Nuff Atas

17 Jun 2012

Selamat Menyambut Hari Bapa


Hari Bapa disambut di Malaysia setiap tahun pada minggu ketiga bulan Jun. Pada tahun 2012 ini sambutan hari bapa jatuh pada 17 Jun 2012. Sambutan hari bapa diwujudkan bagi tujuan agar anak-anak dan keluarga mengingati dan mengenang peranan, jasa serta budi seorang bapa. Bagaimanapun sebaiknya sambutan hari bapa diraikan setiap hari dengan cara berbakti kepada mereka dengan sebaik-baiknya.



Titip Rindu Buat Ayah ~ Ebiet G Ade

Pengorbanan ibu bapa telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)

Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya  perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya  kedua telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra' ayat : 24)

Sumber: http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/3667-berbaktilah-kepada-ibu-bapa.html

Hidup bahagia bergantung kepada keredaan ibu bapa

SAMBUTAN Hari Bapa mungkin tidak sehebat Hari Ibu daripada segi promosi serta cara meraikannya tetapi itu sedikitpun tidak mengurangkan rasa taat, hormat serta kasih sayang sepatutnya dicurahkan seorang anak kepada bapa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tuhanmu telah memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Jelas kepada kita tanggungjawab anak kepada kedua-dua ibu bapa tidak sepatutnya berbeza walaupun tidak dinafikan kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu berbanding ayah disebabkan naluri keibuan yang menyentuh jiwa anak secara langsung.

Walaupun kita sering merujuk hadis yang popular iaitu bagaimana Rasulullah SAW mengulangi kewajipan mentaati ibu sebanyak tiga kali selepas mentaati Allah ketika ditanyakan sahabat Baginda, itu tidak bermakna kedudukan bapa tidak penting seperti ibu.

Pakar Motivasi yang juga Perunding Utama Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusoff, berkata keutamaan anak mentaati ibu bapa tidak sepatutnya terpisah kerana kebanyakan ayat Allah menggabungkan hak kedua-dua ibu bapa.

Oleh itu katanya, apabila sesuatu perintah atau tanggungjawab diberi kepada anak untuk disempurnakan terhadap kedua-dua ibu bapanya, bermakna ibu dan bapa sewajarnya menerima hak yang sama.

“Keutamaan kita lihat sentiasa diberikan kepada ibu kerana pengorbanan serta cabaran terpaksa ditempuhi mereka daripada mengandungkan, melahirkan serta memelihara. Lagipun, sikap ibu yang sentiasa bersedia berkorban membuatkan anak lebih rapat dengan ibu mereka.

“Mungkin juga keadaan berlaku disebabkan bapa lebih cenderung dilihat sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan hidup. Kesibukan itu menjadikan mereka tidak rapat, namun ini mungkin saja kerana ada juga anak lebih rapat dengan bapa berbanding ibu,” katanya.

Beliau berkata, budaya mengutamakan ibu bukan berlaku kepada masyarakat di negara ini tetapi ia adalah fenomena bersifat sejagat kerana di mana saja, dapat dilihat anak lebih senang meluahkan perasaan atau mengadu dengan ibu mereka.

Katanya, dari sudut tanggungjawab membimbing serta mendidik anak juga tiada beza kerana kedua-dua ibu bapa wajib memenuhi amanah itu. Jadi, dari sudut layanan juga, tidak ada istilah anak emak atau anak bapa.

Ahmad Shukri berkata, sama seperti kata-kata popular biasa di dengar, ‘di sebalik kejayaan setiap lelaki ada wanita yang menjadi pendorong’, anak-anak boleh menye-mat satu lagi kata-kata indah iaitu ‘di sebalik kejayaan seorang anak, ada ibu yang mendoakan’.

Justeru, anak tidak boleh bermegah bahawa semua kebahagiaan atau kejayaan dicapai adalah atas usaha dirinya sendiri kerana tanpa reda Allah serta kedua ibu bapa, mungkin mereka tidak berada di mana mereka berada sekarang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab sewaktu mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

Ketika kedua-dua ibu bapa masih hidup anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Apabila kedua-dua meninggal dunia, menjadi tanggungjawab anak mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka.

Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun sudah mempunyai keluarga sendiri, tetap wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati ibu bapa dianggap anak derhaka dan kesalahan menderhaka termasuk dalam dosa besar.

Oleh Hasliza Hassan
Sumber: BHarian

1 comments:

Puteri Kasih berkata...

seorang bapa sanggup mengadai nyawa demi seorang anak namun sanggupkah seorang anak berkorban demi kebahagiaan bapanya?