Nuff Atas

23 Januari 2012

Naga Dalam Kesenian Islam


Rupa Dragon dalam sudut imaginasi barat.

NAGA sering dikaitkan sebagai makhluk dunia mistik yang amat berkuasa. Ia menjadi simbol kebaikan dan kejahatan mengikut adat dan tradisi kepercayaan sesuatu tempat di dunia ini.

Secara amnya, naga digambarkan sebagai haiwan yang besar, mempunyai kuku yang tajam dan boleh menghembuskan api daripada mulutnya. Ia digambarkan sebagai haiwan daripada keluarga reptilia yang bertelur bagi tujuan pembiakan.

Daripada gambaran di atas, terdapat dua bentuk naga yang sering digunakan sebagai hiasan dalam dunia seni. Naga yang bersayap ataupun naga yang mempunyai badan bersisik yang panjang seperti ular tetapi mempunyai sepasang tangan dan kaki.


Terdapat beberapa kawasan seperti di Rusia yang menggambarkan naga sebagai haiwan yang mempunyai kepala yang banyak.

Islam tersebar luas di dunia ini termasuklah di kawasan-kawasan yang mempercayai kewujudan naga dalam kehidupan manusia di zaman lampau.


Rupa Naga dalam sudut imaginasi masyarakat Cina

Antara kawasan atau wilayah Islam yang mempunyai tradisi itu adalah Turki, Parsi, India, China dan dunia Melayu. Naga dikenali dengan pelbagai nama di wilayah-wilayah Islam tersebut seperti Illuyankas (Turkish), Azi Daha-ka (Parsi), Naga (Sanskrit dan Melayu) dan Lóng (Cina).

Dalam kesenian Islam, beberapa motif haiwan yang digunakan sebagai lambang kepada raja atau pemerintah dan simbol kekuatan kerajaan seperti gajah, harimau dan singa.

Motif hiasan naga tidak digunakan pada barangan seni yang melibatkan ayat suci al-Quran ataupun barangan dan pakaian yang digunakan di dalam ibadah sembahyang.

Motif hiasan naga selalunya digunakan pada perkakasan kegunaan harian seperti pinggan, senjata, tekstil, duit, barang perhiasan, kotak kayu dan manuskrip.

Barangan-barangan seni itu tidak mempunyai kedudukan yang istimewa atau diagung-agungkan dalam kehidupan masyarakat Islam yang menggunakannya.


Naga dalam Shahnameh

Salah satu manuskrip Parsi yang menggunakan motif naga berjudul Shahnameh (Buku Raja-Raja Parsi). Manuskrip sastera agung Parsi itu adalah himpunan karya sastera dalam bentuk puisi panjang.

Ia menceritakan pelbagai perkara berkaitan dengan raja-raja Parsi termasuk kejadian-kejadian luar biasa yang terjadi pada zaman sebelum Islam sehingga kedatangan Islam ke Parsi pada abad ke-7 Masihi.


Bahrum Gur Vs Dragon

Dalam salah satu karya sastera itu, terdapat kisah pertempuran Bahrum Gur, seorang pemerintah kerajaan Sasanid Parsi sebelum Islam dengan seekor naga.

Kebanyakan motif naga yang digunakan dalam dunia Islam mempunyai bentuk seperti ular yang besar dan panjang serta bersisik. Yang membezakan motif naga dan ular adalah motif naga mempunyai dua pasang kaki di bahagian bawah badannya.

Bentuk naga yang digunakan mempunyai persamaan dengan bentuk naga yang digunakan di China yang menjadi simbol kepada Maharaja China.

Naga bukan asing dalam dunia Melayu. Walaupun kewujudannya tidak pernah direkodkan tetapi terdapat beberapa nama khusus yang digunakan oleh masyarakat Melayu bagi haiwan ini.

Kamus Dewan edisi keempat ada dinyatakan beberapa nama naga iaitu naga hari, naga gentala dan naga berapi. Motif naga berkepak atau bersayap yang digunakan di atas tekstil Melayu seperti batik dikenali sebagai naga seknik.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang merayakan Tahun Naga pada tahun 2012 ini, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) memeriahkan sambutan dengan mengetengahkan motif hiasan naga yang ada pada barangan kesenian Islam.

Pengunjung boleh melihat motif naga ini di beberapa galeri kekal seperti galeri manuskrip, kerja logam, dunia Melayu dan galeri gaya hidup. MKIM akan menyediakan satu aktiviti yang dipanggil 'Pemburuan Naga' untuk kanak-kanak. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan berkunjung ke laman sesawang www.iamm.org.my.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia (Islamic Art Museum Malaysia)

Sumber: Utusan

7 comments:

Cik Oda Gelang berkata...

naga ni mitos je kan...tak wujud pun...manusia dulu2 ni rajin mencipta lagenda hikhik

YaYaNsMuM berkata...

Suke ngan naga...especially, naga yang comel...(^_^) Thanks for sharing the info, baru tahu naga in islamic art pn ader....
*malunyer..huhu

khairul berkata...

betul ka naga ni benar2 wujud ?

Cik tikah berkata...

naga ni kalau nmpk depan mata, comel x? hehe

zana berkata...

naga ni wujud ke?

caliph shuriken berkata...

wujud dlm bentuk misteri...

c'axoera berkata...

saya kudeee tak tahu pasal naga ni hahahah :p


http://ch000tz.blogspot.com/2012/01/move-it-move-it.html