali kerana kebiasaan itulah, sebarang niat jahat mereka ke atas negara ini sukar dihidu oleh pihak berkuasa. Ini ditambah dengan kurangnya kerjasama penduduk tempatan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kerana hubungan keluarga, bersubahat atau takut.

Berdasarkan senario ini, ancaman keselamatan terhadap rakyat di sepanjang Pantai Timur Sabah tidak mungkin berakhir segera walaupun usaha polis dan tentera menamatkan pencerobohan serta memburu saki baki pengganas mungkin tamat tidak lama lagi.

Justeru, pengumuman kerajaan mengenai pembentukan kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, memang tepat pada waktunya. Walaupun pada sesetengah pihak ia agak terlambat, tiada siapa menjangka rakyat di seberang sempadan yang sejak berpuluh tahun dilayan dengan baik bertukar menjadi musuh.

RASCOM terbukti berkesan

Kewujudan kawasan keselamatan khas terbukti berkesan dalam menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak melalui Kawasan Keselamatan Rajang atau Rajang Area Security Command (RASCOM) satu ketika dulu. RASCOM yang ditubuhkan pada 1972 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, ekoran beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam oleh ahli Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Bahagian Ketiga Sarawak.

Kawasan operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Ia mempunyai tiga komponen terdiri daripada unit tentera, polis dan awam dengan Ketua Menteri Sarawak dilantik sebagai Pengarah Operasi Negeri.

RASCOM berjaya menghakis ancaman komunis di Sarawak apabila 585 ahli PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok menyerah diri dalam Operasi Aman pada 1973 dan Ubong anak Nuing beserta 40 ahli turut mengangkat senjata pada 1986. Ancaman komunis di Sarawak berakhir secara rasmi pada 17 Oktober 1990 apabila kerajaan dan PKKU menandatangani perjanjian di Kuching. Berikutan itu, Kabinet membubarkan RASCOM pada 9 November 1994.

Oleh: Manja Ismail
Sumber: BHarian [2013/03/19]



ESSZONE mula berkuat kuasa

Kerajaan mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berkuat kuasa 25 Mac 2013 meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, pada tarikh tersebut.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat 

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup 

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari 2013 lalu. Ops Daulat kemudian dilancarkan pada 5 Mac 2013, bagi mengekang pergerakan pengganas.

Oleh Nazura Ngah, Haspaizi Mohd Zain, Fitri Nizam dan Mohd Syafiq Mohd Aznan
Sumber: BHarian [26/03/2013]

Satu briged PGA ditempatkan di ESSZONE

Satu briged Pasukan Gerakan Am (PGA) akan diletakkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bertujuan memperkukuh ketenteraman awam dan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penempatan PGA itu sebagai kekuatan tambahan kepada lima batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

"Kita akan tambah briged PGA itu di peringkat polis yang ada di Sabah dan bergabung dengan lima batalion ATM untuk memperkukuhkan Sabah," katanya.

Berikutan itu, jumlah polis sokongan di negeri berkenaan dijangka ditambah selain memperluas Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

"Kita sedang fikir untuk menambah polis sokongan di estet-estet dan kawasan Felda di Sabah dan perluaskan URB seluruh negara yang mana di Sabah, URB akan beroperasi di taman-taman perumahan termasuk di Sandakan dan Kota Kinabalu," kata Hishammuddin. [BHarian: 25/03/2013]

Di bawah ESSZONE itu membolehkan kerajaan menempatkan semula mana-mana kumpulan, khususnya pendatang tanpa izin atau yang tidak bernegara, ke suatu kawasan selamat dan sesuai yang akan ditentukan oleh kerajaan. [BHarian: 25/03/2013]

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah dilantik untuk memikul tanggungjawab selaku pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). [BHarian: 25/03/2013]



Tiga elemen jaminan keamanan di ESSCOM

Penggabungan tiga elemen utama iaitu polis, tentera dan awam akan diperkukuhkan lagi di bawah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) bagi mewujudkan sebuah organisasi yang mantap.

Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek, berkata tumpuan diberikan kepada organisasi bagi memastikan pengwujudan kawasan itu mencapai matlamat penubuhannya untuk menjamin keamanan di kawasan kira-kira 1,400 kilometer pesisir pantai timur negeri ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga elemen itu perlu digerakkan seiring kerana ESSCOM bukan saja membabitkan keselamatan, tetapi juga sosioekonomi dan pengurusan masyarakat.

“Penggabungan tiga elemen utama akan diberi tumpuan dan perlu diharmonikan bagi mewujudkan sebuah organisasi yang berkesan dalam menggalas tugas serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Mohammad yang juga Pengarah Imigresen Sabah telah dilantik sebagai Pengarah ESSCOM pada 29 Mac 2013.

Daerah Lahad Datu dijadikan pusat pemerintahan ESSCOM dan pada masa sekarang, pejabat sementara ditempatkan di Pangkalan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dengan menggunakan kabin sebelum ibu pejabat ESSCOM dibina.

Mohammad berkata, beliau tidak berseorangan dalam menggerakkan ESSCOM kerana mendapat bantuan dan kerjasama rapat rakan dari agensi lain antaranya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri. [BHarian: 2013/04/04]

Pewujudan ESSCOM bawa manfaat seperti RASCOM

Pewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), kawasan keselamatan khas sepanjang 1,400 kilometer di timur Sabah, akan membawa manfaat seperti mana Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di Sarawak dalam menjamin keselamatan.

Bekas pegawai staf operasi di markas RASCOM,  Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, berkata penting ESSCOM diwujudkan kerana negara menghadapi satu keadaan diancam musuh yang mempunyai senjata, mengakibatkan rakyat tidak selamat serta mampu menjejaskan ekonominya.

"Kita tak boleh biarkan ia (ancaman) berlaku. Saya yakin, ESSCOM mampu membuahkan kejayaan seperti RASCOM," katanya yang yakin pembentukan ESSCOM nanti akan mencontohi strategi RASCOM yang dibubarkan pada 6 April 1995.

Model ESSCOM masih relevan, strategik dan wajar diguna pakai pada abad ke-21 ini kerana negara sedang menghadapi musuh bersenjata yang menggugat keamanan negara, katanya.

Pembentukan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Mac 2013 lalu merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri Sabah.

Menceritakan peranan RASCOM, katanya: "Dahulu, pada era 70-an, Majlis Keselamatan Negara mengarahkan supaya Rascom diwujudkan kerana kita menghadapi ancaman pengganas komunis militan dari Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) di bahagian tengah Sarawak iaitu Sibu, Kapit, Sarikei, Mukah dan Bintulu."

Zulkiflee yang berpangkat kapten semasa bertugas di markas RASCOM dari 1978 hingga 1980 pada usia 24 tahun, berkata RASCOM yang diketuai Penglima Pasukan Keselamatan William Tang, amat berjaya sehingga mampu membuat komunis menyerah diri dan mengakhiri pemberontakan komunis di Sarawak yang berlarutan selama lebih tiga dekad.

Beliau yang pada ketika itu ditugaskan di Sibu, Sarawak berkata kejayaan RASCOM bukan sahaja dilihat berdasarkan kecekapan daripada segi menjaga keselamatan penduduk di Sarawak sahaja, malah kawasan keselamatan khas itu juga membawa pembangunan yang amat pesat seperti kemasukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) ke bumi kenyalang itu.

Menceritakan pengalaman berkhidmat di RASCOM, Zulkiflee yang kini adalah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia berkata RASCOM mempunyai dua tujuan iaitu menjaga keselamatan dan mewujudkan pembangunan serta membabitkan tiga komponen.

"Yang pertama daripada segi keselamatan. Tentera bertanggungjawab mewujudkan keselamatan di kawasan itu dengan pergi ke hutan-hutan untuk memburu komunis. Pada masa itu juga, kita gunakan helikopter Nuri untuk melakukan pemantauan udara pergerakan komunis ini.

"Polis pula bertugas menjaga ketenteraman orang ramai dan menguatkuasakan undang-undang manakala masyarakat awam berperanan membangunkan ekonomi di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata, perkara utama yang dilakukan dalam RASCOM adalah mewujudkan skim penempatan semula yang antara lain dapat mengasingkan penduduk dengan komunis, dan ini merupakan perkara asas.

"Apabila keselamatan terjamin, kemudian barulah ekonomi dapat dibangunkan," katanya.

Zulkiflee yang ketika itu ditugaskan di bahagian perancangan, gerakan dan operasi menentang komunis di RASCOM berkata daripada segi keselamatan, banyak operasi dijalankan untuk mengekang komunis di Sarawak antaranya sekatan jalan raya bagi menghalang kemasukan bekalan makanan kepada komunis.

"Dalam memastikan tiada komunis melakukan penyamaran dan sebagainya, sistem pendaftaran penduduk juga dilakukan. Kawalan keselamatan yang ketat juga dilakukan supaya tiada komunis yang dapat memasuki pekan-pekan," katanya.

Sumber: BERNAMA
Juga disiarkan oleh: BHarian [2013/03/24]

ESSCOM sebagai arahan pusat

Mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama ujud seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.

Operasi Padanan dan Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).

Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan Sabah.

ESSCOM ditubuhkan bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi tersebut.

Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu sama lain.

Betapa pentingnya penyelarasan arahan pusat diserlahkan lagi apabila Ops Pasir ATM dikendalikan oleh MAB kerana untuk menyelaraskan tugas antara tiga cabang perkhidmatan utama mereka iaitu tentera darat, laut dan udara.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya telah belajar dari kesilapan kerana tidak mempunyai penyelarasan perkongsian maklumat risikan di antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang mengakibatkan kegagalan mengesan plot serangan pengganas yang berlaku pada 11 September 2001. Kini mereka menubuhkan satu entiti khas yang dipanggil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) sebagai asas penyelarasan semua aktiviti keselamatan AS.

Dengan adanya entiti Homeland Security dengan diketuai oleh Setiausaha yang lebih popular dikenali sebagai Czar keselamatan, semua aktiviti umpamanya oleh FBI dan CIA dapat diselaraskan. Konsep ini bukan sesuatu yang asing dan ESSCOM juga mempunyai maksud yang serupa.

Penyelarasan

Beberapa hari lepas Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa telah mengumumkan ESSCOM akan melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab melakukan penyelarasan segala operasi keselamatan bukan sahaja agensi seperti ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tetapi juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). CEO ESSCOM ini adalah tidak ubah seperti Czar Homeland Security AS.

Kesan awal penubuhan ESSCOM telah pun mulai dirasai walaupun CEOnya belum dilantik kerana PDRM telah mengumumkan akan memperkukuhkan barisan formasi dan aset pasukan itu dan akan membangunkan enam buah balai polis baharu kerana kawasan rangkuman ESSCOM meliputi sembilan daerah pentadbiran polis.

Untuk menghayati aspirasi penubuhan ESSCOM, rakyat Malaysia perlu juga meneliti perjalanan sejarah kaedah pengawalan sempadan AS-Mexico sepanjang 5,000 kilometer. Tidak keterlaluan jika diandaikan sejarah sempadan AS-Mexico ini adalah begitu selari dengan keadaan sempadan Sabah-Selatan Filipina.

Sebahagian besar wilayah di California, Arizona, New Mexico dan Texas adalah wilayah asal Mexico yang terpaksa diserahkan kepada AS mengikut Perjanjian Guadalupe Hidalgo yang dimeterai pada tahun 1848. Pada awalnya kawalan sempadan di antara kedua-dua negara tidak mempunyai kawalan yang ketat dan rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk.

Sebab itu dikatakan komposisi penduduk keempat-empat negeri AS yang bersempadan dengan Mexico mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat di antara kedua-dua negara dan senario ini adalah begitu serupa dengan keadaan di Sabah.

Kawalan keselamatan AS-Mexico mula diperketatkan pada era Presiden Ronald Reagan tahun 1980-an apabila masalah penyeludupan dadah menjadi meruncing. Walaupun berbagai teknologi canggih digunakan dan pembinaan pagar konkrit dibina untuk mengekang aktiviti ini, hanya kejayaan yang terhad telah diperolehi.

Sebab utama adalah kerana tidak ada koordinasi dan penyelarasan aktiviti agensi yang mengawal sempadan yang membuatkan segala usaha mendapat kesan minimum. Menyedari hakikat ini pada tahun 1994 Presiden AS pada ketika itu Bill Clinton telah melantik Alan Bersin sebagai Czar pengawalan sempadan AS-Mexico untuk menyelaras semua aktiviti kawalan.

Pengawalan sempadan AS-Mexico menjadi lebih berkesan kerana jawatan Czar memberi ruang kepada Bersin untuk bertindak sebagai arahan pusat. Setiap strategi yang dilaksanakan mudah di koordinasikan di antara keempat-empat negeri yang mempunyai sempadan bersama Mexico.

Umpamanya Strategi Ryes yang diperkenalkan oleh Bersin untuk mengekang kemasukan asing berjaya dilaksanakan secara bersepadu melalui Operasi Gatekeeper di California, Operasi Rio Grande di Texas dan Operasi Nogales di Arizona. Kesemua ini dapat dilakukan kerana jawatan Czar sempadan mempunyai kuasa arahan pusat.

Begitu juga dengan ESSCOM, tidak dinafikan teknologi canggih untuk mengekang kemasukan asing dan juga mengumpul maklumat risikan akan memainkan peranan penting untuk memastikan peristiwa pencerobohan Lahad Datu tidak akan berulang lagi. Peranan teknologi canggih mempunyai kekuatan yang ada hadnya jika ia tidak digunakan secara pintar.

Tetapi apa yang lebih penting adalah semua maklumat risikan tersebut perlu diproses dengan pantas dan betul. Disini struktur ESSCOM adalah kritikal kerana ia perlu bertindak sebagai arahan pusat dengan seorang CEO atau Czar yang menjadi tonggak utama.

Kawasan ESSCOM dalam beberapa bulan mendatang sudah pasti akan menyaksikan perubahan mendadak dalam aspek keselamatan bukan sahaja dari segi pertambahan kehadiran anggota keselamatan tetapi juga aset berkaitan seperti balai polis, pos pendalaman dan perairan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Kesemua aset tersebut tidak akan memberi makna jika tiada koordinasi aktiviti dan disinilah peranan ESSCOM menjadi kritikal. Perlu ditegaskan penubuhan ESSCOM bukan memberi maksud bahawa selama ini keselamatan perairan Sabah diabaikan, tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi struktur keselamatan sedia ada menghadapi cabaran masa hadapan.

Oleh: Azmi Hassan
Sumber: Utusan [24/03/2013]

2 comments:

Seri berkata...

tindakan yang tepat sekali oleh kerajaan bagi mengukuhkan keselamatan pesisir pantai di sabah serta mengelakkan peristiwa serangan pengganas sulu berulang lagi.

Faridzuan berkata...

Sebenarnya saya memang tinggal di pantai timur Sabah. Harap dengan inisiatif kerajaan ni mampu meningkatkan mutu keselamatan negara. In sha Allah. Tabik hormat kepada pihak keselamatan. :)