21 April 2012
Elak Guna Kad Kredit Untuk Dapatkan Wang Tunai
HAMPIR semua pakar kewangan bersetuju bahawa membuat pendahuluan wang tunai daripada kad kredit adalah tindakan kurang bijak.
Audrey Lim (bukan nama sebenar) risau kerana beliau kekurangan wang tunai dalam simpanan. Disebabkan keperluan membeli barangan kegunaan harian, beliau telah bertindak menggunakan kemudahan pendahuluan wang tunai dengan mengguna kad kredit di mesin juruwang automatik (ATM).
"Saya keluarkan RM250, tetapi terperanjat bila terima bil kad kredit. Saya dikenakan caj pendahuluan tunai sebanyak RM50 bagi transaksi tersebut. Itu adalah 25 peratus dari wang tunai yang saya keluarkan.
"Saya sepatutnya dengar nasihat kawan. Mereka beritahu guna kad kredit bagi pendahuluan tunai adalah tidak digalakkan kerana faedah yang dikenakan tinggi selain caj wang pendahuluan yang juga tinggi," cerita Lim kepada penulis di sini baru-baru ini.
"Ia lebih teruk meminjam daripda pajak gadai," keluh beliau.
HUTANG
Konsultan kewangan, Ng Lai Wai pula berkata, membuat pengeluaran pendahuluan tunai menggunakan kad kredit adalah satu tindakan berisiko, mahal dan membawa bersama potensi menanggung beban hutang jika ia tidak dibayar segera.
"Pendahuluan tunai datang dengan caj, antara satu hingga empat peratus daripada jumlah pengeluaran. Ia juga punya kadar faedah yang tinggi jika dibandingkan dengan membuat pembelian biasa (bila guna kad kredit)," jelas Ng.
Menurut Ng, ada bank yang mengenakan bayaran sehingga RM50 bagi setiap transaksi pengeluaran wang tunai pendahuluan.
"Kebanyakan kad kredit tidak beri tempoh rehat bagi pendahuluan tunai maknanya faedah bermula dari masa wang itu dikeluarkan dari ATM. Jangan lupa ada juga bayaran seperti caj penggunaan mesin ATM," jelas beliau.
Katanya, caj-caj ini menyebabkan pendahuluan tunai kad kredit adalah sesuatu yang 'sangat mahal'.
MENGELUARKAN wang tunai kad kredit di mesin ATM memang mudah, tetapi akibat yang perlu ditanggung pengguna adalah sangat besar.
KECEMASAN
Ng menasihati pengguna kad kredit agar hanya menggunakan kemudahan pendahuluan tunai sekiranya 'betul-betul kecemasan' seperti bila berlaku kecemasan perubatan yang memerlukan pembayaran tunai.
"Elak daripada membuat pendahuluan tunai untuk membayar keperluan harian seperti barangan runcit. Pemegang kad kredit juga perlu tahu had pendahuluan tunai mereka.
"Had pendahuluan tunai biasanya adalah kurang daripada had kredit. Dengan membuat pengeluaran lebih daripada had pendahuluan tunai akan mendatangkan caj lebih tinggi atau denda.
"Seandainya berlaku kecemasan, ambil hanya jumlah yang diperlukan dan tidak lebih dari itu. Elak daripada mengambil lebih kerana ini akan menyebabkan kesukaran bila masa tiba untuk membayarnya," kata beliau.
TUNAI CEPAT
Kata Ng, memilih untuk mendapatkan 'tunai cepat' sebenarnya menggambarkan wujudnya masalah kewangan seperti terlebih berbelanja atau tiada simpanan tunai untuk kecemasan.
"Bila perkara sebegini berlaku, membayar balik pendahuluan tunai akan mengambil masa yang lama serta menelan duit yang lebih," katanya.
Beliau menasihati pengguna agar memilih jalan lain sebagai alternatif terhadap penggunaan kad kredit bagi pendahuluan tunai.
"Mungkin anda boleh pinjam daripada keluarga atau rakan," ujar beliau.
Katanya kad kredit memberi opsyen kepada pemegangnya mengeluarkan wang tunai secara pendahuluan.
"Ia kelihatan begitu senang. Anda hanya perlu pergi ke mana-mana ATM dan guna kad kredit untuk pendahuluan tunai. Ini nampaknya satu opsyen yang menarik.
"Secara teori, ia kelihatan seperti menggunakan kad kredit bagi membeli barangan bagi amaun yang serupa.
"Malangnya mereka yang guna kad kredit bagi mendapatkan pendahuluan tunai akan menerima kejutan bila terima bil kad kredit," jelas beliau.
PILHAN TIDAK BIJAK
Kata Ng, menggunakan kad kredit bagi mendapatkan pendahuluan tunai adalah satu pilihan yang tidak bijak.
"Nampaknya seolah-olah seperti guna kad kredit untuk membeli barangan tetapi apa pengguna tidak tahu adalah akibat guna kad kredit bagi membeli barangan adalah lain berbanding akibat guna kad kredit bagi pendahuluan tunai di mana impaknya adalah lebih besar dan tidak menyebelahi pengguna.
"Kadar faedah bagi pendahuluan tunai adalah tinggi jika dibandingkan dengan penggunaan lain. Biasanya kadar faedah bagi pengeluaran tunai ialah 20-25 peratus.
"Syarikat kad kredit juga mengenakan caj bagi pengeluaran tunai tidak kira berapa jumlah yang dikeluarkan.
"Walaupun keluarkan tunai RM50 atau RM500, anda akan dikenakan caj pendahuluan wang tunai yang sama bagi setiap kali pengeluaran. Bank yang punya ATM juga akan mengenakan caj," jelas Ng.
Konsultan kewangan itu menjelaskan bahawa bila pengguna membuat keluaran pendahuluan tunai, faedah yang dikenakan bermula pada saat ketika duit tersebut dikeluarkan dari ATM.
"Banyak syarikat kad kredit memerlukan anda membayar kredit bukan tunai terlebih dahulu manakala kredit pendahuluan tunai itu tidak berganjak dan jumlah hutang akan terus meningkat," kata beliau.
Kata Ng, mana-mana keistimewaan bagi kemudahan pendahuluan tunai melalui kad kredit akan ditenggelamkan dengan caj dan jumlah yang akan membelenggu pengguna kemudahan itu.
Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [04/04/2012] dan Sumber Foto: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
uishhh...bahaya 2...buang cmtu je uit...xbleh2...
Jangan sesekali draw duit dari card credit, bijaklah menguna jgn nanti myesal xsudah kaaaan
secara basic, mmg caj rm50 dikenakan utk setiap transaksi...
mmbazir je..
Catat Ulasan