20 September 2012

Sharbinee Bersih, Butler Digantung Tugas


SHARBINEE disahkan bersih daripada dakwaan menjual perlawanan.

PENJAGA gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramlie bebas daripada dakwaan 'menjual perlawanan' ketika melakukan kesilapan semasa skuad Penyu menentang Kedah dalam saingan Piala Malaysia pada 1 September 2012 lalu.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Terengganu, Md. Yusoff Md. Zin berkata, hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati tidak wujud sebarang bukti atau dokumen menunjukkan kewujudan unsur rasuah dalam perlawanan tersebut.

"Sepanjang siasatan dijalankan, SPRM telah memanggil beberapa orang saksi untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan bagi membantu siasatan.

"Dalam pada itu, ujian poligrafi yang turut dijalankan menunjukkan tiada tindak balas signifikan (No Significant Reactions) yang boleh mengaitkan perlakuan rasuah seperti didakwa," katanya.


Md. Yusoff menambah, ketika rakaman ujian poligrafi dijalankan, keputusan diperoleh menunjukkan Sharbinee bercakap benar kepada soalan-soalan yang dikemukakan.

Katanya, SPRM telah menjalankan siasatan bagi kes tersebut mengikut bidang kuasa seperti mana diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan siasatan dijalankan adalah bebas, telus dan profesional.

Isu dakwaan Sharbinee menjual perlawanan itu tercetus selepas penjaga gawang itu tertampan bola masuk ke gawang sendiri sekali gus mencetuskan keraguan dan wujud dakwaan dia terbabit menjual perlawanan.


Aksinya menimbulkan keraguan jurulatih Peter Butler apabila bola terlepas mudah daripada jangkauan dan menerobos gawang ketika Terengganu mengharapkan kemenangan untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Sharbinee mengakui kesilapannya namun menolak tuduhan ia mempunyai kaitan menjual permainan.

Berikutan itu, Sharbinee dengan nada berani 'mempersilakan' SPRM menjalankan siasatan terperinci ke atasnya bagi membuktikan dia bercakap benar dan tidak terbabit dengan dakwaan menjual perlawanan.

Pada perlawanan itu, Mohd. Sharbinee turut menjadi sasaran kemarahan jurulatih Peter Butler, menyebabkan dia dikeluarkan sebelum tercetus pertelingkahan di luar padang.

Skuad Terengganu mula diselubungi kemelut dalaman apabila dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi dikatakan mempunyai masalah disiplin, sekali gus disingkirkan oleh jurulatih Peter James Butler daripada pasukan itu.

Sumber; KosmoBHarian dan Utusan

Butler digantung enam bulan



Kelancangan Peter Butler (gambar) yang bersuara secara terbuka mengenai pemain skuad bimbingannya sehingga mengheret kontroversi berpanjangan membawa padah, apabila jurulatih Terengganu itu digantung tugas selama enam bulan.

Malah Butler turut didenda RM4,000 ekoran kenyataannya kepada media mengenai dua pemain yang didakwa melanggar disiplin dengan pulang lewat ke hotel penginapan di Alor Setar 1 September 2012 lalu.

Butler didapati bersalah mengeluarkan kenyataan dengan menuduh Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari melakukan kesalahan tersebut tanpa pengetahuan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Selain itu, gaji Butler turut dipotong 15 peratus selama sebulan atas kesalahan bertindak biadab memalukan penjaga gol, Ahmad Sharbinee Allawee di depan ribuan penonton sewaktu Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 3 September 2012 lalu.

Sepanjang tempoh penggantungan, tugas Butler akan diambilalih pembantu jurulatih, Khalid Md. Dahan buat sementara waktu.

Tiga pemain Terengganu yang terlibat dalam kontroversi dengan Butler iaitu Muslim, Ismail dan Ahmad Sharbinee diberi amaran keras dan setiap seorang didenda RM1,000.

Muslim dan Ismail mengaku bersalah atas tuduhan pulang lewat ke hotel sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar tempoh hari.

Ismail dan Muslim  mengakui kesilapan mereka pulang lewat ke bilik hotel penginapan pada malam sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar, 28 Ogos 2012 lalu.

"Saya akur dengan hukuman yang dikenakan dan mengakui pulang lewat ke bilik hotel pada malam tersebut, tapi tuduhan saya bawa balik perempuan ke bilik tidak benar sama sekali," kata Ismail.

Ahmad Sharbinee pula dikenakan hukuman serupa kerana kesalahan membaling botol minuman ke arah Butler di depan penonton sewaktu Terengganu menentang Kedah di Terengganu, seminggu selepas perlawanan di Kedah.

Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib PBSNT yang dipengerusikan Ahmad Shukri Zakaria pada 18 September 2012.

Penyerang import, Francis Forkey Doe turut dikenakan tindakan tatatertib iaitu 10 peratus daripada gaji pokoknya dipotong sebulan. Forkey Doe dikenakan hukuman kerana sengaja menyiku muka seorang pemain Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 3 September 2012 lalu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung Forkey Doe empat perlawanan dan denda RM2,000 kerana kesalahan yang sama.

Sumber: Utusan Artikel1 , Utusan Artikel2


Peter Butler

Butler Akan Tetap Bersana Terengganu

Jurulatih Terengganu, Peter Butler yang digantung enam bulan dan didenda RM4,000 oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), tidak akan tunduk dengan desakan sesiapa yang mahukannya meninggalkan pasukan itu.

"Mungkin ada pihak yang mahukan saya marah dan meninggalkan Terengganu namun mereka silap jika mereka berfikir begitu. Saya seorang yang mempunyai prinsip dan setiap kali saya menerima tugas, saya akan melakukan yang terbaik," kata jurulatih berusia 46 tahun itu yang masih mempunyai kontrak sehingga November tahun 2013 depan.

Butler mengakui terkejut mendengar hukuman berat yang diterimanya namun dia tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tatatertib dan mesyuarat Majlis PBSNT.

Jurulatih itu berkata, dia datang ke Terengganu bertujuan membentuk pasukan yang baik.

"Tugas saya belum selesai dan sehingga ia tamat, saya akan terus berada di sini untuk menjalankan kewajipan saya. Namun, mungkin ada pihak atasan yang mempunyai idea lain dan sekiranya begitu saya juga akan menghormati keputusan mereka itu," katanya.

Kontrak Butler tamat automatik?

Pada 20 September 2012, Butler sebagai pengendali pasukan Penyu telah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), yang mengesahkan penggantungannya selama enam bulan, denda RM4,000 dan potongan gaji bulan hadapan sebanyak 15 peratus. Malahan isi kandungan surat tersebut turut menyatakan yang kontraknya bakal terbatal kerana tempoh penggantungannya melebihi sebulan seperti yang termaktub dalam perjanjian dengan PBNST.

Pada 21 September 202, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menyerahkan surat penamatan konrak menandakan berakhirnya khidmat ketua jurulatihnya, Peter Butler dengan memberi sebulan notis atau membayar sebulan gaji sebagai pampasan.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, seperti termaktub dalam perjanjian, jurulatih yang digantung daripada aktiviti bola sepak selama sebulan atau lebih boleh ditamatkan kontraknya.

“PBSNT cuma perlu memberi sebulan notis atau membayar sebulan gaji sebagai pampasan untuk menamatkan kontraknya yang masih berbaki 15 bulan itu,” katanya.

Sumber: BHarian , BHarian Artikel2 dan BHarian Artikel3

FAM batalkan keputusan penggantungan Butler oleh PBSNT

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) yang mengenakan penggantungan selama enam bulan dan denda RM4,000 ke atas bekas jurulatih mereka, Peter James Butler pada 17 September 2012 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata keputusan PBSNT itu tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikuti prosedur yang ditetapkan termasuk tidak menyediakan kertas pertuduhan ke atas Butler.

"Mereka juga tidak mengguna pakai kod tatatertib yang digunakan oleh kita malahan menjatuhi hukuman secara rambang sahaja terhadap Butler," katanya.

Keputusan pembatalan itu membolehkan jurulatih berbangsa Inggeris dari Halifax, Ireland itu memperoleh semula kontraknya yang masih berbaki sehingga Disember 2013.

Sumber: BHarian [18/10/2012]

0 comments: