09 April 2012

Profil Yang Dipertuan Agong XIV



11 April 2012 Cuti Umum Pertabalan Agong

Istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, akan diadakan pada Rabu, 11 April 2012 ini di Balairong Seri, Istana Negara diikuti Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, sempena istiadat tersebut kerajaan mengisytiharkan 11 April 2012 sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Pengisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala Sabah dan Sarawak boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.


Istiadat pertabalan itu sempena pelantikan baginda bagi menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah tamat tempoh pemerintahan pada 12 November 2011 tahun lalu. [Sumber: BERNAMA, Kosmo]

Tuanku Abdul Halim catat sejarah


Papan gergasi ucapan tahniah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-14.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012, bukan sahaja mencatat sejarah ditabalkan buat kali kedua tetapi juga menjadi Ketua Negara dalam dua era iaitu satu, ketika Malaysia sedang pulih daripada kesan peristiwa 13 Mei dan kedua, ketika Malaysia sedang melangkah ke arah menjadi negara maju.

Kali pertama baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada tahun 1970, ketika negara berada di bawah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang melahirkan beberapa dasar penting dalam membangunkan negara terutama Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat.

Ketika itu, Malaysia masih cuba bangkit selepas melalui detik hitam peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 yang merupakan kemuncak kepada masalah perpaduan antara kaum pada masa itu.

Kini semasa dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim bakal memerintah Malaysia yang sedang giat berusaha bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Semasa baginda memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima, Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Abdul Razak Hussein dan kali ini, Tuanku Abdul Halim akan berganding bahu dengan anakanda Allahyarham Tun Abdul Razak, Datuk Seri Najib, selaku Perdana Menteri keenam yang sedang giat memacu pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020. [Sumber: Kosmo]



Profil Yang Dipertuan Agong XIV

Sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 11 April ini, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut:

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada tanggal 28 November 1927. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke United Kingdom bagi menyambung pelajaran di Wadham College, Oxford London pada awal tahun 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Sewaktu di United Kingdom, baginda dilantik sebagai Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949. Sekembalinya baginda ke tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara pada tahun 1955, baginda telah berkhidmat di Pejabat Daerah Alor Setar, dan kemudiannya di Perbendaharaan Negeri Kedah.

Pada tanggal 9 Mac, 1957, baginda dilantik menjadi pemangku Sultan Kedah sewaktu Almarhum Sultan Badlishah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga 3 Julai, 1957. Dengan kehendak dan izin Allah S.W.T, baginda telah naik takhta kerajaan Negeri Kedah pada 14 Julai, 1958 berikutan kemangkatan ayahanda baginda. Baginda ditabalkan dengan rasminya sebagai Sultan Kedah Darul Aman pada 20 Februari, 1959.

Begitu juga dengan izin dan takdir Allah S.W.T. juga hendaknya pada 21 September, 1965, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang keempat oleh Majlis Raja-Raja, manakala pada tahun 1970, Majlis Raja-Raja telah melantik Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kelima di antara tahun 1970 hingga tahun 1975.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan disempurnakan pada 21 September, 1970. Tuanku Abdul Halim ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kelima pada 20 Februari, 1971 dengan penuh adat istiadat di ibu negara. Baginda menyandang jawatan tersebut hingga 21 September, 1975.

Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac, 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus. Almarhumah adalah puteri sulung Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu (kemudiannya Yang Di-Pertuan Agong yang pertama Persekutuan Tanah Melayu).

Baginda mempunyai tiga orang puteri iaitu:

1. Tunku Panglima Besar Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (1966);
2. Datuk Seri Diraja Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (1961); dan
3. Tunku Salina Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (1961)- mangkat pada 31 Ogos 1991.

Baginda juga telah bertemu jodoh dengan Che Puan Hajah Haminah Binti Hamidun pada 25 Disember, 1975. Tuanku Hajah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan.

Pada 26 Ogos, 2003, Almarhumah Tuanku Sultanah Hajah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Pada tanggal 9 Januari, 2004, telah berlangsung Istiadat Permasyuran Yang Mulia Che Puan Hajah Haminah sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah Binti Hamidun.

Tuanku Abdul Halim menyambut Perayaan Jubli Perak sempena Ulang tahun Pemerintahan Baginda Yang Ke-25 pada tahun 1983. Pada Julai tahun 2008, Seri Paduka Baginda telah menyambut Perayaan Jubli Emas sempena Ulang tahun Pemerintahan Baginda Yang Ke-50.

Tuanku Abdul Halim dilantik sekali lagi sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia XIII pada 13 Disember, 2006.

Dengan izin Allah S.W.T., sejarah negara tercipta apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-226 (khas) yang bersidang pada 14 Oktober, 2011 telah memilih baginda sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong XIII, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan pada 12 Disember, 2011.

Pada tanggal 13 Disember 2011, bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-227 (khas) baginda dengan rasminya memegang amanah memerintah negara buat kali yang kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV.

Dalam bidang ketenteraan, kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Baginda dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac, 1966 sehinggalah tarikh baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 pada 23 Julai, 1970. Dengan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim juga adalah merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Selepas Baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5, baginda dilantik pula menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 23 September, 1975. Kini dengan pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV, baginda juga sekali lagi merupakan Pemerintah Tetinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu:

D.K. (Februari 1964), D.K.H. (Januari 1973), D.K.M. (Februari 1971), D.M.N. (Februari 1959), D.U.K. (Julai 1958), D.K. (Kelantan-Julai 1959), D.K. (Pahang-Mei 1970), D.K. (Selangor-September 1978), D.K. (Perlis-Jun 1980), D.K. (Negeri Sembilan-Ogos 1982), D.K. (Johor-September 1983), D.K. (Terengganu-Mac 1985), D.K. (Perak), D.K (Brunei), D.P. (Sarawak-April 1977), D.U.N.M. (1990), SMDK., SHMS., SGMK., S.P.M.K. (Februari 1964), S.S.D.K. (Januari 1973), Grand Cordon of The Order Of The Rising Sun Of Japan (Februari 1970), Bintang Maha Putra Adipradana (Indonesia)(Mac 1970), Order of the Rammata (Thailand) 1973, Hon. Knight Grand Cross Order Bath (U.K.) 1974 dan Asso. Knight Order St. John 1974., Hon. Ph.D (UUM)(2008).

Baginda sememangnya terkenal dengan sifat sebagai seorang Raja yang amat berhemah tinggi, berpertuturan yang lemah-lembut dan bersopan santun. Baginda adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri. Keprihatinan baginda jelas terbukti sewaktu menjalankan kewajipan baginda sebagai Sultan Negeri Kedah telah berangkat setiap hari ke pejabat Baginda di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Demikian jua, di Istana Negara amalan tersebut tidak ditinggalkan malahan Baginda akan memperuntukkan lebih banyak masa di Pejabat Baginda di Istana Negara memandangkan Baginda kini merupakan Ketua Negara bagi Malaysia.

Baginda juga begitu prihatin terhadap kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

Baginda dilihat sentiasa mencemar duli untuk berdampingan dengan golongan rakyat jelata. Justeru, Baginda mempunyai hubungan akrab dengan rakyat jelata atau dengan kata lain Raja Berjiwa Rakyat.

Bagi merapatkan jurang antara rakyat dan Istana, Baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi bagi menemui khalayak rakyat jelata, jadi tidak hairanlah jika Baginda menjadi seorang Pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat negeri Kedah Darul Aman khususnya, dan negara Malaysia amnya.

Baginda juga tidak dapat memisahkan diri daripada terlibat dalam melakukan aktivit-aktiviti bersama golongan rakyat. Sebagai landasan untuk membantu dan menyebarluaskan usaha berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan untuk menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu:-

1. Kelab Kedah Darul Aman DiRaja Alor Setar;
2. Persatuan Penuntut-Penuntut Melayu Alor Setar;
3. Persatuan Olahraga Amatur Negeri Kedah Darul Amam;
4. Kelab Kamera Kedah Darul Aman;
5. Oxford & Cambridge Society Malaysia;
6. Persatuan Badminton Malaysia;
7. Persatuan Orkid Persekutuan Tanah Melayu;
8. Persatuan Golf Kedah;
9. Majlis Kebajikan & Sukan Anggota-Anggota Perkhidmatan Kerajaan Malaysia;
10. Penaung Kebangsaan BAPAK;
11. Persatuan Murid Tua Kolej Melayu Kuala Kangsar;
12. Persatuan Jaksa Pendamai Negeri Kedah Darul Aman;
13. Persatuan Perancang Keluarga Kedah Darul Aman;
14. Persatuan Penembak Kedah/Kelab Menembak Kedah Selatan;
15. Kelab Rotary Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim;
16. Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah Darul Aman;
17. Vintage Classic Car Register Malaysia & Singapore;
18. Persatuan Anak-Anak Kedah di Syria;
19. Pertubuhan Bela Didik Anak-Anak Yatim Islam (BEDAYA);
20. Ikatan Mahasiswa Islam Darul Aman (IMIDA) di Acheh;
21. Kelab Golf Darul Aman, Jitra;
22. Persatuan Pengamal Perubatan Homeopati Malaysia;
23. National Association of Snooker & Billiard Sports;
24. Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (Kedah);
25. Kumpulan Guthrie Berhad;
26. Yayasan Sultanah Bahiyah; dan
27. Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka Baginda. Setiap tahun, Baginda dan Raja Permaisuri Agong berangkat menghadiri pelbagai aktiviti di sekolah rendah, menengah, maktab perguruan dan universiti.

Di beberapa buah sekolah rendah dan menengah, Baginda telah mencemar duli berangkat pada setiap Hari Anugerah Cemerlang di sekolah-sekolah tersebut semenjak baginda ditabalkan sehinggalah ke hari ini iaitu lebih 50 tahun.

Selain daripada itu, sebagai seorang pemerintah yang cintakan ilmu pengetahuan Baginda adalah merupakan Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Kolej Universiti INSANIAH Negeri Kedah Darul Aman.

Selain aktif dalam persatuan, Baginda juga merupakan seorang pemerintah yang mencintai alam semulajadi dan senantiasa memberi perhatian kepada pemuliharaan flora dan fauna. Baginda juga amat berminat kepada pemeliharaan haiwan seperti pelbagai jenis burung-burung kegemaran baginda dan juga binatang seperti kuda dan rusa di Istana Anak Bukit.

Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat setiap hari bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan tersebut.

Selain sibuk dengan pentadbiran Negara dan kerja-kerja amal, baginda bijak memperuntukkan sebahagian masa untuk beriadah, berekreasi dan bersukan. Baginda mempunyai minat terhadap sukan golf.

Selain golf, sewaktu muda, baginda juga gemar bermain tennis dan biliard. Bagaimanapun sekarang, baginda hanya bergiat dalam permainan golf namun, baginda sentiasa mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

Demikian juga dalam sukan bola sepak, baginda turut memberi perhatian serius terhadap perkembangan Pasukan Bola Sepak Negara khususnya Negeri Kedah dan sentiasa memberi perangsang dan menyuntik semangat bagi menjulang nama Negeri Kedah dalam arena bola sepak negara.

Walaupun baginda gemar bersukan, namun baginda turut mempunyai hobi yang lain iaitu membaca pelbagai buku ilmiah, melancong dan seni fotografi.

Sumber: BERNAMA

4 comments:

محمد أمين بن أريس berkata...

tak sangke Yang Dipertuan Agong xiv ske bersukan... :)

teha berkata...

smart lg YDPA :)

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
Daulat TuanKu.

caliph shuriken berkata...

ketua negara yg berilmu ^^