20 April 2012
Diskaun Caj Hospital Untuk Warga Tua
Berkuat kuasa 1 Mei 2012 ini, warga tua berusia 60 tahun ke atas diberikan diskaun 50 peratus bagi caj pesakit kelas tiga hospital kerajaan dengan caj maksimum sebanyak RM250 saja bagi setiap kemasukan.
Selain itu, mereka dikecualikan daripada caj RM5 pendaftaran rawatan pakar di Jabatan Pesakit Luar Pakar semua hospital dan klinik kerajaan.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai tambahan pemansuhan caj pendaftaran pesakit luar RM1 kepada golongan berkenaan di semua hospital, klinik kesihatan dan Klinik 1Malaysia yang diumumkannya tahun 2011 lalu.
“Pengecualian tambahan itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan menjaga kebajikan warga emas,” katanya ketika merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia.
Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia
Mengenai Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia yang mula beroperasi pada 30 Januari 2012 lalu, Najib berkata, ia menawarkan perkhidmatan kelas satu dengan kadar bayaran serendah RM3.
“Kadar bayaran yang dikenakan amat minimum termasuk rawatan doktor, sewa bilik, ubat dan makanan. Ini adalah kadar yang terbaik di dunia kerana kemudahannya sangat bermutu tinggi dengan bilik yang bersih dan selesa tetapi bayaran sangat rendah.
“Ia juga mampu memberikan keselesaan dan persekitaran kondusif kepada ibu berisiko rendah untuk bersalin kerana suami dibenarkan menemani pasangan masing-masing, selaras dengan polisi Hospital Putrajaya yang mengamalkan konsep hospital mesra suami,” katanya.
''Bagi penjawat awam tidak dikenakan bayaran kerana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan untuk menjaga kepentingan rakyat," katanya.
Ibu berisiko rendah bersalin merujuk kepada mereka yang tidak ada komplikasi kandungan, penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau asma selain mengandung anak kedua ke atas.
Najib berkata, pusat berharga RM12 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan bersalin berhawa dingin, pusat saringan pesakit, bilik untuk pesakit antenatal dan postnatal serta 24 katil untuk ‘rooming in’ bagi pesakit pediatrik bersama penjaga mereka.
“Penubuhan pusat ini satu lagi usaha kerajaan menyediakan infrastruktur selesa kepada rakyat,” katanya.
INFO: Kemudahan rawatan untuk warga tua
* 50 peratus diskaun bagi caj pesakit kelas tiga
* Caj maksimum RM250 bagi setiap kemasukan
* Pemansuhan caj RM5 pendaftaran rawatan pakar Jabatan Pesakit Luar Pakar hospital dan klinik kerajaan.
Sumber: BHarian
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 comments:
memang warga emas patut dapat...:D
mmg warga emas ptt dpt keistimewaan spt ini
mak saya layak dapat dah ni...;)
memang sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi kan
bagus la warga emas dpt diskaun..mmang ptut dpt..
Catat Ulasan