21 Julai 2012
Skim Persaraan Swasta (PRS)
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Skim Persaraan Swasta (PRS) yang memberi peluang kepada golongan pekerja dan mereka yang bekerja sendiri membuat simpanan persaraan secara sukarela bermula September 2012 ini.
Perdana Menteri berkata, PRS diwujudkan untuk memastikan setiap orang dewasa produktif yang masih muda dan generasi Malaysia akan datang mempunyai tabungan dan simpanan aset kewangan mencukupi menjelang persaraan mereka.
"Skim ini menawarkan pelbagai peluang kepada rakyat. Bagi individu, PRS menyediakan dana persaraan untuk mobiliti karier manakala bagi pihak majikan pula, ia mungkin boleh digunakan untuk mengekalkan bakat sedia ada, di samping menarik bakat-bakat baru.
"Sehubungan itu, saya menyeru majikan mempertimbangkan penggunaan PRS untuk menawarkan lebih banyak pakej ganjaran menarik dalam bentuk sumbangan bagi faedah persaraan pekerja," katanya.
Skim Persaraan Swasta (SPS) ini dirangka khusus untuk memenuhi keperluan persaraan rakyat, terutama yang bekerja sendiri dan tidak menyertai sebarang skim persaraan.
Skim Persaraan Swasta adalah skim simpanan yang disediakan oleh lapan penyedia dana swasta yang dilesen dan diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Lapan penyedia dana itu adalah AmInvestment Management Sdn. Bhd.; American International Assurance Bhd.; CIMB-Principal Asset Management Bhd.; Hwang Investment Management Bhd.; ING Funds Bhd.; Manulife Unit Trust Bhd.; Public Mutual Bhd. dan RHB Investment Management Sdn. Bhd..
Najib berkata, PRS dirangka untuk memberikan saluran tambahan kepada pekerja dan pekerja yang bekerja sendiri membuat simpanan persaraan mereka.
Pelepasan Cukai
Menurut beliau, sebagai insentif penyertaan dalam PRS, individu diberikan pelepasan cukai sehingga RM3,000 manakala majikan pula diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerja mereka di atas pada kadar yang diwajibkan dan sehingga 19 peratus gaji pekerja.
Katanya, pengecualian cukai turut diberikan ke atas pendapatan yang diterima daripada skim itu.
Buat permulaan, 24 dana diuruskan oleh enam daripada lapan penyedia SPS yang diluluskan, akan ditawarkan di bawah skim itu mulai September 2012 ini. SPS adalah skim pelaburan sukarela yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk membantu orang ramai membuat simpanan masa tua.
Set pertama skim tersebut mengandungi 24 dana dan para pekerja boleh memilih dana pertumbuhan, dana sederhana dan konservatif berdasarkan risiko yang dipilih.
Selain secara individu ia membuka peluang kepada majikan membuat caruman tambahan secara sukarela untuk tabungan simpanan persaraan kakitangan mereka.
Pelancaran SPS itu melengkapkan skim persaraan untuk rakyat, selain dana pencen bagi kakitangan awam dan caruman pekerja menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketika pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, matlamat negara adalah untuk memiliki pelbagai skim persaraan yang cergas dan mapan bagi manfaat generasi Malaysia akan datang.
Kehidupan Selesa Selepas Bersara
“Harapan saya adalah untuk memastikan setiap orang dewasa produktif yang masih muda dan generasi Malaysia akan datang mempunyai tabungan dan simpanan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati sepenuhnya persaraan nanti.
“Dengan meningkatnya purata jangka hayat rakyat kepada 80 tahun, generasi masa depan akan mempunyai lebih 20 tahun untuk menikmati kehidupan selepas persaraan. Mesejnya amat jelas, iaitu rakyat Malaysia sebagai pengguna bijak mesti berusaha lebih untuk menabung,” katanya.
Najib berkata, bagi menarik pekerja, majikan disaran menawarkan pakej ganjaran untuk pekerja menyertai skim itu dan memberi kebebasan kepada mereka membuat keputusan mengenai jenis skim yang disertai.
Beliau juga berkata, perkembangan industri pencen swasta berpotensi mengubah landskap persaraan negara dengan meningkatkan perlindungan secara sukarela kepada semua rakyat supaya mempunyai tabungan tambahan apabila bersara.
Sumber: BHarian [18 Julai 2012], Utusan [18/07/2012]
Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penubuhan Skim-Skim Persaraan Swasta di Kuala Lumpur pada 18 Julai 2012. - Foto Bernama
Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menubuhkan Pentadbir Pencen Swasta (PPA), sebuah pusat sehenti yang akan mentadbir urus skim persaraan swasta di negara ini. PPA akan diterajui oleh Zaiton Mohd Hassan, yang kini pengarah urusan Capital Intelligence Advisors Sdn Bhd.
SC berkata ia telah meluluskan set pertama yang mengandungi 24 dana oleh beberapa skim persaraan swasta yang disediakan oleh beberapa penyedia Skim Persaraan Swasta yang diluluskan oleh SC dan ini akan ditawarkan kepada orang ramai mulai bulan September.
Ia berkata penubuhan PPA adalah komponen akhir kerangka Skim Persaraan Swasta (PRS). PRS adalah satu skim simpanan persaraan sukarela yang dibentuk oleh penyedia dana sektor swasta yang mendapat lesen dan kelulusan SC. Dana di bawah skim itu juga tertakluk kepada kelulusan SC.
Set pertama skim-skim itu terdiri daripada 24 dana oleh beberapa penyedia skim persaraan swasta yang telah diluluskan oleh SC dan tersedia untuk ditawarkan kepada orang ramai mulai September 2012 dan bulan-bulan seterusnya.
PRS ialah skim simpanan atau tabungan persaraan sukarela yang distrukturkan oleh para penyedia dana sektor swasta yang berlesen dan diluluskan oleh SC.
PRS bertujuan memberikan saluran tambahan kepada pekerja dan mereka yang bekerja sendiri untuk membuat simpanan persaraan mereka. Pelbagai jenis dana akan disediakan bagi memenuhi matlamat persaraan dan profil pelaburan individu.
SC berkata, ia juga akan memberikan peluang kepada majikan untuk membuat sumbangan tambahan secara sukarela ke atas simpanan persaraan kakitangan mereka.
"Sebagai insentif penyertaan dalam PRS, individu diberikan pelepasan cukai sehingga RM3,000 manakala majikan diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat.
"Pengecualian cukai juga diberikan kepada pendapatan yang diterima dari dana PRS," katanya.
Dalam pada itu Najib berkata, "PRS menawarkan peluang untuk rakyat. Dalam kes individu, PRS boleh menyediakan persekitaran untuk individu mengukuhkan dana persaraan bagi pergerakan kerjaya, sementara untuk majikan, PRS boleh digunakan sebagai alat untuk mengekalkan dan menarik bakat."
"Saya menggesa agar majikan menimbang menggunakan PRS untuk menawarkan pakej ganjaran atau pulangan yang menarik dalam bentuk sumbangan yang tinggi kepada faedah persaraan pekerja mereka dan pada masa yang sama memberikan pekerja mereka kebebasan untuk membuat keputusan jenis skim yang ingin mereka sertai," tambah beliau.
Najib berkata, perkembangan industri pencen swasta mempunyai potensi untuk mengubah wajah landskap persaraan di Malaysia dengan meningkatkan dan menambah perlindungan berdasarkan sukarela kepada semua sektor pasaran buruh, termasuk yang bekerja sendiri dan membolehkan rakyat Malaysia mendapat tabungan tambahan dan mencukupi apabila mereka bersara.
Bagi menggalakkan penyertaan dalam PRS, Najib berkata langkah-langkah percukaian dalam Belanjawan Persekutuan tahun 2012 telahpun diumumkan.
Ini termasuklah pelepasan cukai persendirian sehingga RM3,000 manakala majikan diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat kepada PRS bagi pihak pekerja mereka, di atas daripada kadar yang diwajibkan dan sehingga 19 peratus gaji pekerja.
Malaysia pada masa ini dirahmati dengan populasi muda dengan usia purata rakyatnya adalah sekitar 26 tahun.
"Dengan meningkatnya jangka hayat untuk kedua-dua lelaki dan wanita, purata jangkaan hayat Malaysia ketika dilahirkan dijangka meningkat kepada 80 tahun - dalam kata lain, generasi akan datang akan mempunyai lebih 20 tahun untuk terus hidup selepas persaraan.
"Mesejnya amat jelas: Rakyat Malaysia sebagai pengguna mesti berusaha keras untuk menabung/berjimat," kata beliau.
"Apa yang benar-benar saya inginkan ialah memastikan setiap seorang dewasa yang produktif, malah, generasi masa depan Malaysia selepas mereka, akan mempunyai tabungan dan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka benar-benar menikmati alam persaraan mereka," kata Najib.
Dalam membina asas yang kukuh untuk masa depan, Najib berkata, ini seharusnya menjadi matlamat penting yang bukan sahaja kerajaan, tetapi semua rakyat Malaysia, mesti cita-citakan.
Beliau berkata, sebagai tambahan kepada skim KWSP yang diwajibkan dan pelbagai skim sektor awam, kerajaan juga telah meneruskan inisiatif berkaitan yang lain, termasuk cadangan untuk menaikkan usia persaraan ke 60 tahun.
"Sebuah negara yang berpendapatan tinggi mesti mempunyai rangka kerja sosial yang kukuh dan mampan bagi memastikan tabungan/simpanan persaraan yang mencukupi. Ini melibatkan penyertaan sektor awam dan swasta bagi memastikan negara bersedia bagi berhadapan dengan cabaran populasi tua di masa hadapan," kata beliau.
Wawasan 2020, menurut Najib, bukan semata-mata untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK ataupun meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia kerana ia juga mengenai meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Seiring dengan perkembangan ekonomi menerusi usaha dan ikhtiar kita semua - kerajaan, sektor swasta dan rakyat, kita juga mahu memastikan kemampanan cara hidup dan kemakmuran yang negara nikmati.
"Inilah tanggungjawab yang kerajaan tidak pandang ringan dan ia adalah aspek dalaman pelbagai program transformasi kita," kata beliau.
Sumber: Sinar Harian [19/07/2012]
Teliti tawaran sebelum buat pilihan SPS
Kakitangan swasta kena faham manfaat pelan.
Kakitangan sektor swasta disaran supaya meneliti 24 Skim Persaraan Swasta (SPS) yang akan ditawarkan lapan penyedia skim berkenaan mulai September 2012 ini sebelum membuat pilihan masing-masing.
Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta (PPS), Zaiton Mohd Hassan berkata ia bagi memastikan mereka memahami manfaat yang diperoleh daripada skim berkenaan.
“Jangan terburu-buru dan sebaiknya banyak bertanya untuk memastikan anda benar-benar faham mengenai skim yang ditawarkan,” katanya.
Sebagai pusat sehenti, PPS memainkan peranan penting sebagai infrastruktur yang memudahkan SPS dilaksanakan dengan mewujudkan pentadbiran yang cekap.
Pemegang akaun akan mempunyai akses mudah kepada maklumat dan pemindahan dana. SC pula mengawal selia dan mengawal semua pengantara dalam industri SPS, merangkumi Penyedia SPS, PPS dan Pemegang Amanah Skim serta pengedar SPS.
Zaiton berkata, penyertaan skim ini adalah secara sukarela dan sehubungan itu semua pihak terbabit wajar membuat keputusan mengikut penilaian sendiri.
Sumber: BHarian [18/07/2012]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan