09 Mei 2012

2.5 Juta Rakyat Malaysia 25 Tahun Ke Atas Masih Bujang


Kenapa memilih untuk hidup bersendirian? Seorang rakan memberikan alasan mahukan hidup yang bebas. Adakah dengan perkahwinan segala kebebasan diri akan lenyap?

Sekitar 2.5 juta rakyat berusia lebih 25 tahun yang mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, berkata berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.

“Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada 2000 manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun,” katanya.


Heng berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin. Daripada jumlah itu 55.6 peratus adalah lelaki.



"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8 peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.

"Manakala 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai, masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya sebab lain," katanya.

Heng berkata, kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana perkhidmatan itu disediakan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan agama dan beberapa parti politik. - BERNAMA

Sumber: BHarian [2012/05/08]

Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". (Riwayat Ibnu Majah)

Dalil dari Al-Quran yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut:

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". (Surah An - Nisaa' - Ayat 3)

Dalil dari sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". (Riwayat Muslim)

Sumber: http://www.al-azim.com.

P/S: Semoga Allah  pertemukan jodoh untuk mereka dengan segera...

2 comments:

Karen Monica berkata...

semoga kesemua 2.5 juta tu dipercepatkan jodoh :)

Anis Samik berkata...

ada baca dan dgr isu ni pagi td.. jodoh pertemuan semua di tangan allah! bak kata puteri kasih, semoga semua mereka di percepatkan seruan nya! =)