20 September 2012

Terengganu Hilang 10 Pemain Pada Musim 2013


(Dari Kiri) : Muslim Ahmad, Sharbinee Allawee, Francis Forkey Doe

Pasukan Bola SepakTerengganu akan berwajah baru musim 2013 depan setelah 10 pemainnya memutuskan untuk beralih haluan, sekali gus memberi ruang skuad yang dihimpit kontroversi itu untuk memulihkan keadaan.

Antara yang menyatakan hasrat untuk berhijrah musim depan termasuk penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Muslim Ahmad, dua pemain yang sebelum ini terlibat dalam kontroversi dengan jurulatih, Peter Butler.

Lain-lain pemain yang menyatakan hasrat yang sama termasuk dua pemain kelahiran Sarawak, Joseph Kallang Tie dan Reeshafiq Alwi.

Joseph Kalang Tie mengambil keputusan kembali ke negeri asalnya untuk menyarung jersi Sarawak berikutan kontrak pinjaman skuad Penyu terhadap Kalang Tie, 25, berakhir musim 2012 ini. Beliau tetap akan kembali beraksi untuk pasukan Sarawak walaupun difahamkan mendapat banyak tawaran dari pasukan bola sepak negeri lain.

Namun pemain tengah Terengganu kelahiran Miri itu masih bertekad menyimpan hasrat untuk kembali ke bumi Penyu ini sekiranya suatu hari nanti ditawarkan mewarnai bola sepak negeri ini.

Abdul Hadi Yahya, Shukor Jusoh, Hariri Mohd. Shafie dan Mohd. Ailim Fahmi Kamaruddin juga mahu berhijrah.


Keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan para pemain berkenaan yang meminta agar mereka 'dilepaskan' daripada skuad itu.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, dalam masa yang sama dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva juga tidak akan disenaraikan dalam pasukan setelah kontrak mereka tidak disambung.

"Dalam mesyuarat persatuan (PBSNT) tempoh hari, kami memutuskan 15 pemain dikekalkan, manakala lapan pemain akan dilepaskan berdasarkan persetujuan bersama dan dua pemain import tidak akan disambung kontrak," katanya.

Che Mat turut mengumumkan pelantikan Marzuki Sulong sebagai pengurus pasukan Terengganu yang baru bagi mengambil alih tugas beliau. Manakala Zulkifli Ali dan Ahmad Awang pula masing-masing dilantik sebagai penolong pengurus 1 dan penolong pengurus 2.

Seramai 15 pemain yang dikekalkan dalam skuad itu musim depan antaranya Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Asha'ari, Ahmad Nordin Alias, Mohd. Asha'ari Shamsudin, Faizal Mohd., Maslizam Mohamad dan ketua pasukan, Marzuki Yusof.

Mengulas lanjut mengenai beberapa pemain tonggak yang akan meninggalkan Terengganu, Che Mat berkata, pihaknya mengambil kira permintaan mereka agar 'dilepaskan' terutama melibatkan Mohd. Sharbinee dan Muslim.

"Kita sudah berbincang, umpamanya mengenai Sharbinee dengan situasi yang dialaminya serta keadaan persekitaran. Jadi eloklah dia keluar cari angin baru di tempat baru.

"Kami simpati dengan mereka, begitu juga dengan Muslim, dia minta dikeluarkan dari pasukan. Tapi semua (lima) pemain utama ini, apabila keadaan pulih dan mereka berhasrat kembali, kami sedia terima mereka," ujarnya.

Che Mat juga tidak menafikan pihaknya sudah mula menghubungi pihak tertentu serta beberapa pemain dari pasukan negeri lain bagi mengisi kekosongan itu termasuk dua pemain import.

Ditanya sama ada Terengganu akan memberi peluang kepada tiga pemain asal Terengganu yang sedang beraksi dengan pasukan lain seperti Hairuddin Omar, Norfarhan Mohamad and Norshahrul Idlan Talaha, beliau berkata, pintu untuk mereka sentiasa terbuka.

Oleh Radhuan Hussain
Sumber: Utusan , Kosmo

Beberapa Orang Pemain Lagi Mahu Tinggalkan Terengganu

Selepas kapten Terengganu, Marzuki Yusof mahu meninggalkan skuad Penyu, seorang lagi tonggak penting pasukan itu, Mohd Ashaari Shamsuddin juga dikhabarkan ingin mengikut jejak untuk beralih angin musim 2013 depan.

Bagaimanapun, penyerang yang dikenali sebagai ‘Saha’ juga senasib dengan Marzuki apabila masih mempunyai baki setahun kontrak bersama Penyu. “Pemain ini dikatakan mahu berhijrah untuk menyertai pasukan berstatus kelab T-Team bagi kancah musim 2013 depan.

“Persetujuan sudah dicapai, cuma kontrak belum ditandatangani,” kata sumber.

“Niat untuk berhijrah itu ada kerana saya sendiri sudah lama beraksi dengan Terengganu. Nak juga beralih angin tetapi perkara ini masih dalam perbincangan lagi.

“Lagi pun, saya masih lagi terikat dengan Terengganu dan rasa sayang pada pasukan Penyu masih tebal, jadi keputusan masih belum dimuktamadkan,” kata Ashaari.

Sumber: BHarian [2012/10/24]

0 comments: