Nuff Atas

04 September 2012

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu


Majlis Raja-raja Penaung dan Lambang Kedaulatan Institusi Diraja

Satu aspek kemerdekaan negara yang tidak boleh dilupakan ialah amanat penting lagi bersejarah yang digarap dengan penuh kebijaksanaan oleh Raja-Raja Melayu menjadi 'Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu'.

Wasiat Raja-raja Melayu merujuk kepada 7 wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu semasa menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Aktivis masyarakat Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata wasiat itu merupakan tinta emas yang merangkumi dasar intipati Perlembagaan Persekutuan, kekukuhan amalan demokrasi Raja Berperlembagaan dan semangat jitu kemerdekaan itu sendiri.

"Tujuh wasiat ini jarang diperkatakan, namun demi kesinambungan kerukunan hidup masyarakat majmuk di negara tercinta ini, ia tidak sekali-kali boleh kita lupakan.

"Terlepas ia daripada ingatan dan penghayatan kita, maka tidak mustahil sistem demokrasi unik yang diamalkan di negara kita, yang berjaya mengekalkan kemerdekaan sehingga kini serta kerukunan hidup rakyat dalam aman damai, boleh terjejas," katanya.


Dalam menzahirkan kecintaan kepada negara demi mengekalkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat jelata, Raja-raja Melayu yang bertakhta pada 5 Ogos 1957 telah menyampaikan tujuh wasiat bersejarah itu.


Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, Aspek Kemerdekaan Yang Tidak Boleh Dilupakan

Wasiat itu, yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, menyebut:

* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

* Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

* Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

* Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Tujuh wasiat ini diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan:

* Perkara 1: Nama, Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.
* Perkara 89: Tanah Rizab Orang Melayu
* Seksyen 16 (1): Akta Angkatan Bersenjata 1972
* Perkara 32: Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan dan Permaisurinya.
* Perkara 3: Agama Bagi Persekutuan
* Perkara 152: Bahasa Kebangsaan
* Perkara 153: Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit dan Sebagainya Untuk Orang Melayu

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah pernah bertitah mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu itu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah pada satu majlis.

Hal itu merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal itu memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

Hamdan yang juga pensyarah Universiti Malaysia Sabah, berkata tujuh wasiat itu penting untuk diingatkan berulang kali kerana banyak rakyat jelata baik orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kaum lain, terutama dalam kalangan generasi muda, tidak tahu mengenainya.

"Sekali imbas, memang tujuh wasiat itu kelihatan seperti untuk orang Melayu sahaja. Namun jika diteliti maksud tersiratnya ialah untuk memastikan Malaysia kekal menjadi negara yang aman damai, maju dan makmur sampai bila-bila," katanya.

Itulah erti sebenar kemerdekaan kerana tanpanya bukan sahaja usaha pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sukar dilaksanakan oleh kerajaan, malah kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum juga boleh terjejas, tambahnya.

Beliau berkata ini kerana, jika semua kaum menyedari, menjujung dan menghayatinya dalam kehidupan masing-masing, akan dapat menjamin sistem demokrasi Raja Berperlembagaan yang unik bagi negara ini, kekal diamalkan.

Dengan itu semua rakyat saling menghormati satu sama lain termasuk dari segi hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang dipertahan dan tidak diganggu gugat.

"Tidak ada sedikitpun pernyataan tujuh wasiat itu cuba menidakkan kepentingan dan kedudukan kaum-kaum lain sebagai warganegara sebagaimana yang diamalkan selama ini. Hakikat yang diterima semua kaum ialah Raja-Raja memayungi rakyat dan setiap rakyat berlindung di bawah naungan Raja-Raja," katanya.

"Ia sewajarnya tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak sekalipun, termasuk untuk kepentingan politik sempit," katanya.

Beliau menegaskan bahawa penjagaan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga termaktub di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong seperti yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang besar sehingga ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan ketika negara mencapai kemerdekaan.

"Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan," katanya dalam satu entri blognya.

Katanya kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan mengenainya sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka.

"Hakikat inilah yang menzahirkan Tujuh Wasiat Raja Raja Melayu bagi menjadi panduan kepada rakyat jelata," tambahnya.

Zainul Rijal berkata kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu bukanlah sekadar istiadat atau 'ceremonial' semata-mata, tetapi mempunyai kuasa tertentu yang menjadi elemen penting kepada jatidiri pembentukan negara.

Bagi Hamdan, Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu itu perlu turut diberi tempat istimewa setiap kali negara menyambut ulang tahun kemerdekaan selain penonjolan pencapaian, pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi sehingga kini.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55!

Oleh Mohd Nasir Yusoff
Sumber: BERNAMA dan Buku kecil 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati
(Terbitan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan)

0 comments: