17 Jun 2012

Keajaiban Di Sebalik Ibadah Solat

Bersempena Sambutan Peristiwa Isra' Dan Mi'raj [17 Jun 2012 / 27 Rejab 1433H]



Bulan Rejab akan melabuhkan tirai tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadan. Bulan Rejab, cukup sinonim dengan peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu Israk dan Mikraj .

Ia merupakan sebuah perjalanan kilat Rasulullah S.A.W menghadap Allah S.W.T, pada waktu malam hari. Kisah perjalanan baginda bermula dari Masjidil Haram, Mekah menuju ke Masjidil Aqsa, Baitulmuqaddis. Baginda kemudiannya dibawa ke langit sehingga ke Sidratulmuntaha, lalu kembali ke Mekah pada malam yang sama. Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab 662 Masehi pada usia baginda 52 tahun.

Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan pelbagai hikmah dan kelebihan. Pada peristiwa itu, Allah S.W.T telah memfardhukan solat lima waktu iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas semua umat Islam. Solat sehari semalam itu merupakan rukun Islam yang kedua.

Peristiwa Israk dan Mikraj membawa peringatan dan pengajaran yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, terutamanya amalan solat yang merupakan tiang agama yang wajib ditunaikan.


"Sebelum bertudung, saya terlebih dahulu menyucikan hati dan membaiki solat. Saya sentiasa berusaha menunaikan solat lima waktu walaupun sibuk dengan bermacam-macam aktiviti. Amalan solat tidak boleh dipandang remeh kerana ia perkara pertama akan dihisab pada hari akhirat," luah selebriti Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot, 33. Beliau menyatakan, adalah lebih bermakna sekiranya seseorang muslimah itu bukan sekadar menutup aurat dan bertudung litup, tetapi turut menjaga solatnya.

Tegas wanita berdarah campuran Australia (sebelah bapa) dan Aceh (sebelah ibu) itu, dengan mendirikan solat ia membantu mengukuhkan hati dan iman para muslimin. Pada masa yang sama, orang yang bersolat itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sombong kepada Allah, Yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta.

"Jika tidak bersolat, ini bermakna kita sombong dengan Allah. Justeru, jika kita bersikap bongkak dengan-Nya, maka tidak mustahil kita akan sombong terhadap manusia dan hidupan lain," kata Wardina yang mendidik tiga orang anaknya, Amna Ikhwan Johari, 9, Azra, 6, serta Imran, 3, solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.

Solat membentuk akhlak


SEHARUSNYA amalan solat disemai dalam diri individu sejak zaman kanak-kanak.

Sementara itu, Syahmi Hakim Kechnter Sha, 13, mengakui transisi kehidupannya hari ini lebih bermakna. Pada zaman kanak-kanaknya, dia tidak terlalu memikirkan soal solat dan mengaji al-Quran kerana beranggapan amalan tersebut akan dilaksanakan apabila dewasa kelak.

"Biasalah masa zaman kanak-kanak terlalu asyik dengan pelbagai aktiviti sehingga saya lalai. Kalau solat pun ikut mood, padahal solat itu perlu dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan. Jenuh jua keluarga menasihati, tetapi saya tetap leka.

"Setelah mencapai usia 12 tahun, saya mula berubah dan berusaha untuk tidak meninggalkan solat lima waktu," terang anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu yang bercita-cita bergelar pendidik dan pakar motivasi. Dia kini menuntut di Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) yang beroperasi di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Luah anak kelahiran Juasih, Negeri Sembilan itu lagi, sememangnya amalan bersolat membawa 1,001 keajaiban yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Apa yang pasti, solat membantunya membentuk akhlak dan budi pekerti.

Menghafaz al-Quran

Bagi Wan Abdul Hakim Wan Zulkifli, 11, dia menyifatkan tanggungjawab menunaikan solat seharusnya dididik sejak kecil lagi. Sebagai umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan Allah untuk hidup di muka bumi ini, bersolat adalah platform yang terbaik dan lebih afdal.

"Setiap hari, saya memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam untuk membaca dan mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam ingatan. Selain itu, bagi menguatkan lagi proses menghafaz ayat-ayat al-Quran beserta tajwid dan nahu yang betul, saya akan membacanya ketika mengimamkan solat jemaah," kata anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang selalu menjadi imam untuk kumpulan pelajar tahap satu.

Setakat ini, Wan Abdul Hakim, sudah mampu menghafal lima juzuk al-Quran dengan lancar.

Erti perpaduan dalam solat

Salah seorang tenaga pengajar di ATAH, Hatim Nabihah Mohamad Khairi, 21, memberitahu, amalan solat memiliki fadilat secara tersurat dan tersirat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, solat juga salah satu cara terbaik untuk mengajar umat Islam erti perpaduan dan keseragaman dalam menjalani kehidupan seharian.

"Di ATAH, kami menekankan para pelajar terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah menunaikan solat secara berjemaah yang diketuai seorang imam.


WARDINA (kanan) dan suami sentiasa menunaikan solat jemaah bersama tiga orang permata hati mereka.

"Hubungan antara imam dan makmum ketika melunaskan solat jemaah bertujuan mempamerkan situasi bersatu hati dalam kalangan orang Islam ketika menghadap Ilahi," tutur anak kelahiran Ampang, Selangor yang turut bertindak sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.

Tambah Hatim, sememangnya solat jemaah itu dituntut dalam Islam. Mengikut mazhab Shafie, hukum solat berjemaah ialah fardu kifayah meskipun sesetengah pendapat menyatakan hukumnya sunat muakad.

"Selain itu, keunikan solat jemaah bukan saja menawarkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, malah ia medium terbaik untuk merapatkan ukhwah sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa, pangkat dan umur," terang Hatim yang sebentar tadi meminta para pelajar memperkemaskan diri dan membetulkan saf sebelum melakukan solat Asar.

Istinjak perlu betul


PADA peristiwa Israk dan Mikrak, Allah S.W.T telah memfardukan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam di muka bumi ini.

Dalam pada itu, pengasas ATAH, Roslailawati Mohamad atau lebih mesra disapa Ibu Laila, menyifatkan bahawa solat itu merupakan tiang agama yang perlu kukuh dalam diri setiap umat Islam.

Tidak dinafikan kebanyakan muslimin segera menunaikan kewajipan solat sebaik saja kedengaran laungan azan, namun persoalannya, adakah sebelum mengambil wuduk dan bersolat, individu telah melakukan istinjak dengan sempurna?

"Istinjak atau menyuci memerlukan kita membersihkan dubur dan kemaluan sesudah buang air kecil atau besar serta perlu dilakukan sebelum berwuduk. Proses ini wajib dititikberat bagi memastikan tubuh badan bebas daripada rasa, bau dan warna kotoran atau najis.

"Selesai beristinjak barulah berwuduk dan pastikan aliran air rata pada seluruh anggota wuduk seperti muka, tangan sehingga siku, kepala dan bahagian kaki. Kemudian, disusuli dengan solat yang perlu dijaga tata tertibnya," terang Ibu Laila, 52, yang turut menyatakan apabila tiga perkara asas seperti istinjak, wuduk, dan tertib solat dijaga, ia secara tidak langsung membuka peluang kepada individu memperoleh solat berkualiti.

Tambah ibu kepada tujuh cahaya mata dan sembilan orang cucu berkenaan solat yang berkualiti membantu membentuk akhlak yang mulia. Pada masa yang sama, amalan solat mampu menghalang umat Islam daripada melakukan perkara yang mungkar dan dilaknati Allah.

"Namun, jangan terkejut sekiranya berjumpa dengan sekelompok individu yang jarang meninggalkan solat, tetapi mereka antara umat yang tegar melakukan maksiat. Mengapa? Jawapannya mudah saja kerana perkara asas solat belum dilunaskan dengan baik," jelas Ibu Laila yang menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen Jom Solat dan Kem Solat.

Sumber: Kosmo

4 comments:

Unknown berkata...

nice info bro..


SEKURANG-KURANG YE AKU BOLEH RE CALL BALIK PERISTIWA TUH KANNN :)

Diari Si Froggie berkata...

bila baca entry nie automatik refresh semula otak mengenai isra & mikraj.. nice info koding..

caliph shuriken berkata...

arigatou utk en3 ni.. nice sharing ^^

Unknown berkata...

good info..peringatan untuk menjadi hamba yang lebih baik..