11 April 2012
Nobat Diraja Kedah Serikan Istiadat Pertabalan Agong Ke-14
Anggota kumpulan Nobat Diraja Kedah pada sesi raptai menjelang istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012 ini.
Kumpulan Nobat Diraja Kedah, kumpulan nobat tertua di negara ini yang ditubuhkan 400 tahun lalu, akan memainkan peranan penting sekali lagi dalam istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012 ini.
Kali terakhir kumpulan ini mewarnai istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ialah pada 25 April 2002 semasa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 di Balairong Seri, Istana Negara yang lama.
Bagi Ketua Nobat Diraja Kedah, Mohd Nazri Omar, 50, pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini lebih bermakna buatnya bukan sahaja kerana Sultan Kedah melakar sejarah sebagai satu-satunya Raja Melayu yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, tetapi juga buat pertama kalinya anak beliau, Mohd Syazwan Mohd Nazri, 22, akan turut bersamanya membuat persembahan.
Mohd Syazwan, anggota termuda dalam kumpulan itu adalah pemain serunai, yang merupakan satu daripada enam peralatan kumpulan Nobat Diraja Kedah.
Peralatan yang lain adalah nahara (dua buah gendang kecil), gendang ibu dan gendang anak berukuran sederhana, nafiri (trumpet perak berukuran 83.8 sentimeter panjang) dan sebuah gong.
Mohd Nazri, yang mewarisi jawatan Ketua Nobat sejak lima tahun lepas daripada seorang saudaranya, berkata kumpulan Nobat Diraja Kedah yang ada sekarang ini terdiri ahli keluarga anggota asal kumpulan yang ditubuhkan 400 tahun lalu.
Katanya nobat hanya boleh dipersembahkan oleh ahli keluarga asal pemain enam jenis alat muzik yang digelar orang Nobat dan diwariskan secara turun temurun kepada ahli keluarga masing-masing.
"Orang biasa ataupun orang luar ditegah sama sekali menyentuh alat-alat nobat ini, apa lagi memainkannya. Saya sendiri mewarisi pekerjaan ini daripada ayah saya, dan kini anak saya turut terlibat dalam kumpulan ini," katanya.
Mohd Nazri yakin warisan muzik kebesaran Diraja Kedah itu, walaupun hanya sebilangan orang yang memainkannya, tidak akan luput ditelan zaman.
"Pihak istana iaitu dari Jabatan Alat Muzik Kebesaran Diraja sangat mengambil berat serta sering memantau perkembangan kumpulan nobat Kedah ini kerana ianya merupakan lambang kebesaran raja-raja negeri Kedah," katanya.
Bagi Mohd Syazwan pula, minatnya terhadap nobat bermula apabila sering dibawa bapanya setiap kali membuat persembahan, selain mengikuti bapanya berlatih di Balai Nobat yang terletak di Masjid Zahir, Alor Setar.
"Dari situ minat itu timbul dan ayah juga sentiasa menurunkan ilmu dan kemahirannya dalam bermain serunai dan sehingga kini saya sudah mahir memainkannya," katanya.
Pemain alat muzik gendang ibu, Ismail Abdullah, 55, menyifatkan muzik nobat Kedah memberikan semangat luar biasa setiap kali dimainkan.
Ismail, yang mewarisi kemahiran bermain alat itu daripada datuknya, melahirkan rasa teruja kerana turut terlibat dalam upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 kali ini setelah kali terakhir bermain nobat pada Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Pada istiadat pertabalan kali ini, kumpulan nobat akan memainkan lagu "Belayar" bagi mengiringi keberangkatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke Balairong Seri untuk istiadat pertabalan serta berangkat pulang.
Mereka akan memainkan lagi "Palu" bagi mengiringi Alat-alat Kebesaran Diraja memasuki ke Balairong Seri dan lagu "Perang" semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Anggota kumpulan itu akan memakai Baju Melayu hitam bersampin dan bertengkolok serta "Baju Sikap".
Mohd Nazri akan membawa tepak sireh dan juga "Tongkat Cokmar Diraja" iaitu tongkat rotan panjang berbalut baldu.
Empat belas anggota kumpulan itu yang berasal dari beberapa kampung di Kedah seperti Alor Gandak, Tajar, Hutan Kampung, Kota Sarang Semut dan Kuala Nerang telah berada di Kuala Lumpur sejak Selasa lepas untuk menjalani latihan di Istana Negara.
Selain bermain nobat, kebanyakan mereka adalah petani.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata nobat di negeri itu diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Jiwa II setelah baginda menyaksikan satu persembahan di India ketika baginda berada di sana untuk menuntut ilmu agama.
Sultan Kedah ke-19 itu dipercayai satu-satunya Sultan yang belayar ke luar negara untuk belajar agama. Baginda merupakan putera sulung telah belayar ke Palembang dan berguru dengan ulama dari Yaman.
Selepas itu baginda dan ulama itu belayar ke India untuk mengajar agama dan dikatakan di sanalah baginda melihat persembahan nobat.
Menurut Wan Shamsuddin, ada pendapat berkata perkataan nobat yang berasal daripada bahasa Parsi iaitu nau-bat bermaksud alat muzik atau pancaragam istana, sembilan lagu atau sembilan jenis bunyian.
Nobat merupakan khazanah budaya yang sangat berharga, justeru peralatannya disimpan di tempat khas dikenali Balai Nobat yang dijaga serta dikawal. Ia terletak di tengah bandar raya Alor Setar.
"Ketika mula dibina dulu Balai Nobat diperbuat daripada kayu dan beratap zink sehinggalah pemerintahan Sultan Abdul Hamid yang dikenali sebagai 'bapa pembangunan negeri' pada 1912, ia diganti dengan batu.
"Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid, nobat dimainkan setiap hari setiap kali masuk waktu solat, kemudian pada zaman Sultan Badlishah ia hanya dimainkan waktu tertentu seperti pertabalan, kemangkatan dan perkahwinan diraja, dan ini diamalkan sehingga pemerintahan Sultan Abdul Halim hari ini," katanya.
Menurut Wan Shamsudin, nobat juga pernah dimainkan untuk menyambut keberangkatan Raja Siam, Raja Chulalongkorn ke negeri ini sekitar 1890-an.
Oleh Siti Fatimah Ahmad dan Shuhaida Mohd Said
Sumber: BERNAMA (07/04/2012)
Nobat Diraja Perak
Klip video di atas ini diharap dapat membantu anda mengenali alat muzik yang dimainkan dalam nobat serta irama dan lagu yang dimainkannya.
Labels:
Kesenian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
best juga kalau dapat tengok nih :)
rasa bersemangat setiap kali dgr alunan ni.. seperti wktu buka gelanggang ^^
Catat Ulasan