Nuff Atas

20 April 2012

Penyakit Hati Kerana Dosa Tiada Ubat Melainkan Taubat



ISLAM telah menentukan garis panduan, mana yang baik dan mana yang mendatangkan kemudaratan untuk manusia menjalani kehidupan di dunia. Tetapi sikap manusia sejak dulu, tidak pernah akur dengan perintah Allah sehingga ada yang jatuh ke jurang dosa dan kemungkaran.

Menurut Ibnu Qayyim, orang yang melakukan maksiat terhadap Allah, akan ditimpa pelbagai musibah sama ada di dunia atau akhirat. Katanya, banyak bencana bakal diterima oleh pelaku maksiat dan diberikan contoh supaya dijadikan pedoman.

Antara kesan buruk itu, orang yang berbuat dosa akan terhalang masuknya ilmu kerana ilmu adalah cahaya yang diletakkan Allah dalam hati seseorang, sedang kemaksiatan akan memadamkan cahaya itu. Sebab itulah, maka umat Islam terdahulu begitu mengambil berat dengan menjauhi dosa kecil apa lagi dosa besar untuk mengelak susahnya mendalami ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi menekuni ilmu agama, maka hendaklah bersih daripada melakukan maksiat.




Hendaklah kita mengingatkan semua akan kesan berbuat dosa, balasannya bukan menanti di akhirat malah ada balasannya akan diterima di dunia lagi. Orang yang banyak melakukan dosa akan lahir jiwa yang kasar dan sikap bengis. Orang yang memiliki jiwa kasar akan merosakkan hubungannya sesama makhluk mahupun dengan Allah.

Pelaku dosa dan maksiat biasanya menunjukkan sikap negatif seperti suka berkata kotor, pemarah dan tidak adanya sikap bertimbang rasa. Apa dinyatakan Ibnu Qayyim ini boleh disaksikan dalam dunia hari ini, kebanyakan pelaku maksiat atau dosa mempunyai imej daif dan keji.

Contohnya, mereka yang suka berjudi dan minum arak langsung tidak menghiraukan rumah tangga. Tiada kebahagiaan dan kedamaian hingga menyebabkan berlaku penderaan yang akhirnya menjurus kepada perceraian. Semua itu akibat kesan dosa.

Mereka yang banyak melakukan dosa gagal menilai diri hingga mereka tidak merasa apa-apa apabila orang lain memandang rendah terhadap mereka. Dalam erti kata lain, orang yang bergelumang dosa, hilang rasa malu dalam jiwa mereka.

Maksiat akan melenyapkan nikmat dan kurnia Allah. Sebagai gantinya Allah akan menurunkan seksaan-Nya kerana sesungguhnya tidak akan hilang nikmat seseorang itu melainkan kerana dosa yang dilakukannya.

Contoh mudah dapat kita lihat, tersebarnya penyakit dalam kalangan mereka yang melakukan maksiat seperti berzina, menagih dadah atau melakukan hubungan luar tabii. Penyakit ini didatangkan sebagai balasan maksiat dilakukan.

Maksiat akan menyebabkan hati berpenyakit kerana kesan dosa ke atas hati sama dengan kesan penyakit terhadap jasmani. Bahkan penyakit hati yang disebabkan oleh dosa itu tidak ada ubatnya melainkan bertaubat dan meninggalkan perbuatan mungkar itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan dosa, maka sesungguhnya ia mengerjakannya untuk kemudaratan dirinya sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisa’, ayat 111 )

Jadi dalam hubungannya dengan kenyataan Ibnu Qayyim tadi jelaslah jika kita melakukan dosa maka kesan buruk akan menimpa diri sendiri baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

Marilah bersama renungi firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan neraka jahanam, isinya daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengarkan (seruan Allah). Mereka bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf, ayat 179)

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
Sumber: BHarian [2012/04/13]

4 comments:

khairul berkata...

betul tu tuan

eLL berkata...

entry yg baik untuk kita memperbaiki diri

AzRi AtHiRaH berkata...

betul tu..setuju :)

Aishah Jahirah berkata...

penyakit hati yg paling kronik...insyaallah sama2 kita bersihkan hati...