13 Februari 2012

Whitney Houston Dalam Kenangan (1963 - 2012)


Whitney Houstan di awal penampilan.

TIADA ada lagi penyanyi yang mampu mengubah sebuah lirik menjadi melodi yang cukup indah, apabila penyanyi kulit hitam, Whitney Houston, 48, menghembuskan nafas terakhirnya. Sabtu 11 Februari 2012 yang  lalu, sepatutnya bintang terkenal Hollywood, Whitney Houston menyambut ulang tahun kelahiran ke-48. Bagaimanapun tarikh tersebut turut menjadi tarikh kematiannya.

Penyanyi legenda yang dilahirkan tanggal 9 Ogos 1963 di Newark, New Jersey, ditemui mati oleh pengawal peribadinya di dalam tab mandi di bilik Hotel Hilton di Beverly Hills California kira-kira jam 3.55 petang.

Whitney Houston - One Moment In Time


Menurut pihak polis Beverly Hills, punca kematian penyanyi kulit hitam yang telah menakluk dunia dengan vokal luar biasa dan kehebatan untaian lagu cinta hit sepanjang zaman itu belum dikenal pasti dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan, tetapi menurut pihak polis, tiada unsur jenayah.


Houston yang memulakan kerjaya dalam dunia nyanyian sejak muda, berada di Beverly Hills kerana terbabit dengan persembahan sempena sambutan majlis pra-Anugerah Grammy. Majlis Anugerah Grammy tersebut berlangsung pada 13 Februari 2012 di Staples Center, Los Angeles.

Ironi, satu dunia tahu bahawa pemilik nama sebenar Whitney Elizabeth Houston itu menghadapi masalah ketagihan dadah yang kronik.


Kehilangan secara mengejut diratapi rakan seperjuangan

Kehebatan Vokal

Memulakan karier nyanyian seawal usia 11 tahun dan menghabiskan usia remaja dengan bernyanyi di banyak kelab malam, Whitney mula meraih perhatian dunia saat debutnya yang menggunakan judul Whitney Houston dipasarkan pada tahun 1985.

Majalah Rolling Stone misalnya melabelkan Whitney sebagai ‘penyanyi dengan vokal yang mengagumkan tahun ini’ sebaik mendengar album debutnya itu.

Sejak itu dia tidak sukar mendaki tangga kemahsyuran, lebih-lebih lagi dengan berbekalkan lagu-lagu hebat yang dibikin khusus untuknya. Antara hitnya yang menjadi penawar hati lara dan penambah rasa cinta khalayak adalah Saving All My Love for You, Greatest Love of All, Where Do Broken Hearts Go dan Exhale (Shoop Shoop).

Menerusi lagu-lagu seperti How Will i Know, Saving All My Love for You dan I Will Always Love You, Houston berjaya memartabatkan dirinya sebagai penyanyi pop sehingga digelar 'the Voice' dan 'Ratu Pop'.

Menurut Guinness World Records, Houston merupakan penyanyi yang memenangi 415 anugerah sepanjang hidupnya.

Albumnya dijual lebih 170 juta unit di seluruh dunia. Dia berkahwin pada 1992 dengan bekas penyanyi blues, Bobby Brown sebelum mereka bercerai pada 2007. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Bobbi Kristina.

Whitney Houston - I Will Always Love You


Bidang Lakonan

Dia merupakan penyanyi, pelakon, penerbit dan bekas model. Selain bidang nyanyian, bintang kulit hitam tersebut turut membuat penampilan dalam empat buah filem iaitu The Bodyguard, Waiting to Exhale, The Preacher's Wife dan Sparkle.

Popularitinya terus melonjak apabila menceburkan diri dalam dunia lakonan menerusi filem fenomena The Bodyguard pada tahun 1992.

Membawa watak sebagai Rachel Marron, dia berpasangan dengan Kevin Costner dan filem tersebut meledak bukan sahaja kerana popularitinya ketika itu, tetapi juga didorong dengan album runut bunyi yang memuatkan hit I Will Always Love You.

Masalah Peribadi

Bagaimanapun kemashyurannya tidak bertahan apabila Whitney sendiri merosakkan reputasinya. Disayang banyak pihak sejak dia menjejak kaki dalam dunia hiburan pada tahun 80-an dan awal 90-an, sikap Whitney mula berubah sekitar lewat 90-an.

Dia mula kerap lewat ke sesi temu bual, membatalkan kemunculan di televisyen pada saat-saat akhirnya, malah tidak hadir ke persembahan yang sepatutnya dihadirinya.

Pada ketika itu juga mula bertebaran tentang masalah peribadinya yang dikatakan telah terjerumus dengan najis dadah. Ia akhirnya terbukti apabila pihak imigresen di lapangan terbang di Hawaii menemui dadah jenis marijuana di dalam beg miliknya serta suami, Bobby Brown.

Sejak itu Whitney mula berdepan dengan zaman kegelapan. Kehidupan peribadinya menjadi tunggang terbalik, dia bercerai dengan Brown dan keluar masuk pusat pemulihan dadah juga adalah perkara biasa bagi wanita ini.

Kembali Untuk Gemilang

Malah percubaan untuk mengembalikan zaman kegemilangannya dengan muncul bersama album baharu dan terakhir iaitu I Look To You juga tidak begitu menjadi walau lagu tersebut dianugerahi Muzik Video Terbaik oleh NAACP Image Awards.

Biar bergelut dengan pelbagai masalah dan dugaan sepanjang tahun 2000 hingga 2010, Whitney bagaimanapun masih dianggap penting oleh industri hiburan.

Satu-satunya anugerah terakhir yang diberikan kepada Whitney dan memang akan menjadi kenangan selepas pemergiannya yang diterima pada Januari 2011 adalah BET Honors Award for Entertainer sebagai tanda penghargaan terhadap karier luar biasanya sepanjang 25 tahun menjadi artis.

Sumber: BHarian dan Kosmo

2 comments:

AZMI KHAN berkata...

dah masa dia dah....
kita entah bila.....

ch000tz berkata...

RIP Whitney!