06 Mei 2012

Sambutan Hari Bomba Tonjolkan Peranan Ahli Bomba

SELAMAT MENYAMBUT HARI BOMBA SEDUNIA [4 MEI 2012]


Demonstrasi kawad sempena Sambutan Hari Bomba 2011 [Foto BHarian]

Anggota bomba dan kebakaran saling berkait rapat, disebabkan itu apabila berlaku sahaja kebakaran, sudah pasti nama bomba akan meniti di bibir.

Namun, pada masa kini, tugasan yang digalas oleh anggota bomba bukan sekadar memadamkan api malah lebih daripada itu, melakukan aktiviti menyelamat di dalam hutan, mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat kemalangan jalan raya termasuklah membantu kucing terperangkap di atas pokok.

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi tugas bomba yang tidak diketahui ramai. Ia mungkin disebabkan sebahagian daripada khidmat unit beruniform itu tidak dimaklumkan kepada umum.


Terpanggil dengan faktor itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahu berkongsi Hari Sambutan Bomba Sedunia 2012 dengan rakyat  dalam memberi penjelasan mengenai peranan dan tanggungjawab pasukan itu. Sambutan yang diadakan di Dataran Pekan, Pahang adalah kesinambungan Sambutan Hari Bomba Sedunia pada 4 Mei setiap tahun di peringkat antarabangsa.

"Pada hari itu, rakyat akan berpeluang melihat hampir 1,000 anggota bomba dari seluruh negara mengendalikan hampir 50 buah jentera yang dilengkapi peralatan canggih. Orang ramai akan dapat melihat dengan jelas perarakan dan demonstrasi mengenai tugas serta peranan anggota bomba," katanyai

Orang ramai juga diminta tidak melepaskan peluang menyaksikan demonstrasi menyelamat oleh Unit Hazmat dalam mengendali insiden kemalangan melibatkan tumpahan bahan kimia yang jarang berlaku di negara ini.

Pada masa sama, Wan Mohd. Nor mengajak orang awam menyelami tugas dan cabaran digalas oleh perwira negara yang kurang didendang itu. Bagaikan serampang dua mata, di samping dapat menyaksikan demonstrasi anggota bomba, orang ramai dapat menimba ilmu dan pengalaman baru.

Selain demonstrasi pengendalian bahan kimia itu, diadakan juga beberapa pertunjukan lain seperti menyelamat mangsa akibat kemalangan jalan raya, siasatan kebakaran dan pelbagai lagi.

Orang ramai turut berpeluang mengenali pasukan khas bomba antaranya Unit Udara; Unit Pengesan (K-9); Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS); Unit Menyelamat di air; Unit Motosikal Gerak Cepat; Unit Hazmat; Unit Penyiasatan Kebakaran; Unit Memadam Kebakaran Struktur Tinggi; Unit Menyelamat di Jalan Raya; Unit Mencari dan Menyelamat; Pasukan STORM; Unit Memadam Kebakaran Hutan; dan Unit Komunikasi.

"Kami mahu tonjolkan kepada orang ramai bahawa tugas yang dikendalikan oleh anggota bomba itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi memerlukan penelitian," katanya.

Selain bomba, badan-badan unit beruniform lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kebombaan dan menyelamat akan turut serta dalam acara sambutan itu. Antaranya bomba di pelabuhan, kilang, Jabatan Pertahanan Awam , tentera darat serta turut melibatkan anggota kadet bomba sekolah.

"Sambutan seperti ini dapat memberi kekuatan kepada anggota bomba agar terus berbangga dengan profesion masing-masing. Pada masa sama, orang awam juga akan mempunyai rasa hormat dan bangga dengan tugasan yang digalas oleh anggota bomba," katanya.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
Sumber: Utusan

Bilangan Anggota Sukarelawan Bomba Akan Ditambah

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengiatkan usaha meningkatkan bilangan anggota sukarelawan bomba terutama di kawasan pedalaman dan jauh dari balai bomba bagi membolehkan pelaksanaan 'masa respons' 10 minit untuk sebarang bencana, dicapai.

Menterinya Datuk Seri Chor Chee Heung berkata sukarelawan bomba akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang mempunyai radius 20km hingga 30km dari balai bomba terdekat untuk memberi respons segera kepada kejadian bencana.

"Disebabkan itulah kita mewujudkan sukarelawan bomba dan akan menambah bilangannya bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dijalankan," katanya selepas merasmikan Larian Bersama Bomba 2012 sempena sambutan Hari Bomba Sedunia di Dataran Merdeka, Ahad 6 Mei 2012.

Chor berkata calon yang berminat perlu menjalani kursus dan latihan menyelamat termasuk latihan utama selama dua minggu sebelum diserap menjadi anggota sukarelawan bomba.

Setakat ini, katanya, seramai 15,000 anggota sukarelawan bomba daripada 324 pasukan seluruh negara telah berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan jumlah tersebut melebihi bilangan anggota bomba tetap iaitu seramai 13,000 orang.

Sumber: BERNAMA

1 comments:

ch000tz berkata...

yang orang tahu bomba hanya pandai padam api ajer kan heheheh

p/s: wut say you abt beauty ekk..?
http://ch000tz.blogspot.com/2012/05/beauty-only-exists-in-perception.html