31 Ogos 2012

Lima Prinsip Rukun Negara Malaysia



Lima prinsip Rukun Negara dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara. Prinsip ini dibentuk setahun selepas tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan negara. Secara ringkas lima prinsip itu ialah:

1. Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan negara ini diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama ini menjadikan bangsa dan negara ini satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang, bangsa dan negara.


2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang Dipertua Negeri bagi negeri yang tidak beraja. Seri Paduka, raja-raja dan Yang Dipertua Negeri adalah lambang perpaduan rakyat. Setiap warganegara hendaklah menumpukan taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga di peringkat negeri.

3. Keluhuran Perlembagaan

Rakyat perlu menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan adalah sumber perundangan tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada rakyat akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warganegara dikehendaki menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan ini digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoal dan diganggu gugat.

4. Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan masyarakat bergerak dengan licin dan teratur tanpa kekacauan. Hak rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang. Hak dari kebebasan yang dijamin Perlembagaan tidak termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau cara yang tidak menurut Perlembagaan.

5. Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang. Tujuannya untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila. Sifat ini paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi darjah kesusilaan yang tinggi dalam kehidupan persendirian dan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara.

Sumber: Utusan

0 comments: