13 Julai 2012
Rendah Martabat Jika Hilang Rasa Malu
Mimosa pudica, pohon semalu yang sensitif dan bersifat 'pemalu' ....
Malu ialah sifat atau perasaan yang membataskan seseorang itu melakukan perkara kurang sopan yang menyingkap nilai iman dan menentukan tinggi atau rendah akhlaknya.
Bagi yang memiliki perasaan malu apabila melakukan sesuatu yang tidak patut baginya maka wajahnya akan berubah menjadi pucat sebagai tanda penyesalan selepas terlanjur melakukan perkara tidak wajar. Ini menunjukkan hati kecilnya hidup dan batinnya suci serta bersih.
Sebaliknya bagi yang tidak memiliki rasa malu, dia pastinya gembira dan bersahaja apabila melakukan perbuatan tidak sopan malah bangga dengan perbuatan itu. Golongan begini jelas tidak baik akhlaknya.
Islam mengingatkan umatnya supaya mengamalkan perasaan malu dalam kehidupan sehari-hari kerana perasaan malu dapat meningkatkan akhlak dan iman seterusnya mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu perangai malu.” (Hadis riwayat Imam Malik)
Mereka yang mempunyai rasa malu akan sentiasa menahan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengganggu perasaan orang lain.
Nabi Muhammad SAW seorang yang tinggi akhlaknya, hebat sopan santun dan tingkah lakunya, paling tinggi ketaatannya kepada segala perintah Allah SWT, tugas kemasyarakatan dan selalu menahan diri daripada segala larangan-Nya.
Daripada Abi Sa’id al-Khudzri ia berkata: “Adalah Rasulullah SAW lebih pemalu daripada gadis pingitan. Dan bila terjadi sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengenal dari wajahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Iman yang sempurna ikatan tidak dapat dipisahkan antara manusia dengan Allah SWT. Ikatan ini mempunyai pengaruh kuat untuk membersihkan jiwa, mempertinggikan akhlak dan meningkatkan amal kebajikan.
Untuk mencapai semua ini, seharusnya ditanam dalam jiwa manusia berusaha untuk menguatkan iman, menyuburkan batin, memperkasakan akhlak dan memperbanyakkan amal soleh. Apabila ini tertanam dalam jiwa, maka timbul rasa enggan melakukan kesalahan dan tidak menyukai kelakuan buruk.
Mengetahui sesuatu yang hina dan tidak peduli melakukan perbuatan buruk, itulah petanda jiwa sudah hilang rasa malu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu dan iman itu adalah teman seiring sejalan, jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula yang satu lagi.” (Hadis riwayat Muslim)
Demikianlah, apabila manusia telah hilang rasa malunya maka akan secara beransur-ansur keadaannya semakin buruk, kemudian menurun lagi kepada yang lebih buruk.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah apabila menghendaki membinasakan seseorang, Dia mencabut rasa malu daripadanya. Apabila rasa malunya sudah dicabut, kamu tidak menjumpainya kecuali dibenci. Kemudian apabila tidak ditemuinya kecuali dibenci, dicabutlah daripadanya amanah dan kepercayaan. Apabila sudah dicabut sifat amanah dan kepercayaan daripadanya, maka tidak akan didapatinya kecuali sebagai pengkhianat dan dikhianati. Kalau sudah jadi pengkhianat dan dikhianati maka dicabutkan daripadanya rahmat. Kalau sudah dicabut rahmat daripadanya tidak akan kamu dapati kecuali terkutuk yang mengutuk. Apabila terkutuk yang mengutuk sudah dicabut daripadanya, maka akhirnya dicabutkan ikatan keislamannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Setiap Muslim dituntut memiliki sifat malu ketika berbicara, malu membicarakan perkara keji dan tidak senonoh, malu mencela sesuatu, malu membicarakan aib orang lain dan membuat sesuatu perkara mendatangkan keaiban pada diri sendiri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu adalah cabang iman dan iman di dalam syurga dan kurang sopan itu adalah sebahagian daripada kekerasan hati, kekerasan hati adalah di dalam api neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Tarmizi)
Seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus
Sumber: Bharian
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
sifat malu bole elak kita lakukan perkara x bfaedah...
sifat malu blh elakkn diri dr buat perkara yg tak elok...
malu itu harus ada dalam kehidupan kita.. kerana ianya boleh menghalang diri melakukan hal yang tidak elok. :) nice entry koding..
TINGGI IMAN SESEORANG KERANA SIFAT PEMALUNYA..TANPA MALU? MAKSIAT SANA SINI PASTI BERLAKU... PERCAYALAH..
Catat Ulasan