21 Mei 2012

Wanita Jepun 73 Tahun Takluk Puncak Everest


GAMBAR fail 9 Mei 2002 menunjukkan Tamae Watanabe (kanan) bersama jurugambar Noriyuki Muraguchi di kaki Gunung Everest di Nepal.

Seorang nenek yang menjadi wanita tertua di dunia sampai ke Gunung Everest sedekad lalu, memecahkan rekodnya sendiri hari ini dengan kembali menawan puncak gunung tersebut pada usianya 73 tahun.

Jurucakap Persatuan Mendaki Gunung China Tibet, Ang Tshering berkata, Tamae Watanabe bersama empat ahli pasukannya mencapai puncak Everest dengan ketinggian 8,850 itu dengan pendakian dari sebelah utara gunung di Tibet dan tiba awal pagi 19 Mei 2012. Dia diiringi empat ahli pasukan termasuk pendaki gunung dan jurugambar, Noriyuki Muraguchi.

Watanabe melakar sejarah pada 16 Mei 2002 apabila dia menawan puncak Everest setinggi 8,848 meter pada usia 65 tahun sekali gus memecahkan rekod yang dipegang pendaki Poland, Anna Czerwinska.


Tshering berkata, Watanabe dan anggota pendakiannya yang lain dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan dalam perjalanan pulang ke kaki gunung.

Mereka mula meninggalkan kem terakhir di ketinggian 8,300 meter pada Jumaat malam dan meneruskan pendakian sepanjang malam sebelum tiba di puncak Everest pada pagi 19 Mei 2012.

Ketibaan kumpulan Watanabe di puncak Everest hampir sama dengan kumpulan pendaki lain yang mendaki dari sebelah selatan gunung di Nepal.

Cuaca di puncak Everest agak mencabar tahun ini sehingga ada beberapa kumpulan membatalkan ekspedisi mereka namun bulan Mei dikatakan menjadi masa terbaik untuk mendaki.

Sementara itu, lelaki tertua yang berjaya menawan puncak Everest ialah warga Nepal, Min Bahadur Sherchan. Dia tiba di puncak gunung berkenaan pada 2008 ketika berusia 76 tahun dan 340 hari.

Sekitar 3,000 orang telah mendaki Gunung Everest yang merintangi negara China dan Nepal sejak puncak tertinggi itu pertama kali ditawan oleh Edmund Hillary dan Tenzing Norgay pada 1953. - AFP

Sumber: UtusanKosmo

6 comments:

caliph shuriken berkata...

hebat semangat nenek ni ^^

adeputra berkata...

bersemangat utk berjaya

Cikgu Badar berkata...

kuatnya nenek ni

gnesop berkata...

sgt hebat mck nih.. kagum!

Elih Japahar berkata...

Huh! memang kuat lagi mak cik ni..haha

afzalsukasuki berkata...

sebaya nenek aku ni.nenek aku paling kuat pon membebel je hahaha