18 September 2012

Tatyana McFadden Atlet Lumba Kerusi Roda Paralimpik



AKSI luar biasa Tatyana McFadden di trek Paralimpik 2012 sememangnya sudah dijangka. Ini bukan kali pertama Tatyana menyertai temasya sukan berprestij untuk golongan kelainan upaya itu.

Namun, gadis berusia 23 tahun ini tidak mensia-siakan pengalamannya bertanding di dua kejohanan sama di Athens pada tahun 2004 dan Beijing pada 2008.

Walaupun hanya berjaya menggondol beberapa pingat perak dan gangsa, semangat Tatyana tidak pernah pudar.

Dalam usia semuda 15 tahun, dia berjaya meraih pingat perak dalam acara 100 meter (m) dan gangsa untuk pecutan 200m.


Di Beijing pula, Tatyana mencipta rekod baharu apabila membawa pulang empat pingat untuk Amerika Syarikat (AS), tiga perak untuk acara 200m, 400m dan 800m serta gangsa dalam acara 4x100m.

“Semasa kecil, saya memang suka menonton sukan Olimpik, tapi saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan menyertainya, apatah lagi memenangi pingat dalam acara sukan besar seperti ini,” katanya kepada para wartawan.

Kegemilangan dalam lapangan sukan diteruskan dengan menggalas tanggungjawab sama untuk Paralimpik 2012 di London.

“Saya mahu jadikan ini perlumbaan terbaik saya,” katanya.

Ternyata lelah keringat Tatyana berbaloi. Belum pun sukan Paralimpik 2012 berakhir, dia sudah mengutip tiga pingat emas dalam acara kegemarannya iaitu lumba kerusi roda 400m, 800m dan maraton 1500m.

Di sebalik kejayaan yang dicapai hari ini, Tatyana, gadis kelahiran St. Petersburg, Rusia ini mempunyai sejarah hidup yang cukup menyayat hati.

Anak yatim

Tatyana Mcfadden - 2012 London Paralympics - Day 5 - Athletics
BELUM pun temasya Paralimpik berakhir, Tatyana sudah mengumpul tiga pingat emas.

“Ketika lahir, saya disahkan menghidap spina bifida dan mempunyai lubang pada tulang belakang. Keadaan itu menyebabkan saya lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

“Saya sepatutnya dibedah selepas tiga minggu dilahirkan, namun keluarga saya terlebih dahulu meninggalkan saya di rumah anak-anak yatim. Hingga ke hari ini, saya tidak mengetahui siapa keluarga kandung saya,” ujarnya.

Menurut Tatyana, kehidupan di rumah anak-anak yatim itu sangat daif.

“Hidup kami serba-serbi kekurangan hinggakan mereka tidak mampu membeli pewarna krayon untuk kami, apatah lagi kerusi roda.

“Sepanjang enam tahun tinggal di sana, lengan inilah kaki saya manakala tapak tangan ini menjadi tapak kaki saya. Setiap hari, saya dan rakan-rakan bermain dan menghabiskan masa dengan memandang ke arah tembok tinggi di sekeliling rumah.

“Saya selalu membayangkan kehidupan di luar tembok tinggi itu, pastinya ia adalah kebebasan mutlak untuk saya,” katanya.


SEMASA kecil, Tatyana pernah sakit teruk dan berdepan dengan maut selepas diserang anemia.

Ketika usianya 6 tahun, rumah anak-anak yatim yang dihuninya dikunjungi oleh Deborah McFadden dan delegasi dari AS. Hati wanita itu tersentuh melihat kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Tatyana di situ.

“Tatyana seorang kanak-kanak yang sangat comel. Apabila melihat wajahnya, saya dapat rasakan wujud keserasian antara kami. Selepas berbincang, saya ambil keputusan untuk membawanya tinggal bersama saya di AS,” ujar ibu angkat Tatyana, Deborah, 55.

Bagi Tatyana pula, keluar dari rumah anak-anak yatim adalah permulaan kehidupan untuknya.

“Kedatangan mama adalah anugerah kebebasan yang terlalu berharga untuk saya.

“Selepas berpindah ke AS, baru saya kenal erti keluarga yang sebenar. Saya juga dapat kerusi roda saya yang pertama sebaik sahaja tiba di negara itu. Ia sangat menggembirakan walaupun pada masa itu saya dan mama hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat,” ujar Tatyana.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama.

“Beberapa minggu selepas tiba dari Rusia, kesihatan Tatyana merosot teruk. Dia disahkan menghidap anemia dan berat badannya menyusut.

“Doktor pernah memberitahu, Tatyana sedang menunggu ajal dan boleh bertahan selama beberapa bulan sahaja.

“Namun, semangat Tatyana kental. Dia mahu terus hidup dan akhirnya dia berjaya melepasi fasa kesukaran itu dan kembali sihat,” kata Deborah.


TATYANA, Ruthi dan Hannah merupakan anak angkat Deborah yang cukup disayanginya.

Wanita ini akui, dia dapat memahami kekuatan jiwa Tatyana kerana dia dahulu juga pernah menghabiskan masa selama empat tahun setengah di atas kerusi roda sejak umur 23 tahun selepas serangan demam virus yang melumpuhkan sistem tubuhnya.

Dia mampu berjalan semula selepas menjalani terapi intensif.

“Keadaan Tatyana berubah selepas dia banyak menghabiskan masa di kolam renang,” ujar Deborah.

Setahun selepas itu, Tatyana menyertai Pertubuhan Sukan Kerusi Roda Bennet Blazer, Baltimore di Maryland.

Minatnya terhadap sukan terus bercambah. Dari sukan renang, Tatyana berjinak-jinak dengan sukan memanah, ping pong dan bola keranjang. Namun, dia akhirnya memilih untuk fokus kepada sukan lumba kerusi roda.



Pingat

Berbekalkan minat dan berkat kesungguhannya, pada tahun 2004, ketika usianya 15 tahun, Tatyana menjadi atlet termuda dalam senarai atlet trek dan padang yang mewakili AS dalam sukan Paralimpik di Athens.

Tahun 2012 ini, semangat sukan yang mengalir dalam tubuhnya turut diresapi oleh adik angkatnya, Hannah McFadden, 16. Hannah yang lumpuh sebelah kaki merupakan gadis kelahiran Albania yang Deborah pelihara sejak kecil.

Tahun ini pastinya menjadi tahun paling manis buat Tatyana dan Hannah kerana mereka berdua akan bersaing dalam acara sama dalam Paralimpik 2012.

Malah, pasangan ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi adik-beradik pertama yang menyertai Paralimpik malah bersaing dalam acara yang sama.

“Sebelum ini saya hanya melihat kakak beraksi di Paralimpik. Tak sangka pula tahun ini saya turut terpilih mewakili AS sebagai atlet termuda ke Paralimpik di London,” jelas Hannah.

Selain Tatyana dan Hannah, Deborah turut memiliki seorang lagi anak angkat kelahiran Albania, Ruthi, 12.

Berlainan dengan kedua kakaknya, Ruthi lebih sempurna fizikalnya dan cenderung dalam bidang nyanyian dan tarian.

“Mereka bertiga adalah nyawa saya. Walaupun mereka bukan lahir daripada rahim saya, tetapi kasih antara kami tidak bertepi.

“Tatyana, sebagai kakak, sangat menyayangi adik-adiknya. Walaupun dia sudah berjaya, dia tidak pernah lupa asal-usulnya.

“Pada musim bunga tahun lalu, selepas menyertai pertandingan maraton di London, dia bertanya kepada saya, boleh tak kalau singgah sebentar di Rusia sebelum bertolak balik ke AS.


TATYANA merupakan atlet elit Paralimpik AS.

“Dia mahu ke rumah anak yatim yang pernah membelanya satu masa dahulu.

“Sampai sahaja di sana, kanak-kanak datang mengerumuni kerusi roda Tatyana, malah ada yang dipangku di atas pahanya.

“Ketika itu, Tatyana mengeluarkan pingat emas yang dimenanginya semasa perlumbaan maraton di Bandar Raya New York.

“Katanya, lihatlah ini. Ini adalah hasil yang kita akan dapat kalau kita berusaha bersungguh-sungguh.

“Sebelum meninggalkan rumah anak yatim itu, Tatyana menghadiahkan pingat itu kepada pengarah rumah tersebut sebagai ucapan terima kasih kerana sudi memeliharanya walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Bila saya bertanya kepadanya, kenapa beri pingat itu kepada mereka, dia menjawab, tidak mengapa mama.

“Pasti ada peluang untuk saya menang lagi selepas ini. Lagipun, kalau tidak ada rumah ini dahulu, bagaimana agaknya keadaan saya.

“Biarpun dia berkerusi roda, gadis itu adalah anak yang sempurna untuk saya,” ujar Deborah.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
Sumber: Kosmo

0 comments: