03 Julai 2012
Logo HALAL JAKIM & MAIN Dikuatkuasakan.
Ungkapan, logo halal dikuatkuasa
Tarikh 30 Jun ialah tarikh terakhir bagi semua premis makanan di Malaysia, seperti restoran dan medan selera menggunakan perkataan atau ungkapan halal seperti 'halal', 'Makanan orang Islam', 'Ditanggung Halal' atau apa juga objek atau lambang Islam atau sebarang jenis logo halal melainkan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Manakala bagi bukan Islam, adalah dilarang menggunakan ayat-ayat al-Quran di premis mereka.
Ini adalah selaras penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang melindungi pengguna daripada dikelirukan atau diperdayakan.
Perintah itu telah menamakan Jakim dan MAIN sebagai agensi pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf sebagai pihak berkuasa berwibawa. Oleh itu, adalah satu kesalahan bagi mana-mana pihak mengeluarkan dan menggunakan logo halal atau ungkapan halal selain logo halal Malaysia.
Sebenarnya penguatkuasaan telah bermula pada 1 Januari 2012 untuk premis makanan, tapi budi bicara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jakim, maka diberikan tempoh peralihan selama enam bulan kepada pihak terbabit untuk mematuhi peraturan baru ini.
Dalam tempoh enam bulan sebelum ini, Jakim telah menggunakan pelbagai saluran untuk menghebahkan perkara itu. Tiga bulan pertama melalui kaedah pendidikan dan tiga bulan berikutnya telah dikeluarkan amaran.
Ada pengusaha mengeluh mengapa enam bulan. Sedangkan dalam perintah tersebut dinyatakan tempoh peralihan adalah setahun kepada produk di pasaran. Sebenarnya tempoh yang disebut dalam perintah tersebut hanya kepada produk berlabel sahaja yang sukar untuk menghabiskan label tersebut. Sedangkan logo halal di premis mudah ditanggalkan.
Jika sabit kesalahan kegagalan mempamerkan logo halal yang sah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama dan RM500,000 kesalahan kedua. Namun bukan denda itu yang mahu diuar-uarkan. Tetapi yang penting kesedaran dan tanggungjawab semua menyahut seruan kerajaan.
Diwartakan
Apabila perintah ini diwartakan, ada suara yang mempertikaikan usaha kerajaan dengan mengatakan Jakim dan MAIN memonopoli pensijilan halal. Sebenarnya urus tadbir pensijilan halal hendaklah dikendalikan orang yang ahli, pakar dan berkuasa untuk menguatkuasakannya.
Sehubungan itu, ia tidak boleh diurusniagakan atau diswastakan kerana ia bukan seperti pensijilan yang lain. Perkara ini telah lama dan banyak dibincangkan oleh pakar-pakar perundangan dan akhirnya perintah ini diwartakan.
Setelah hampir 38 tahun barulah APD 2011 berkaitan halal ini berjaya digubal dan dikuatkuasakan. Sebelum ini ia dikuatkuasakan di bawah Perintah Perihal Dagangan Perbahasaan Halal 1975.
Namun terdapat kelemahan seperti hanya produk makanan sahaja dilindungi, membolehkan perisytiharan halal sendiri menyebabkan pelbagai jenis logo di pasaran, membenarkan penggunaan representasi halal dalam bentuk ayat al-Quran dan sebagainya oleh bukan Islam, tiada badan pensijilan halal khusus disebut dalam undang-undang bagi mengeluarkan sijil dan logo halal.
Semua ini menyebabkan kekeliruan, khususnya di kalangan pengguna Islam. Maka dengan penguatkuasaanya nanti, boleh menyelesaikan kekeliruan pengguna selama 38 tahun yang lalu. Sesungguhnya perjalanan halal ini sangat jauh tetapi yang penting adalah kesan dan pencapaian di sebalik perjalanan tersebut.
Oleh MOHD. AMRI ABDULLAH [Utusan]
Peringkat Pendidikan
JAKIM sudah melaksanakan peringkat pendidikan dan amaran untuk pengusaha premis makanan dan restoran dari Januari hingga Jun 2012 lalu dan tindakan penguatkuasaan dibuat mulai Julai hingga Disember 2012 ini. Berikutan itu, JAKIM mengarahkan premis yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf supaya melupuskannya serta merta dan mendapatkan sijil halal daripada jabatan itu atau Majlis Agama Islam Negeri.
JAKIM, menjelaskan ia sudah berusaha membantu pengusaha premis makanan termasuk membuat pindaan terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan 2011) dengan melonggarkan syarat minimum dua pekerja Muslim tempatan berjawatan tetap kepada minimum dua pekerja Muslim berjawatan tetap (termasuk warga asing). [BHarian]
Tindakan Terhadap Premis Makanan
Melalui pindaan akta (Akta Perihal Dagangan (APD) 1972) baru-baru ini, JAKIM diberi kuasa untuk turun padang melakukan serbuan, tidak seperti sebelum ini, yang mana JAKIM perlu menumpang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan apabila mahu melaksanakan satu-satu operasi serbuan.
Jakim telah memberi kelonggaran kepada pemilik premis selama enam bulan untuk mendapatkan sijil halal JAKIM yang sah, selepas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012 lalu. Menerusi pindaan akta itu, hanya sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri akan diguna pakai.
Kegagalan berbuat demikian, pemilik premis berdepan denda maksimum RM5 juta kerana kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna. [BERNAMA].
Pengusaha premis makanan dinasihatkan agar tidak mengelirukan pengguna dengan logo halal palsu dan tulisan ayat-ayat al-Quran jika masih tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri. Tindakan hanya akan diambil pihak Jakim jika premis tersebut memaparkan logo halal selain keluaran Jakim.
Tindakan yang diambil oleh Jakim adalah untuk memastikan tiada pengguna beragama Islam tertipu dengan penggunaan logo atau ayat-ayat yang kononnya premis makanan tersebut dijamin halal. [Utusan]
"Sepatutnya pengusaha premis makanan termasuk perniagaan berasaskan farmaseutikal dan kosmetik telah menukar sijil halal mereka yang dikeluarkan oleh agensi lain kepada sijil halal Jakim dalam tempoh itu," katanya selepas merasmikan seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di sini, hari ini.
Seramai 62 petugas yang ditauliahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak terhadap mana-mana premis yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal Jakim dan MAIN, serta yang masih mengekalkan sijil yang dikeluarkan oleh pihak lain.
Setiap permohonan baru dan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan oleh Jakim hanya mengambil kira-kira sebulan untuk mendapatkan kelulusan, manakala untuk memperbaharui sijil, hanya mengambil kira-kira sejam untuk diluluskan. [BHarian]
Tidak Wajib Pohon Sijil Dan Logo Halal
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengusaha premis makanan tidak diwajib memohon sijil halal, namun digalak berbuat demikian secara sukarela. Langkah itu katanya sebagai tanda prihatin terhadap pengguna Islam di negara ini.
"Kerajaan tidak paksa semua kedai (pohon dan pamer sijil dan logo halal) kerana pasaran kita terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Jika kita wajibkan, kita terpaksa fikir tentang makcik berniaga nasi lemak di Kedah, nasi dagang di Kelantan, dan keropok lekor di Terengganu yang duduk di kampung dan tak pernah keluar tetapi terpaksa pula memohon sijil halal, maka tutup kedailah mereka," katanya. [Bernama]
Kuasa Pengguna
Pengguna perlu memainkan peranan bagi memastikan kedai makan dikunjungi betul-betul menggunakan logo halal diiktiraf yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN.
Mungkin jika kuasa Jakim sahaja sukar untuk mendidik pengusaha terlibat tetapi sekiranya pengguna khususnya umat Islam turut menggunakan kuasa memilih mereka, sudah tentu perkara ini akan selesai.
Jika pengguna hanya memilih untuk mengunjungi kedai-kedai yang mempunyai logo halal Jakim, ia akan memangkin pengusaha makanan lain untuk memohon logo halal itu sahaja dan bukannya daripada pihak lain. [Utusan]
Jika pengguna Islam sewenang-wenangnya mengunjungi premis makanan tanpa mengambil kira status halalnya, maka peniaga juga tidak melihat kepentingan untuk mereka mendapatkan pensijilan halal yang sah.
Jakim tidak mewajibkan semua premis makanan mendapatkan logo dan sijil halal, oleh itu pengguna Islam perlu sentiasa mengambil tahu serta mengenali sijil halal yang benar-benar sah. [BERNAMA]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan