Nuff Atas

03 September 2012

Taman Tema LEGOLAND Malaysia

Dragon-Coaster Asia (© Courtesy of Legoland Malaysia)

Pembukaan taman tema Legoland di Nusa Jaya dekat sini pada 15 Sept 2012 bakal menyaksikan Malaysia menawarkan satu lagi tarikan eksotik untuk pelancong.

Ramai yang sudah biasa dengan blok lego yang memerlukan individu, terutama kanak-kanak, menggunakan kreativiti bagi membina sesuatu.

Taman tema itu yang menggunakan hampir 50 juta kepingan lego, menawarkan kepada pelawat peluang menyaksikan keunikan pelbagai binaan daripada kepingan-kepingan lego ini serta peluang bagi seluruh keluarga membina sesuatu berdasarkan bakat dan kreativiti mereka.

Berkeluasan hampir 30.8 hektar, Legoland Malaysia ialah taman tema Lego keenam di dunia dan yang pertama di Asia.




NUSA JAYA

Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst berkata taman tema berharga RM700 juta di wilayah Iskandar Malaysia, Johor itu menampilkan tujuh tema khas iaitu 'Lego kingdom', 'Imagination', 'Land of adventure', 'Lego technic', 'The beginning', 'Lego city'dan 'Miniland'. Taman-taman itu direka khas bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia dari dua hingga 12 tahun.

Taman tema itu dibangunkan oleh Kumpulan Merlin Entertainments, syarikat pembina taman tema kedua terbesar di dunia. Syarikat itu menandatangani perjanjian dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) pada Disember 2008 dan memulakan pembinaan pada hujung 2009.



KEMUDAHAN DAN TARIKAN

"Legoland Malaysia dibina mirip legoland yang ada di Deustchland, Jerman dan teknologinya dimajukan sama seperti Legoland, Florida. Jadi Legoland Malaysia merupakan antara legoland terbaik yang pernah dibina," katanya.

Antara kemudahan yang disediakan di taman tema itu ialah restoran, surau dan tempat letak kenderaan.

'The Big Shop' kedai menjual lego terbesar di Asia Tenggara akan dibuka bersebelahan pintu masuk utama taman tema itu.

Tiga permainan menarik dikhususkan buat kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun iaitu City Fire Academy, Driving School dan Boating School. Bagaimanapun permainan itu masih memerlukan pengawasan dewasa.

Di 'City Fire Academy', empat pemain diperlukan iaitu kanak-kanak dan dua dewasa yang akan berlawan dengan keluarga lain untuk memadamkan api menggunakan jentera bomba lego.

'Driving School' pula memberi peluang kanak-kanak memandu kereta mini lego yang memerlukan mereka mematuhi arahan lalu-lintas serta peraturan disediakan.

Setelah tamat permainan, mereka akan diberikan lesen yang membolehkan mereka bermain di situ setiap kali melawat Legoland, manakala di 'Boating School' pula kanak-kanak dibenarkan mengemudi bot kecil sambil ditemani seorang dewasa.

Dragon-Coaster Asia (© Courtesy of Legoland Malaysia)

PERSPEKTIF BERBEZA

Di 'Miniland' pula, pengunjung dihidangkan dengann perspektif berbeza kerana mereka akan merasakan diri seolah-olah seperti gergasi yang berjalan di tengah-tengah bandar raya mini.

Di situ ditempatkan model bangunan mini yang menjadi mercu tanda negara dan Asia antaranya Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad, Taj Mahal, Angkor Wat dan Menara Kembar Petronas (KLCC) setinggi hampir 10 meter yang menjadi struktur bangunan lego tertinggi pernah dibina di Legoland.

Boerst berkata menjadi satu kemestian buat setiap taman legoland mempunyai taman mini kerana perkara itu adalah satu daripada tarikan utama bagi memperlihatkan keunikan bangunan berskala kecil.



"Di Miniland, kemahiran anak tempatan juga turut digunakan dalam pembinaan model lego di sini. Seramai 20 pembina model dari Malaysia turut bekerjasama dalam kumpulan pembina model sedia ada," katanya.

Satu lagi tarikan di Legoland Malaysia ialah permainan roller coaster dipanggil Dragon Coaster yang akan membawa pengunjung memasuki Istana Lego di Lego Kingdom dan merasai pengalaman di bilik penyiksaan, ruang makan diraja dan melihat khazanah berharga yang dijaga seekor naga!

Di bahagian 'Imagination' pula kanak-kanak boleh meningkatkan kreativiti mereka dengan cuba mencipta pelbagai benda yang terlintas di fikiran menggunakan lego yang disediakan dan terdapat sebuah menara tinjau berketinggian 50 meter bagi membolehkan pengunjung melihat pemandangan keseluruhan taman tema itu.


SEORANG pekerja menyiapkan miniatur stesen kereta api Kuala Lumpur yang diperbuat daripada Lego di Legoland Malaysia.

TAMAN TEMA AIR

Boerst yang berpengalaman lebih 20 tahun membangunkan taman tema serupa itu berkata terdapat rancangan untuk membina taman air tahun depan dan sebuah hotel pada tahun 2014 bagi kemudahan pengunjung.

Katanya pembukaan taman tema itu secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Di sini kami turut membuka hampir 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat kerana apabila ia siap sepenuhnya, penduduk setempat juga akan mendapat manfaat daripada pelaburan yang dibuat," katanya.

Lebih 45,000 pas tahunan telah dijual dan angka itu meliputi penjualan tiket bagi pengunjung dalam dan luar negara.

Pas tahunan berharga RM245 bagi orang dewasa dan RM180 bagi kanak-kanak itu sah hingga akhir 2013 manakala pemegang MyKad pula akan mendapat rebat RM30 di pintu masuk.

"Setakat ini tiket masuk harian dijual melalui roadshow oleh bahagian pengurusan kami dengan harga tawaran pengenalan khas sebanyak RM96 bagi orang dewasa dan RM70 bagi kanak-kanak dan kami menjangkakan dapat menarik sejuta pengunjung dalam tahun pertama ia beroperasi," katanya.



TARIKAN UTAMA JOHOR

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Amirul Asyraf Ibrahim, berkata kewujudan Legoland Malaysia bakal menempatkan Malaysia dan Johor khususnya dalam peta industri pelancongan dunia.

"Pembinaan Legoland itu adalah sebahagian daripada program Pembangunan Wilayah Iskandar.

"Di samping pembinaan Legoland, Iskandar Malaysia juga bakal menempatkan tarikan pelancongan lain seperti kawasan Puteri Harbour yang akan mempunyai taman tema permainan berasaskan kartun seperti Lat, Hello Kitty dan di wilayah itu juga sebuah studio penggambaraan filem, Pine Wood Studio, akan turut didirikan yang dijangka siap pada 2013," katanya.

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Usuldin
Sumber: BERNAMA



Kemudahan Pengangkutan

Mengenai kemudahan pengangkutan untuk datang ke taman tema berkenaan, pengunjung boleh menggunakan bas yang beroperasi dari JB Sentral, Larkin, Gelang Patah dan Johor Premium Outlets (JPO).

Perkhidmatan bas dari Larkin ke LEGOLAND setiap 30 minit pada waktu puncak dengan kadar bayaran sebanyak RM12 manakala bas dari Singapura dari Singapore Flyer setiap 30 minit pada waktu sibuk dan tiba di taman tema berkenaan kurang sejam dengan $20 dolar Singapura seorang.

Bas turut disediakan dari Link Kedua. Pengunjung juga boleh pergi ke LEGOLAND Malaysia dari Lapangan Terbang Senai.

Terdapat lebih 3,500 tempat letak kereta disediakan.

Sementara itu, LEGOLAND Malaysia masih menawarkan rebat RM30 untuk pembelian pas tahunan berharga RM245.



INFO: Taman Tema LEGOLAND Malaysia

- LEGOLAND pertama dan tunggal di rantau Asia
- Keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor,
   Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
- Taman tema bertaraf antarabangsa di Malaysia
- Dibina dengan keluasan 31 hektar
- Kos sebanyak RM700 juta
- Mempunyai tujuh kawasan bertema
- 40 permainan, tarikan dan pertunjukan
- 15,000 model Lego
- 50 juta bongkah Lego
- Terdapat kira-kira 1,000 petugas
- Untuk Maklumat Lanjut Layari Legoland Malaysia

Sumber: BHarian

Legoland tawar tiket promosi sempena pembukaan

Sempena meraikan pembukaan rasmi taman tema ini, Legoland Malaysia mengumumkan penjualan tiket sehari terhad kepada para pengunjung. Pembelian awal tiket itu akan menjamin kemasukan pada 15, 16 dan 17 Sept 2012.

Dengan pembelian awal ini, akan ada juga pemberian percuma kameja-T dan rantai kunci bernilai sehingga RM80. Tiket khas itu dijual hanya menerusi AirAsiaRedTix.com dan berharga RM140 bagi dewasa dan RM110 bagi kanak-kanak dan warga emas.

Tiket itu hanya dijual bagi tempoh terhad. Butir-butir terperinci boleh didapatkan di laman web Legoland http://www.legoland.com.my/Ticket/Public-Opening-Day/.

"Sambutan minggu pembukaan akan menyaksikan banyak acara menarik diadakan di Leogland dengan pancaragam berkawad dari Denmark, pertunjukan jalanan, persembahan tarian dan bunga api," kata Siegfried Boerst, Pengurus Besar Legoland Malaysia.

Sementara itu, pas tahunan masih dijual pada harga promosi sebelum pembukaan pada RM245 bagi dewasa dan RM180 bagi kanak-kanak dan warga emas sehingga tengah malam 14 Sept 2012. - BERNAMA

Sumber: Utusan

4 comments:

Secrets of A Teenage Girl berkata...

seronoknya ! teringin nk pergi.. ;)

caliph shuriken berkata...

wahh, best tempat ni tapi jauh kt selatan plak, huh...

Puteri Kasih berkata...

harap ada peluang nak pergi tak lama lagi :)

CikZaitul berkata...

agak-agaknye tiket tu satu berapa??



nak jugak pegi...haih ... :)