15 April 2012

Fenomena Halo di Alor Setar



Orang ramai di bandar raya Alor Setar dikejutkan dengan satu fenomena di mana lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan. Keadaan yang dikenali sebagai Fenomena Halo itu mula dikesan tengah hari 13 April 2012.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan itu adalah satu fenomena semula jadi. Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.

"Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi daripada kristal ais dalam awan tinggi cirrostratus sejuk yang kelihatan seakan-akan kepingan awan yang terletak pada ketinggian sekitar 6,000 - 18,000 meter (lapisan troposfera) di atas paras tanah," kata kenyataan itu.


Ia bergantung pada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari yang dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais berbentuk prisma sehingga sinaran matahari terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.


Fenomena Halo yang berlaku di Alor Setar 13 April 2012.

Menurutnya, dalam amalan pemerhatian cuaca, kewujudan halo merupakan antara petunjuk yang boleh diguna untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama jika ia diikuti awan jenis pertengahan.

Menurut kenyataan itu, lapisan awan cirrostratus sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya, tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.

Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan halo terbentuk.

Menurut kenyataan itu lagi orang ramai yang ingin melihat halo perlu memastikan kedua-dua mata dilindungi daripada pancaran matahari.

"Jangan sesekali memandang halo secara terus dan dalam tempoh yang lama dan perlu sembunyikan matahari dari penglihatan di sebalik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja," katanya.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari kerana ia sangat berbahaya terutamanya ketika menggunakan kamera single-lens reflex (SLR). - BERNAMA

Sumber: Utusan Artikel1, Utusan Artikel 2

3 comments:

محمد أمين بن أريس berkata...

penah tengok dulu tapi jadi kat bulan...sangat indah...subhanallah... :D

Aura Qaseh Beauty Centre berkata...

subhanallahh.. tidak pernah tengok lagii. menakjubkann :)

ARTIS KOMEN BLOGG :)

caliph shuriken berkata...

dulu pnah tgk halo cmni ^^