11 April 2012

Peralatan Kebesaran Dalam Istiadat Pertabalan Agong


Muskat adalah pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong

Alat-alat Kebesaran Diraja memainkan peranan penting dalam istiadat-istiadat rasmi Raja-raja Melayu di negara ini.

Peralatan-peralatan itu yang melambangkan kedaulatan Baginda dan negara telah dicipta dan disesuaikan dengan alat kebesaran yang pernah menjadi warisan kegemilangan Raja-raja Melayu pada zaman keagungannya dahulu.

Bagaimanapun, sesuai dengan fungsi dan kehormatannya, alat-alat berkenaan hanya boleh digunakan pada upacara rasmi sahaja, dan untuk kesekian kalinya, rakyat akan berpeluang menyaksikan penggunaannya pada istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14, pada 11 April ini.

Antara alat-alat kebesaran itu ialah pakaian istiadat Yang di-Pertuan Agong termasuk Muskat, Tengkolok, Pending, Keris Pendek, Gendik dan Kalung. Muskat adalah pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, yang berasal dari Oman.



Pending Diraja

Pakaian rasmi ini mula digunakan pada 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Pada kebiasaannya, baju itu dipakai bersekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok pada majlis-majlis sempena Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan serta semasa lawatan rasmi Baginda ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.

Tengkolok yang turut dipakai pada hari pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan "Dendam Tak Sudah" yang berasal dari Negeri Sembilan.

DIPERBUAT DARIPADA EMAS PUTIH



Di sebelah hadapan tengkolok itu dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang berwarna-warni kerajaan Malaysia.

Pending pula diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan permata delima dan di tengah-tengahnya tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Hulu keris ini dinamakan "Hulu Pekaka" dan berupa kepala "Garuda".

Di sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. Seperti Keris Panjang, ia hanya dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong.


Gendik Diraja 

Gendik Diraja adalah pakaian ulu (kepala) bagi Raja Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, di atas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih.

Gendik ini diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadikannya loket dan kerongsang.

Gendik ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong pada istiadat-istiadat kebesaran diraja dan pada waktu Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Kalung Diraja ialah rantai leher yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian.

Kalung ini adalah sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Kalung ini juga boleh dicerai menjadikannya sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

KERIS PANJANG

Peralatan kebesaran lain ialah Keris Panjang, Cogan Alam dan Cogan Agama, Cokmar, Pedang, Keris Panjang dan Sundang, Payung Ubur-ubur Kuning dan Tombak berambu.

Keris dan Keris Panjang Diraja adalah kebesaran Melayu yang sangat dimuliakan dan utama dalam istiadat pertabalan.

Keris Panjang adalah Keris Kerajaan dan adalah tanda kebesaran dan kekuasaan. Keris itu dari hulunya hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri Tanah Melayu.

Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil dari 11 bilah keris dari negeri-negeri. Hulu keris itu berbentuk "tapak kuda" dengan hiasan motif buah jering dan digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada istiadat-istiadat tertentu sahaja.

Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter yang di bahagian atasnya terletak satu bulatan yang di puncaknya mengandungi ukiran anak bulan dan bintang daripada emas, manakala pada sekeliling bulatan itu pula diterapkan lambang 11 Negeri Tanah Melayu daripada emas.

Bulatan itu ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkatnya dihiasi dengan motif enam tangkai padi daripada emas.

Cogan Agama yang adalah sebatang tongkat perak sepanjang 155.04 sentimeter juga mempunyai satu bulatan di bahagian atasnya yang di puncaknya mengandungi ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

ALAT PERANG ZAMAN SILAM

Satu lagi peralatan diraja ialah Cokmar iaitu dua batang tongkat pendek yang hulunya berbentuk kubah. Ia adalah alat perang zaman silam yang diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter.

Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja ialah tiga senjata Melayu yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran diraja iaitu diambil daripada mata pedang panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan Sundang bersalut dengan perak serta berukir-ukir di hulu dan sarungnya.

Peralatan Diraja yang turut memainkan peranan penting pada istiadat-istiadat rasmi ialah 20 kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera berwarna kuning diraja berpuncak anak bulan dan bintang dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga yang diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung.

Oleh Cik Rashidah Abd Ghani
Sumber: BERNAMA

2 comments:

Unknown berkata...

banyak kebesaran alatan diraja melambangkan status baginda sebagai payung negara. DAULAT TUANKU.

Unknown berkata...

tq bnyk membantu