01 Mac 2015
Estetika Kostum Tarian Singa
MALAYSIA yang terkenal dengan masyarakat berbilang bangsa kaya dengan pelbagai adat dan budaya hidup rakyatnya yang diwarisi sejak turun-temurun.
Adat dan budaya ini kelihatan lebih terserlah apabila berlangsungnya majlis-majlis keraian atau ketibaan hari perayaan tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, Thaipusam atau Tahun Baru Cina.
Tarian singa yang memang sinonim dengan masyarakat Cina tidak dapat dipisahkan dengan pesta atau sebarang acara keraian sebagai simbolik yang dipercayai dapat membawa tuah kepada ahli keluarga atau pemilik organisasi selain menjadi hiburan serta menambah kemeriahan suasana.
Seorang pembuat replika sedang menghiasi kostum yang akan dipakai oleh para penari semasa persembahan tarian singa sempena Tahun Baru Cina.
Keunikan tarian singa bukan sahaja terletak pada gerak-geri tetapi cara pembuatan replika kepala singa itu sendiri mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Pembuat replika kepala singa, Siow Ho Pheiw berkata, perincian dalam setiap sentimeter yang menghiasi kerangkanya amat penting bagi menyerlahkan keunikan rekaan dan bentuk kepala singa tersebut.
“Kepala singa ini diperbuat daripada aluminium dan rotan berkualiti tinggi sebagai kerangka asas untuk jaminan yang ia akan tahan lebih lama.
“Kemudian rangka rotan tersebut dibalut dengan kain kasa yang kukuh dan kertas berkualiti selain bahagian mata dan telinga dihiasi dengan bulu kambing biri-biri atau arnab,” kata Ho Pheiw yang mula membuat kepala singa pada 1986.
Singa sering dianggap pelindung dalam kebanyakan budaya orang di Asia terutama masyarakat keturunan Cina. Dua jenis tarian singa yang amat popular ialah tarian singa utara dan tarian singa selatan.
Para penari daripada Persatuan Tarian Singa Hong Jing membuat persembahan tarian singa dari rumah ke rumah.
Akrobatik
Tarian singa utara berasal dari bahagian utara negara China yang merupakan hiburan kerabat diraja dahulu kala.
Penggunaan warna yang biasa digunakan pada kostum singa tersebut kebiasaannya meliputi warna merah, jingga, hijau dan kuning selain ia mempunyai lebih banyak pergerakan akrobatik.
Tarian singa selatan pula banyak menerapkan ciri-ciri berkaitan alam sekitar dan sering dipersembahkan sebagai upacara membuang semangat jahat serta meminta tuah.
Selain perbezaan dari segi ciri, persembahan yang ditampilkan dalam kedua-dua bentuk tarian, saiz dan bentuk replika kepala singa juga sedikit berbeza.
Bentuk mata yang terdapat pada kepala tarian singa selatan lebih besar berbanding tarian singa utara. Penggunaan warna pada bahagian tersebut juga berbeza apabila menggunakan gabungan warna hitam, merah dan putih bagi menonjolkan sifat singa yang garang. Ciri-ciri lain termasuk cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.
Warisan budaya masyarakat tidak mengenal kaum itu perlu dipelihara sebaiknya agar tidak ditelan arus pemodenan kerana ia merupakan asas kepada pembentukan identiti sesuatu bangsa.
Teks dan foto SYEFRY MONIZ MOHD. NIZAR
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan