17 Januari 2012

Bank Susu Ibu Difatwakan Haram


Majlis Fatwa memutuskan penubuhan membawa kemudaratan keturunan

Persoalan mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun 2011 lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.


Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya rakyat Malaysia.



Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.

Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan secara lebih mudah.

Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu pada 15 Jan. 2012, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Menurut muzakarah itu, tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan dan perbuatan membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi perkara yang dilarang dan berdosa.

“Bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

“Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan mengesahkan pesakit tiada harapan sembuh dan pesakit dibenar pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan diteruskan adalah dibenar Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing,” katanya.

Muzakarah juga memutuskan dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian apabila disahkan pakar dan adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat.

Sumber: BHarian

Allah berfirman:


“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita berikut): ibu-ibumu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, saudara-saudara bapamu, dan saudara-saudara ibumu, anak-anak saudaramu yang lelaki, anak-anak saudaramu yang perempuan, ibu-ibumu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara susuanmu, ibu-ibu isterimu, anak-anak tiri yang dalam pemeliharaanmu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu mengahwininya. Dan bekas isteri anak-anakmu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini), kecuali yang berlaku di masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Al-Nisa`: 23

3 comments:

Unknown berkata...

haram tetap haram

Unknown berkata...

kalau ikut logik pun tentu la tak munasabah kan.. apa yang telah diletakkan sebagai haram maka jangan lah kita buat.. ada2 je idea diorang kan...

iemah berkata...

betul tu..haram tetap haram...
mcm2 org buat spt nk pertikaikan/mencabar hukum islam...sdgkan Islam tu syumul, setiap Y Allah tetapkan smua ada hikmah y tsembunyi