05 Mei 2012
Program Latihan Industri Di Sekolah Vokasional
Latihan Industri adalah peluang dalami ilmu kerjaya
PAGI itu, Muhammad Zamzani Mohd. Salleh memulakan rutin hariannya seperti biasa di kilang perabot LY Furniture yang terletak di Batu Pahat, Johor. Dikelilingi pelbagai jenis timbunan kayu, remaja itu dilihat begitu bersemangat menjalankan tugasnya.
Satu persatu kayu yang telah diproses menjadi kepingan papan kecil diangkat dan diletakkan di satu sudut dengan berhati-hati.
Jika melihat pada tubuh kecil remaja berusia 17 tahun itu, pasti ramai tertanya-tanya mengapa dia tidak ke sekolah seperti remaja lain yang seusia dengannya? Apakah yang dilakukan di kilang perabot berkenaan dan mengapa pihak pentadbiran kilang membenarkan remaja bawah umur bekerja di situ?
Namun, jangan melemparkan tanggapan negatif secara melulu kerana tugas yang dilakukan Zamzani itu sebenarnya termasuk dalam salah satu silibus program pembelajaran yang diikuti di Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat.
Dikenali sebagai Program Latihan Industri bagi sekolah vokasional, Zamzani boleh dianggap bertuah kerana menjadi pelajar perintis program tersebut yang mula dilaksanakan pada awal tahun 2011.
“Memang seronok apabila berpeluang mengikuti program ini kerana saya dapat merasai pengalaman berada dalam dunia pekerjaan sebenar. Walaupun pada mulanya rasa penat apabila perlu bekerja di kilang, tetapi lama-kelamaan, saya berasa puas,” ujar Zamzani.
Pendapat Zamzani turut dipersetujui rakannya, Muhammad Ilham Zulkifli, 17, yang teruja menimba ilmu sepanjang dua minggu mengikuti latihan industri di kilang tersebut.
Sebagai pelajar aliran kemahiran dalam Kursus Teknologi Perkayuan, Pemprosesan dan Kemasiapan (Timber, Processing & Furnishing - TPF), Ilham gembira kerana dapat mempelajari fungsi sesuatu mesin dan mengenali pelbagai jenis kayu dengan lebih terperinci.
“Waktu kerja kami bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang, sama seperti waktu bertugas pekerja di kilang itu. Apabila berada dalam persekitaran kerja sebenar, barulah saya kenal erti kehidupan dalam aspek mencari rezeki halal.
ZAMZANI (kiri) dan Ilham seronok apabila mendapat pendedahan dalam dunia pekerjaan sebenar.
Ternyata pengalaman bekerja yang dilalui Zamzani dan Ilham, secara tidak langsung mampu menjadikan mereka individu yang matang dalam memahami kehidupan sekali gus menyedari tanggungjawab mereka sebagai pelajar.
Tidak menduduki SPM
Pengetua Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat, Maimunah Mohd. Sidin, 56, berkata, kursus aliran kemahiran itu telah dimulakan pada Januari 2011. Ia khusus buat pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang melangkah masuk ke tingkatan empat.
Secara umum, sekolah tersebut terlibat dalam menghantar pelajar mengikuti program latihan industri bagi kursus TPF (Timber, Processing & Furnishing) yang diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah kapasitinya sebagai Menteri Pelajaran.
“Sejumlah 20 orang pelajar perintis termasuk tiga pelajar perempuan dari SMV Batu Pahat terpilih menyertai program itu. Kesemua mereka tidak akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya akan mengambil Sijil Pelajaran Aliran Kemahiran (SPAK) Malaysia.
Aspek penilaian dibuat mengikut sistem folio. Para tenaga pengajar akan dibekalkan dengan satu set soalan, kertas kerja dan modul mengikut standard yang ditetapkan Jabatan Kemahiran Malaysia (JKM).
Terdapat tiga bahagian penilaian iaitu daripada tenaga pengajar sendiri, pegawai penilai dalaman dan pegawai penilai luaran yang terdiri daripada wakil JKM.
“Apabila lulus, mereka akan memiliki Sijil Teknologi Perkayuan, Pemprosesan dan Kemasiapan Tahap I dan II,” jelas Maimunah sambil memberitahu bahawa perkembangan yang ditunjukkan para pelajar dalam program itu sangat memberangsangkan.
Maimunah mengakui, pada awalnya pihak industri agak kurang yakin dengan kemampuan pelajar untuk bekerja. Namun, berikutan komitmen dan disiplin yang dipamerkan, pelajar terlibat menepati piawaian mereka, kerjasama dengan pihak industri berjaya dicapai.
“Malah, pihak pengurusan industri turut bersetuju memberi elaun tertentu kepada pelajar apabila melihat kualiti kerja yang ditunjukkan mereka. Ada juga yang menawarkan peluang pekerjaan di kilang tersebut selepas tamat belajar,” kata Maimunah yang dilantik sebagai pengetua di sekolah itu sejak 1 Mei 2010.
BEBERAPA orang pelajar melakukan kerja-kerja mengimpal di bengkel Sekolah Menengah Vokasional Tanjung Puteri, Johor Bahru.
Guru ikuti kursus
Tambah Maimunah, sebelum pelajar bekerja dalam industri, dua orang guru telah dihantar mengikuti kursus tersebut terlebih dahulu sebagai langkah persediaan asas untuk mengajar.
Salah seorang guru kursus TPF, Izzudyn Sirang, 44, berkata, pihaknya bertindak sebagai penyelia bagi pelajar yang mengikuti latihan industri di kilang perabot LY Furniture di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat.
“Secara peribadi, saya rasa program ini amat menarik dan berguna kepada para pelajar. Jika sebelum ini hanya pelajar peringkat kolej atau universiti yang terlibat dalam latihan industri atau praktikal, kini pelajar sekolah juga mampu melakukannya.
“Proses ini secara tidak langsung mampu melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berdaya saing sebaik tamat persekolahan kelak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Pembangunan Modal Insan dan Pengurus Kawalan Kualiti LY Furniture, Sin Pin Huang ketika ditemui berkata, pihaknya menyambut baik langkah menghantar pelajar sekolah aliran kemahiran mengikuti latihan industri.
“Untuk menjadi seorang pekerja yang cemerlang, setiap individu perlu mempunyai disiplin diri dan sikap yang baik. Ilmu pengetahuan boleh ditambah, namun jika tiada disiplin dan bersikap buruk, maka sukar untuk sesiapapun mencapai kejayaan,” tegasnya sambil memaklumkan bahawa LY Furniture mempunyai 15 kilang perabot yang keseluruhan hasil produk mereka dieksport ke luar negara.
Kimpalan minyak dan gas
BARISAN pelajar bagi kursus Kimpalan Marin di SMV Tanjung Puteri menunjukkan tanda bagus terhadap program yang mereka ikuti.
Jika SMV Batu Pahat bakal melahirkan pelajar berkemahiran dalam teknologi perkayuan, lain pula ceritanya dengan Sekolah Menengah Vokasional Tanjung Puteri di Johor Bahru yang memperkenalkan kursus kemahiran terbaharu iaitu Kimpalan Marin yang merangkumi silibus kemahiran kimpalan minyak dan gas.
Pengetuanya, Zainuzzaman Mohd. Salleh, 48, memberitahu, kursus tersebut ditawarkan kerana ia mempunyai prospek masa depan yang besar.
“Setakat ini terdapat 15 pelajar lelaki yang telah memilih untuk mengikuti kursus berkenaan dan dibimbing oleh dua orang tenaga pengajar. Kesemua mereka sudah berjaya memperoleh Sijil Juru Kimpal Arca Tahap I.
“Untuk kursus sebegini, pembelajaran lebih tertumpu dalam teknik-teknik kemahiran yang merangkumi 80 peratus berbanding hanya 20 peratus untuk akademik,” jelas Zainuzzaman.
Bagaimanapun, memandangkan kursus itu masih baharu, para pelajar belum berpeluang dihantar mengikuti latihan dalam industri, sebaliknya mereka banyak menghabiskan masa di bengkel sekolah untuk menimba ilmu dalam bidang tersebut.
Bagi Guru Penyelaras merangkap Guru Kanan Vokasional SMV Tanjung Puteri, Faisal Md. Kassim, apabila berada di bengkel, pihak sekolah sentiasa mengutamakan keselamatan para pelajar.
“Dalam kemahiran kimpalan ini, ia banyak melibatkan penggunaan peralatan berisiko tinggi. Justeru, kami harus memastikan tiada perkara buruk yang berlaku apabila pelajar memasuki bengkel seperti memakai pakaian keselamatan dan topeng kimpalan,” tutur Faisal sambil melahirkan keyakinan terhadap pelajarnya untuk mencapai kejayaan apabila melangkah ke alam pekerjaan satu hari nanti.
Sumber: Kosmo
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
elok juga diadakan program sebegini kerana pelajar diberi peluang merasakan dunia pekerjaan yang sebenar jadi tidaklah tertumpu pada latihan dalam kelas sahaja
wah..ser0n0k ue dah ada pengalaman bekerja..da wt praktikal lg..sdgkn y laen2 msih lagi belajar te0ri.. :)
pendekatan yg menarik
program yg bgus.. option kpd yg x bgitu berminat dgn keje2 dlm ofis ^^
Catat Ulasan