04 Mei 2012

Pameran 'Dinasaurs Live' 2012 Di Pusat Sains Negara


Dinosaur kembali di Pusat Sains 

Pameran Dinosaur ‘Hidup Semula’ kembali diadakan di Pusat Sains Negara buat kali kedua dengan menampilkan lebih 30 spesies haiwan purba berkenaan dengan pendekatan lebih interaktif dan realistik menggunakan teknologi animatronik.

Pengarah Pusat Sains Negara, Prof Madya Dr Irmawati Ramli, berkata pameran selama tiga bulan berkenaan bermula  bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2012, akan membawakan pengalaman menyeluruh merangkumi habitat, maklumat mengenai penemuan haiwan itu, pergerakan juga bunyian dan banyak lagi. Pameran ini kemudiannya dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga 31 Oktober 2012.


“Pameran anjuran bersama Cityneon Holdings dan EMS Holdings diadakan dengan tujuan memberi pendidikan secara berhibur pada zaman prasejarah mengikut spesies yang ada. Antara aktiviti disediakan adalah lawatan berkumpulan, sesi aktiviti, pertandingan berlumba dengan dinosaur, kiosk dinosaur (mewarna dan melukis), ekspedisi dan menunggang haiwan berkenaan,” katanya.

Bayaran masuk RM15 bagi dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun dan juga pelajar dengan kad pengenalan, RM6 bagi kanak-kanak berumur 3 hingga 6 tahun serta warga emas berusia lebih 55 tahun. Waktu beroperasi adalah 9.00 a.m. hingga 5.00 p.m. Dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.dinosaurslive.com.my atau www.facebook.com/dinosaurslive.my. Sebarang pertanyaan boleh berhubung ke talian +60103130118 atau emel ke info@dinosaurslive.com.my

Sumber: BHarian [2012/05/04]

Dinosaur serang Pusat Sains Negara


DIBUKA kepada orang ramai selama tiga bulan, pameran dinosaur di PSN menyasarkan pelajar sekolah sempena musim cuti sekolah ini.

PELAJAR sekolah rendah yang melawat Pusat Sains Negara (PSN), Bukit Kiara pada awal bulan Mei 2012 lalu kelihatan begitu teruja melihat replika dinosaur bersaiz sebenar.

Malah, kadangkala kedengaran jeritan dalam kalangan mereka apabila secara tiba-tiba dinosaur bersaiz gergasi itu bergerak serta mengeluarkan bunyi ngauman.

Sempena cuti sekolah yang bakal tiba, Cityneon Holdings Limited dengan kerjasama EMS Holdings dan PSN mengadakan sebuah pameran, Dinosaur Live yang menghimpun sebanyak 30 buah replika dinosaur yang dipercayai hidup antara 65 hingga 250 juta tahun lalu.

Antara yang dipamerkan ialah ankylosaurus, prnithomimus dan ornithomimus. Menggunakan sistem animatronik iaitu gabungan kejuruteraan mekatronik untuk merealisasi gerakan dinosaur seperti gerakan kepala, leher, kerlipan mata serta jeliran lidah.

Menariknya, gerakan makhluk purba itu diaktifkan dengan menggunakan sistem sensor yang dibuat penyamaran supaya kelihatan seakan-akan sebuah batu.

Menurut pemandu muzium Cityneon, Timoty Quek, 23, sensor tersebut bertujuan menjimatkan tenaga selain memberi kejutan kepada pengunjung.

“Sesetengah replika yang besar memerlukan masa untuk dipanaskan. Apabila pengunjung berlalu pergi, sensor akan membuatkan dinosaur tiba-tiba bergerak. Ia pasti akan membuat pengunjung terkejut,” kata Timoty.

Terangnya, tiada teknologi baharu yang digunakan dalam rekaan bahan pameran kali ini tetapi terdapat penambahbaikan terutamanya ke atas bahan dan pergerakan.

Bak dinosaur sebenar


T-REX bakal menjadi tarikan dalam pameran ini kerana saiznya yang besar dan sifat ganas binatang itu.

Badan dinosaur menggunakan sejenis bahan dipanggil silikone. Berbanding silikon yang mempunyai sifat keras, silikone sedikit lembut dan mudah lentur. Disebabkan penggunaan bahan tersebut, pergerakan yang kecil dan sukar terutama pada bahagian leher boleh dilakukan.

Gambaran replika yang dihasilkan menyamai dinosaur yang sebenar dari segi saiz dan rupa berdasarkan kepada hasil kajian serta arkeologi para saintis sebelum ini.

Tetapi, dari segi tekstur kulit, warna dan bunyi pula, ia hanya imaginasi pereka. Kata Timoty, ia perkara biasa malah pengarah Hollywood tersohor yang menghasilkan filem Jurassic Park turut menggunakan kreativiti dalam menghidupkan reptilia itu.

Suasana kelam tempat pameran dengan hanya beberapa lampu digunakan seperti warna hijau, merah dan biru turut bersebab. Ia bertujuan untuk memberi impak kepada pengunjung bahawa haiwan yang dilihat di hadapan mata mereka sangat besar dan nyata.

“Sebagai contoh, jika dilihat pada replika T-Rex, lampu-lampu dihalakan di bahagian atas pada dinosaur supaya T-Rex kelihatan tinggi dan besar,” terang Timoty kepada Kosmo!

Pameran itu berlangsung selama tiga bulan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2012. Harga tiket yang dikenakan sebanyak RM15 untuk dewasa, manakala kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun ialah RM12. Kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah pula masuk percuma.

“Pelawat boleh membawa anak-anak mereka untuk berhibur sambil belajar,” kata pengarah Urusan Kumpulan Cityneon, Ko Chee Wah.

Menyasarkan kedatangan pengunjung lebih ramai berbanding tahun lalu iaitu seramai 340,000 orang, para pelajar dapat mengalami pengalaman pembelajaran mengenai dinosaur secara tiga dimensi.

Sasaran tersebut dibuat berdasarkan kepada kualiti bahan pameran yang lebih baik pada tahun ini selain aktiviti-aktiviti lain yang dirancang sepanjang pameran seperti bergambar bersama dinosaur, kios dan berlumba dengan reptilia.

Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: Kosmo

3 comments:

Tinta Lana berkata...

Assalammualaikum..

aa, lama tak pi pusat sains negara..kali terakhir msa pameran penerima2 nobel,thun bila tah,hehehe

Unknown berkata...

kalau betul betul hidup tak berani laa cik piqot g sane..kang kne makan nt..hahaha

Unknown berkata...

wah..dulu pernah pergi sekali..memang real la..hehe :)