25 Julai 2012

Penguatkuasaan Bestari Didik Peniaga Lebih Beretika Dan Mesra Pengguna



Kebiasaannya, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melakukan kesalahan dan melanggar etika perniagaan.

Malahan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menggeledah premis sebaik mendapat aduan berlakunya aktiviti yang tidak berperinsip oleh peniaga yang licik.

Barang jualan dirampas, kompaun dikeluarkan dan malahan peniaga yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Penipuan harga barangan, tiada tanda harga, barangan telah tamat tempoh, atau menjual barangan tiruan, sudah acap kali dilakukan peniaga yang ingin mengaut keuntungan berganda.


Bagaimanapun, kementerian mendapati pendekatan seumpama masih tidak "berkesan" untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada peniaga akan tanggungjawab mereka kepada pengguna dan masyarakat.

Mencari konklusi pada permasalan yang bagai tiada penghujungnya itu, satu pendekatan penguatkuasaan baru diperkenalkan oleh KPDNKK, yang lebih relevan dan bersesuaian dengan senario perniagaan semasa.

PENGUATKUASAAN BESTARI

Jika di negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat mahupun di negara Eropah, kesedaran peniaga dalam menjaga hubungan dengan pengguna sangat tinggi, sehingga mereka takut untuk melanggar peraturan kerana dibimbangi boleh menjejaskan perniagaan.

Mereka (peniaga) menjalankan penguatkuasaan kendiri untuk memberikan perkhidmatan dan barangan berkualiti kepada pengguna kerana pelanggan mempunyai banyak pilihan dengan harga yang berpatutan.

Di Malaysia, usaha ke arah itu dimulakan sejak awal tahun 2012 ini melalui penguatkuasaan bestari di zon perniagaan terpilih (ZPT) di seluruh negara.

Ini bertujuan mewujudkan suasana perniagaan yang lebih kondusif dan meningkatkan kesedaran peniaga agar patuh kepada undang-undang serta beretika ketika menjalan urusan perniagaan, jelas Ketua Pengarah Penguatkuasaaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Sebelum ini selepas menerima aduan, penguatkuasa KPDNKK ditugaskan untuk merampas barang, menjalankan soal siasat dan membawa kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara untuk peniaga yang melakukan kesalahan dituduh di mahkamah atau mengeluarkan saman dan denda.

Kini, tindakan itu adalah langkah terakhir selepas beberapa proses dan tindakan termasuk memberi nasihat dan surat amaran kepada peniaga berkenaan.

Penguatkuasa kini bertindak sebagai pemudahcara perniagaan melalui khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada peniaga berkaitan pematuhan undang-undang perdagangan dalam negeri.

"Modus operandi penguatkuasaan menuntut penambahbaikan dan susulan, sebab itu penguatkuasaan bestari diperkenalkan kerana ia lebih relevan dan bersesuaian dengan senario perniagaan semasa.

"Ia juga akan dapat memastikan peguatkuasaan undang-undang dijalankan secara lebih cekap dan berkesan dengan sumber-sumber terhad," katanya.

MELIBATKAN PENIAGA

Mohd Roslan berkata aduan yang tinggi daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan barang-barang dan perkhidmatan yang diterima menyebabkan kementerian memberi tumpuan bagi mencari penyelesaian.

Kementerian memberi tumpuan melalui penekanan kepada elemen CES iaitu pematuhan kepada undang-undang, etika peniaga dan mesra pengguna kepada peniaga bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sasaran penguatkuasaan bestari adalah tertumpu kepada ZPT dan sekiranya kementerian dapat meningkatkan tahap pematuhan ketiga-tiga elemen itu kepada peniaga, ia secara tidak langsung akan mengurangkan aduan terhadap peniaga.

"Kesan kepada penguatkuasaan bestari ini dapat dilihat kepada limpahan kesan perlaksanaannya, apabila ZPT yang melaksanakan penguatkuasaan bestari ini berjaya menarik ramai pelanggan berkunjung ke pusat perniagaan," katanya.

Ujarnya, dengan cara ini juga akan mendidik peniaga tentang tanggungjawab mereka selain menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Kesan jangka panjang daripada pematuhan kawalan kendiri itu juga akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan daya saing serta menjadikan Malaysia lebih kompetitif berbanding negara lain di rantau ini, jelas beliau.

KENAPA ZPT?

Namun kenapa penguatkuasaan itu hanya di ZPTS?

Menurut Mohd Roslan, ZPTS dipilih memandangkan ia selaku fronline dalam industri peruncitan serta menjadi lokasi pelaburan asing bagi jenama-jenama ternama, pusat tumpuan pelancong dan pusat tumpuan warga tempatan.

Menurut Mohd Roslan, prasyarat pemilihatan ZPT berasaskan kriteria yang ketat di mana tiga ciri utamanya ialah mempunyai tahap pematuhan yang tinggi kepada undang-undang yang dikuatkuasakan, wujud pengurusan kompleks dan jawatankuasa yang menguruskan hal ehwal peniaga dan premis di kompleks berkenaan serta mendapat pengiktirafan daripada KPDNKK setempat.

Dengan pematuhan prasyarat ini, ZPT yang dipilih telah mempunyai struktur pengurusan yang baik dan teratur sekaligus memudahkan penguatkuasaan bestari dijalankan secara berkesan.

Ini akan menggalakkan lebih ramai pelabur sama ada dari dalam atau luar negara melabur kerana gambaran suasana perniagaan yang harmoni dan kondusif, katanya.

Terdapat 48 ZPT dan lebih 7,000 peniaga di seluruh negara.

Antaranya City Square Johor Baharu, BP Mall Batu Pahat, Pasar Awam Alor Gajah, Kompleks Membeli Belah Terminal One Seremban, Kompleks Alam Sentral Shah Alam, KLCC, Alor Star Mall, Pasar Awam Tapah, Mesra Mall Kemasik, Kemaman dan Kompleks Centre Point Sabah, Kota Kinabalu.

Mohd Roslan berkata KLCC adalah contoh terbaik yang melaksanakan hampir 80 peratus pematuhan dalam penguatkuasaan bestari.

CARA PENGUATKUASAAN BESTARI DIJALANKAN

Penguatkuasaan bestari dilakukan dalam tiga fasa, iaitu fasa pertama dalam tempoh tiga bulan, untuk proses mengumpul data dan status awal ZPT seperti bilangan dan maklumat jenis perniagaan yang dijalankan.

Sesi perbincangan dengan pengurusan kompleks perniagaan akan dijalankan bagi menjelaskan penguatkuasaan bestari dan metodologi yang dijalankan.

Mohd Roslan berkata untuk fasa kedua bagi tempoh tiga bulan seterusnya, KPDNKK bersama pihak pengurusan atau jawatankuasa pemantau memantau tahap keberkesanan tindakan kawalan kendiri fasa pertama yang telah dijalankan.

"Mesyuarat diadakan bersama pengurusan kompleks membentangkan status dan membincangkan tahap star rating premis-premis mengikut tahap kepatuhan undang-undang yang ditetapkan dan merancang tindakan susulan," katanya dan menambah lawatan ke premis bersama pegawai projek dan pengurusan kompleks akan diadakan tidak lama lagi.

Seterusnya pada fasa ketiga, audit pematuhan akan melawat premis bersama-sama pihak pengurusan ZPT dan surat amaran pertama akan dikeluarkan kepada premis yang berada di tahap satu bintang.

"Surat amaran kedua dan ketiga akan dikeluarkan sekiranya premis masih gagal mematuhi peraturan. Peniaga yang berdegil juga akan menerima surat amaran dan menjelaskan tindakan undang-undang yang akan diambil dalam tempoh yang ditetapkan dari tarikh surat amaran ketiga dikeluarkan," ujarnya.

Sekiranya pendekatan berhemah dalam tempoh yang ditetapkan tidak memberi kesan, barulah tindakan undang-undang diambil termasuk merampas barang-barang mereka dan pihak pengurusan juga boleh menamatkan kontrak sewaan premis mereka di ZPT.

"Kita yakin langkah penguatkuasaan bestari ini mendidik peniaga menjadi lebih beretika dan melahirkan satu suasana harmoni antara peniaga dan pengguna menjelang 2020 nanti," katanya.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA [6 Julai 2012]

0 comments: