21 Julai 2012

Hikmah Solat Tarawih


SOLAT tarawih walaupun tidak diwajibkan ke atas orang Islam, namun ia membawa kelebihan tersendiri jika dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'.

Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.

Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.


Dalil Solat Tarawih

Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.

Aisyah r.a. berkata; “Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda S.A.W. mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.

Hukum Solat Tarawih

Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sembahyang tarawikh lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah. Solat terawih termasuk solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Kelebihan Sembahyang Tarawih

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Sumber: Wikipedia

Hikmah Solat Tarawih

PADA bulan Ramadhan al-mubarak ini elok sangatlah kita bersama-sama bermuhasabah tentang amal ibadah kita. Antaranya ialah solat tarawih yang hanya setahun sekali dapat kita laksanakan.

Tarawih bermaksud berehat-rehat atau bersenang-senang. Oleh itu, solat tarawih dianjurkan untuk dilakukan secara berjemaah dan diselang-selikan dengan doa dan selawat seperti yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita agar para jemaah dapat menikmati ibadah dalam penuh kekhusyukan dan ketenangan.

Solat tarawih dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW pada malam-malam bulan Ramadan. Kali pertama, baginda keluar ke Masjid Nabawi untuk bersolat tarawih dan diikuti oleh sebilangan sahabat.

Begitu juga pada malam kedua dan pada malam ketiga. Bilangan sahabat semakin ramai dan menanti untuk mendirikan solat tarawih bersama Baginda. Akan tetapi, Baginda tidak keluar untuk bersolat dengan sahabat.

Pada keesokan paginya, Baginda bersabda: "Sungguh aku telah menyaksikan apa yang kamu semua lakukan. Tidak ada yang menghalangku untuk keluar (solat tarawih) bersama kamu semua selain aku khuatir sekiranya ia difardukan kepada kamu semua."

Tidak keluarnya Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat bersama sahabat pada waktu itu adalah kerana Baginda SAW khuatir jika dilakukan terus-menerus ia akan menjadi wajib ke atas umatnya.

Itulah tanda kasih sayang Baginda pada umatnya, walhal ada riwayat dari Aisyah yang mengatakan setelah Baginda pulang mengerjakan tarawih di masjid, Baginda menyambung solatnya sehingga hampir subuh dan tidak kurang daripada 20 rakaat, bahkan lebih dari itu yang dikerjakan oleh Baginda.

Dewasa ini para umatnya mengambil kesempatan atas keprihatinan Baginda sehingga meringankan ibadah tarawih, bahkan timbul perbalahan tentang bilangan rakaat solat terawih.

Solat tarawih ialah solat sunat bagi lelaki dan wanita yang dilakukan setelah solat Isyak sebelum solat witir pada bulan Ramadan. Ia ditunaikan secara berjemaah dengan memberi salam pada setiap dua rakaat.

Dari Abu Hurairah, dia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat mementingkan solat malam bulan Ramadan dengan perintah yang tidak mewajibkan.



Baginda bersabda: "Siapa yang menunaikan solat tarawih dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan keredaan Allah), maka diampunkan dosanya yang telah lalu."

Tentang bilangan rakaat solat tarawih, jumlah tersebut (20 rakaat) dijelaskan oleh Saidina Umar al-Khattab melalui perbuatan ketika terakhir kali berkumpul dengan sahabat yang solat di belakang seorang imam.

Para sahabat sepakat terhadap yang demikian, begitu juga sepeninggalan beliau, para Khalifah ar Rasyidin tidak ada yang mempertikaikannya.

Seperkara lagi, kita perlu saling mengingatkan bahawa solat tarawih merupakan sunat muakkad. Namun begitu, ramai dalam kalangan masyarakat kita tersalah anggap dan tersalah lakukan.

Solat yang fardu lima waktu tidak dipelihara tetapi solat tarawih yang dikejarkan. Ini berlaku kerana umat Islam tidak menitikberatkan soal awlawiyyat (keutamaan) sehingga mendahulukan yang sunat ke atas yang fardu.

Diharapkan Ramadan tahun ini kita berubah menjadi insan kamil dan beribadah sehendaknya serta beribadah dengan ilmu agar tidak lagi menjadikan Ramadan sebagai pentas lakonan semata-mata.

Sumber: Kosmo

Klik Sini Untuk Download Panduan Solat Tarawih Terbitan JAKIM.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus beramal sepanjang Ramadhan ini.

9 comments:

Unknown berkata...

salam Ramadhan dr saya

yusuflaili(Goku) berkata...

salam ramadhan;

sama2lah kita solat tarawih selagi termampu!!.

AZLA berkata...

Silaturahmi di bulan puasa, apa kabar sahabatku...

Saudari Nurul berkata...

Ayuhhh solat terawihhh :D

~LoVE PiNk~ berkata...

selamat berpuase dan menjalani ibadat tarawih..

ewanthology berkata...

salam ramadhan... harap2 dapat terawikh full tak miss..huhu

Karen Monica berkata...

selamat berpuasa yer :)

caliph shuriken berkata...

selamat beramal sepanjang ramadhan ^^

sarah berkata...

salam perkenalan..selamat menyambut puasa dan selamat menambahkan pahala..jom singgah blog saya...