Nuff Atas

29 September 2012

Bajet 2013

Tema Belanjawan 2013: 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' 



Bajet 2013 menyentuh segenap lapisan masyarakat termasuk kakitangan kerajaan, petani, nelayan, pesara, golongan miskin dan sederhana, pelajar, belia, penduduk bandar sehingga kepada pelabur, usahawan dan peniaga.

Bajet 2013 merangkumi lima fokus iaitu memberi penekanan kepada usaha merancakkan aktiviti pelaburan; mempergiatkan inovasi; meningkatkan produktiviti; memperkasa pendidikan dan latihan; meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan pencapaian perkhidmatan awam.

INTI PATI BELANJAWAN 2013

Bonus Kakitangan Kerajaan

Kira-kira 1.3 juta penjawat awam akan menerima bonus sebulan gaji manakala pesara akan menerima RM500.

Bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada setengah bulan gaji yang sudah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lalu. Bermaksud jumlah bonus diterima kakitangan awam pada tahun ini adalah berjumlah satu setengah bulan gaji.


Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember ini manakala setengah bulan lagi pada Januari 2013 depan.

Kerajaan pada Ogos 2013 lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 bagi menyambut Aidilfitri. [BHarian]

BR1M 2.0

Pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua, dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.

Bantuan yang dikenali sebagai BR1M 2.0 itu membabitkan peruntukan RM3 bilion dan mula dibayar awal tahun 2013 depan.

Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima sebelum ini tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru boleh mendaftar mulai 1 November 2012 ini secara online atau datang sendiri ke kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara. [BHarian]

BR1M 2.0 adalah susulan kepada BR1M tahun 2012 ini yang menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah.

Selain BR1M, kerajaan turut menampilkan beberapa lagi langkah bagi membantu meringankan bebanan rakyat seperti pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan banyak lagi.

Bantuan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang diberikan dalam Bajet 2012 diteruskan.

Program BB1M akan diteruskan kepada setiap penuntut Institusi Pengajian Tinggi dan pra-universiti dengan nilai baucar ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250, dan langkah itu memanfaatkan 1.3 juta penuntut di seluruh negara. [BHarian][Bernama]

Catatan:

Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berumur 21 tahun ke atas tidak termasuk dalam kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0.

Pelajar IPT bagaimanapun layak menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 yang diberi buat kali kedua dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara. [BHarian]

Manfaat Kepada Pesara Kerajaan

Pesara kerajaan akan menerima bonus sebanyak RM500. Mereka turut mendapat kenaikan kadar pencen minimum daripada RM720 kepada RM820 untuk pesara kerajaan, yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun (termasuk penerima pencen terbitan). [BHarian]

Diskaun Tambang KTM Komuter

Menyedari pentingnya pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar, Najib berkata kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang KTM Komuter kepada semua warganegara Malaysia dengan pendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Diskaun itu kini telah dinikmati oleh golongan kurang upaya (OKU), pesara dan pelajar. [Bernama]

Pengecualian Cukai Pendapatan

Kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan berikutan penurunan kadar satu mata peratusan bagi golongan tersebut mulai tahun 2013 depan.

Penurunan kadar cukai itu akan menguntungkan kumpulan dengan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000. Langkah itu akan turut memberi manfaat kepada pembayar cukai sedia ada untuk menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.

Golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000 akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425 seorang.

Kerajaan telah menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan dua rebat cukai yang menjadikan hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin adalah progresif iaitu antara kosong peratus hingga 12 peratus ke atas pendapatan bercukai RM2,500 hingga RM50,000. [BHarian]

Pelepasan Cukai

Kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000. [BHarian]

Diskaun Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

Beberapa insentif berupa pemberian diskaun akan diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Insentif pertama adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013.

Bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. [BHarian]



Rebat Pembelian Telefon Bimbit Pintar 3G

Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat.

Pakej khas itu, yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah. [BHarian]

Insentif Khas Anggota ATM

Seramai 125,708 pegawai dan anggota Angkatan Tentera akan menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan bermula 1 Januari 2013 depan.

Bagi pasukan simpanan angkatan tentera, elaun bertugas anggota biasa dan pegawai turut dinaikkan kepada RM6 dan RM7.80 sejam daripada hanya RM4 dan RM5.80 sejam sebelum ini.

Penyelarasan elaun ini membabitkan 65,000 anggota simpanan tentera membabitkan Askar Wataniah, dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara serta pasukan Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan anggota sukarelawan polis (PVR)

Anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 secara 'one-off' atau dibayar sekali sahaja kepada mereka. [BHarian}

Penambahbaikan Skim Perkhidmatan ATM

Individu yang berminat untuk menjadi pegawai dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disyaratkan memiliki kelulusan ijazah sarjana muda kepujian dalam mana-mana bidang sebelum menyertai pasukan itu.

Syarat baharu itu bertujuan memastikan ATM mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sesuai dengan keperluan semasa dunia ketenteraan.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mempraktik syarat kemasukan sebagai pegawai dalam pasukan itu perlu memiliki kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam mana-mana bidang bermula tahun lepas.

Bagi askar laskar, kelayakan masuk minimum turut ditingkatkan ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma berdasarkan skop dan bidang tugas.

Peluang kenaikan pangkat anggotanya melalui kaedah 'time-based' di mana anggota berpangkat prebet boleh dinaikkan ke pangkat Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh lapan tahun. [Bernama]

Pendidikan Pra Sekolah

Kerajaan mencadangkan beberapa insentif untuk memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif.

Insentif itu termasuklah:

1. Geran pelancaran RM10,000 kepada Pusat Pendidikan Awal Pendidikan Kanak-Kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baharu yang berkualiti.

2. Majikan juga akan diberikan potongan cukai dua kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

3. Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta.

4. Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberikan kepada pengusaha prasekolah swasta.

Kerajaan akan melaksanakan projek perintis bagi Taska OKU (prasekolah kanak-kanak kurang upaya) bagi enam kategori kanak-kanak OKU merangkumi sindrom down, autisme, buta atau cacat penglihatan, pekak dan bisu, kurang upaya fizikal dan OKU masalah pembelajaran. [Bernama]

Manfaat Kepada Wanita dan Golongan Kurang Bernasib Baik

Wanita berusia 40 tahun ke atas kini boleh menikmati pemeriksaan mamogram percuma. Pemeriksaan percuma itu disediakan di pejabat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seluruh negara.

Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntuk sebanyak RM1.2 bilion meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik

Bagi membantu golongan warga emas atau kanak-kanak jalanan dan golongan gelandangan, sebanyak enam buah Anjung Singgah akan diwujudkan sebagai tambahan kepada dua yang sedia ada.

Kerajaan juga akan menyediakan lima buah Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau anggota keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan. [Bharian]

Persediaan Memburu Emas Dalam Sukan Antarabangsa

Peruntukan RM50 juta bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janiero, Brazil bagi menyuntik semangat atlit untuk memburu pingat emas pertama negara pada temasya sukan itu.

Sebanyak RM15 juta juga diperuntukan bagi mempersiapkan atlit negara ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan Para Asean 2013 (Myanmar), Sukan Komanwel 2014 di Glassgow, Scotland and Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan. [Bharian]

Caj Bayaran Pemprosesan Pasport Dikurangkan

Caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada warga emas. Pengurangan daripada RM300 kepada RM150 itu untuk tempoh sah laku lima tahun berkuat kuasa Januari 2012 depan.

Caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80. Pengurangan caj bayaran juga diperluaskan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. [BHarian]

Rumah Mampu Milik 

Sebanyak 123,000 unit rumah harga berpatutan akan dibina di kawasan-kawasan strategik tahun 2013 depan dilaksanakan oleh Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

PR1MA akan membina 50,000 unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit.

SPNB akan membina 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik.

SPNB akan membina 21,000 unit rumah untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.

Jabatan Perumahan Negara akan melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), yang akan dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit. Dua puluh peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancar melalui Belanjawan 2012 lepas akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri.

Syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja enam bulan akan dimansuhkan, katanya.

Kerajaan juga bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Dis 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga RM400,000.

Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam ditetapkan pada kadar RM100 tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

Pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak RM1 bagi setiap RM1,000 pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan RM2 bagi pinjaman kali kedua.

Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik dan penjawat awam masih tetap membayar empat peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan. [Bernama]

Skim Insurans Kemalangan Diri Untuk Pelajar

Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian akan disediakan kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Katanya usaha itu akan memanfaatkan dua juta pelajar dengan perlindungan maksimum RM100,000.

Kos premium sebanyak RM40 juta untuk tempoh dua tahun itu akan diselia oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). [Bernama]

Sila Baca Teks Lengkap Bajet 2013:
Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati

5 comments:

Ayie Abas berkata...

bajet yg ditunggu-tunggu... :)

Michelle Hopell berkata...

I guess semua orang suka ngan belanjawan 2013 termasuk saya , menganggur berjaya. hahaha

Scarlett O'Hara berkata...

Sukalah dapat bonus.Kalau boleh tiap2 tahun nak dapat bonus. :D

Seri berkata...

bajet yang terbaik untuk rakyat...

caliph shuriken berkata...

alhamdulillah, setiap org ada bahagian masing2 ^^