15 September 2012
Ganjaran Untuk Atlet Paralimpik Malaysia
Pencapaian Hasihin buka mata pihak yang prihatin keupayaan atlit OKU
Kejayaan Hasihin dedah isu OKU
Hasihin Sanawi hanya insan biasa yang tidak pernah disebut namanya sebelum ini. Dia bukan Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang pantas menjadi idola negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.
Kecekalan, semangat dan harapan Hasihin jarang dilaporkan media kerana dia hanya pemanah orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.
Hasihin menang pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan selepas terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.
Sebahagian anggota masyarakat sinis dengan pencapaian atlit OKU kerana status fizikal mereka yang dicurigai.
Bagaimanapun Hasihin membuktikan kekurangan fizikal ekoran terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan tidak mencacatkan cita-citanya. Dia meraih pingat perak dan Malaysia mula menyebut namanya, walaupun tiada siapa yang tahu latar belakang kehidupan dan pencapaiannya sebelum ini.
Memenangi pingat, apatah lagi pada status Olimpik untuk golongan OKU suatu pencapaian luar biasa. Jutaan manusia memerhati perkembangan jaguh paralimpik kita, tetapi malang nasibnya di Malaysia hanya sekadar ucapan tahniah.
Hasihin disahkan tidak akan menerima sebarang pencen sepanjang hayat daripada kerajaan berbanding Chong Wei menerima RM3,000 sebulan dan Pandelela (RM2,000 sebulan) di samping pelbagai ganjaran kewangan lain.
Kerajaan bermurah hati memberi ganjaran RM200,000 tanpa jaminan memberi peluang pekerjaan demi masa depan Hasihin.
Apa yang berlaku kepada Hasihin hampir sama dialami 2.8 juta OKU lain. Mereka warga kecil yang jarang diberi perhatian dalam apa bidang sekali pun. Sebahagian besar golongan OKU tersenarai dalam statistik kemiskinan di mana 90 peratus OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan.
Hasihin dijanjikan menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Kita yakin keadaan sama akan berlaku kepada atlit paralimpik lain pada masa akan datang walaupun mereka meraih emas.
Hasihin dalam tempoh lima tahun lagi mungkin tidak lagi aktif dalam sukan kerana faktor usia dan kesihatan. Kita berharap akan ada pihak yang bakal mengenang dan membantunya menghabiskan sisa hidup pada masa depan.
Sumber: BHarian
‘Perlu dilayan sama rata’
Presiden Lembaga Kaunselor Profesional, Profesor Dr Mohamed Fadzil Che Din mahu melihat nasib atlit golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapat pengiktirafan sama seperti atlit normal yang berjaya memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik.
Baginya, atlit memanah paralimpik negara, Hasihin Sanawi berjaya membuka mata setiap individu dan badan sukan di negara ini sekali gus menyifatkan masanya sudah tiba untuk setiap badan sukan termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) duduk semeja membincangkan semula soal berkaitan isu pencen itu.
“Mereka perlu dilayan sama rata, atlit OKU ini perlu diberi ganjaran secara khusus apatah lagi mereka kurang keupayaan,” katanya.
Hasihin dalam Sukan Paralimpik London berjaya merangkul pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 (berkerusi roda), manakala Muhammad Ziyad mencipta gah dengan meraih gangsa acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).
Namun, apa yang lebih menyedarkan semua pihak apabila kejayaan dua atlit Paralimpik terbabit tidak diberikan imbuhan pencen seumur hidup seperti mana atlit normal di Sukan Olimpik London 2012.
Ketetapan Imbuhan SHAKAM
Atlet paralimpik yang memperoleh pingat emas dan perak dalam Sukan Paralimpik ditawarkan insentif lebih rendah daripada atlet Sukan Olimpik.
Berdasarkan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), atlet Sukan Olimpik yang meraih pingat ditawarkan ganjaran RM1 juta (emas), RM300,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa) berbanding RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa) untuk atlet Sukan Paralimpik.
Pemenang pingat Sukan Olimpik juga diberikan pencen sepanjang hayat berjumlah RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa) berbanding tiada pencen ditawarkan untuk pemenang pingat Sukan Paralimpik.
Perbezaan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pihak yang menyifatkan atlet paralimpik perlu diberi ganjaran sama sebagaimana atlet normal.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perbezaan pemberian insentif antara atlet Sukan Paralimpik dengan Sukan Olimpik dinilai daripada cabaran atau rintangan yang dilalui oleh atlet terbabit sebelum mara ke final dalam sesuatu acara.
"Perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan," tambahnya.
Sumber: BHarian , Utusan Artikel 1 dan Utusan Artikel 2
Atlit paralimpik terima elaun sama seperti atlit normal
Dua atlit paralimpik negara yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik London 2012 akan menerima elaun latihan bulanan seperti atlit normal, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.
Hasihin Sanawi dari acara memanah dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) yang masing-masing meraih perak dan gangsa akan menerima elaun RM2,500 serta habuan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Di bawah Shakam, pemenang emas sukan paralimpik layak menerima RM300,000, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000).
Selain daripada elaun dan hadiah SHAKAM, mereka juga menerima beberapa kemudahan lain daripada pihak MSN termasuk kemudahan tempat tinggal, peralatan dan juga makan minum secara percuma.
Datuk Zolkples berharap kejayaan yang dicapai oleh dua atlit itu akan menjadi inspirasi kepada atlit paralimpik lain.
"Saya juga harap kejayaan Hasihin dan Muhammad Ziyad juga dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk mempunyai lebih keyakinan bagi memberi pededahan kepada anak mereka yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.
Pada Sukan Paralimpik 2008 di Bejing, Malaysia hanya memperoleh sebutir gangsa menerusi atlit wanita Siow Lee Chan dalam dalam acara powerlifting 56kg.
Sumber: BERNAMA dan BHarian
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
wah !
sepatutnya dilayan sama rata...
Catat Ulasan