Nuff Atas

27 Oktober 2012

Baki Susu Boleh Menyumbang Kepada Gejala Klinikal



Semasa anda berada dalam usia kanak-kanak, pernahkah mempunyai tabiat makan atau minum sesuatu yang digemari, kemudian simpan dan menikmatinya kembali selepas beberapa jam?

Sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang lahir daripada keluarga berpendapatan sederhana, perlakuan ini selalunya berpunca ekoran 'rasa sayang' untuk menghabiskan makanan mahupun minuman berkenaan.

Mungkin boleh dikatakan dalam sebulan hanya sekali ataupun langsung tidak berkesempatan untuk menikmatinya lanjutan daripada pendapatan keluarga tidak seberapa, menyebabkan ada komuniti kecil ini bersikap sedemikian.

Pengamalan tabiat ini bukanlah sekadar rekaan, namun dapat dilihat dengan ketara tatkala pembekalan susu ke sekolah-sekolah rendah kawasan luar bandar yang dilaksanakan menerusi 'Program Susu 1Malaysia' (PS1M).

Menganggapnya sebagai minuman mahal, menyebabkan ada sesetengah murid mengamalkan tabiat berkenaan, tanpa menyedari bahawa perlakuan itu sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya!


SUSU YANG TERCEMAR

Tabiat minum sedikit dan simpan dalam tempoh penyimpanan agak panjang berpotensi mendedahkan susu kepada penyerangan bakteria.

Ini akan mengakibatkan kerosakan susu dan berupaya menyebabkan seseorang itu mengalami tanda-tanda klinikal seperti cirit-birit dan muntah.

"Apabila diberikan susu UHT (pek menggunakan kotak), kepada murid-murid, mereka seharusnya minum sehingga habis. Sekiranya mengalami kesukaran untuk menghabiskannya, mereka perlu buang dan tidak boleh simpan.

"Ini kerana susu yang terdedah berpotensi kepada penyerangan bakteria. Dan perkara penting harus diketahui ialah bakteria tidak akan berhenti membiak biarpun susu itu ditutup kembali," kata Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Milk Industries Bhd, Mohd Afizi Mohd Ross.

Program PS1M yang digerakkan kembali selepas pemberhentiannya pada 2007, memberi manfaat kepada seramai 1.53 juta murid sekolah dari 7,613 sekolah seluruh negara.

Bagi menjayakan program ini, sebanyak empat pembekal dilantik iaitu, Dutch Lady Milk Industries, Sabah International Dairies Sdn Bhd (SiD), Konsuma Sdn Bhd (Konsuma) dan Hybrid Allied Sdn Bhd (Hybrid).



PS1M

Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang dilancarkan pada 16 Sept, 2011 merupakan program susu percuma untuk diedarkan kepada murid sekolah. Program susu percuma ke sekolah pernah dijalankan suatu ketika dahulu tetapi ia diberhentikan kerana terdapat murid mengalami keracunan makanan setelah meminumnya.

 Salah satu tujuan program ini ialah dengan harapan dapat membantu murid sekolah meningkatkan status gizi dalam tubuh. Selain itu ia dilihat secara langsung membantu peningkatan ekonomi pembekal susu tempatan.

 Susu lembu dianggap sesetengah pihak sebagai salah satu makanan super. Sebab itulah lebih dari 50 negara seluruh dunia menjalankan skim susu percuma untuk pelajar sekolah. Antara negara terlibat ialah Thailand, Iran, United Kingdom, New Zealand dan Palestin.

Di Thailand menunjukkan skim ini berjaya mengurangkan masalah kekurangan zat seimbang daripada 20 peratus kepada hanya 9 peratus. Selain itu ia didapati meningkatkan purata pertambahan ketinggian murid daripada 2 cm ke 5 cm setahun.

Susu yang dibekalkan untuk program susu percuma dikatakan bebas daripada kuman kerana ia telah menjalani proses pempasteuran suhu tinggi (ultra high temperature - UHT) iaitu susu didedahkan pada suhu antara 135-140 darjah Celsius selama 10 saat. Proses ini dikatakan berupaya membunuh semua bakteria. Proses menyahkan kuman ini dikatakan memanjangkan jangka hayat susu hingga 10 bulan sejak tarikh ia diproses.

Susu UHT kemudiannya diisi dalam kotak terdiri dari tiga lapisan bahan iaitu polyethylene, kertas dan aluminium. Bahan tersebut menyumbang sifat tertentu seperti kalis air, kekukuhan dan kestabilan struktur kotak. Ia juga mengelakkan susu daripada pancaran cahaya matahari, oksigen dan bau-bauan. [sinar harian]

PETI AIS PENYELAMAT?

Biarpun begitu, ada berpendapat bahawa susu yang telah dibuka akan sentiasa berada dalam keadaan 'selamat', tidak diserang bakteria, kerana disimpan dalam peti sejuk.

Walhal, realitinya menunjukkan sebaliknya.

Harus diingat, penyimpanan susu dalam tempoh agak lama dalam peti sejuk tetap menyebabkan bakteria menyerang, kerana konsepnya tetap sama yakni menjurus kepada pembiakan bakteria sebaik sahaja susu itu dibuka.

"Kalau bakteria sudah masuk ia tidak akan keluar biarpun anda menutupnya dan menyimpannya dalam peti sejuk. Pembiakan bakteria tetap akan berlaku, cuma mungkin suhu sejuk melambatkannya," katanya.

Disebabkan itulah, dinasihatkan susu yang telah dibuka, tidak kira sama ada dalam bentuk UHT (pek menggunakan kotak), STM (pek menggunakan botol), perlu dihabiskan secepat mungkin.

TARIKH LUPUT

Dalam pada itu, agak menyedihkan apabila diberitahu masih ramai beranggapan bahawa susu yang telah dibuka masih segar dan selamat diminum, syaratnya ia mesti tidak melebihi daripada tarikh luput ditetapkan.

Akan tetapi, tahukah anda bahawa pemahaman dan persepsi anda berhubung perkara itu adalah silap sama sekali. Sekiranya tidak, mengapakah susu itu boleh 'basi' sebelum melepasi tarikh luput?

Mohd Afizi berkata senario itu berpunca daripada penyerangan bakteria, dan atas faktor itulah susu perlu dihabiskan secepat mungkin tanpa mengira bila tarikh luputnya.

"Sebenarnya, tarikh luput adalah merujuk kepada tarikh yang belum dibuka, itu jangka hayat bagi produk susu. Contoh, saya membeli satu produk susu yang belum lagi melepasi tarikh luput.

"Kemudian, saya buka susu itu dan minum separuh. Dan, saya tidak boleh lagi merujuk kepada tarikh luput berkenaan dan perlu habiskan susu itu secepat mungkin," katanya.



TIDAK SARAPAN, TIDAK MAKAN

Di samping budaya minum sedikit dan simpan, masih ramai mempunyai persepsi bahawa pengambilan susu semasa perut 'kosong' sudah mencukupi.

Walhal, penggantungan seratus peratus kepada susu dengan perut kosong boleh mendedahkan seseorang itu kepada simptom klinikal. Disebabkan itulah, amalan minum susu dinasihatkan diambil selepas sarapan mahupun makan tengah hari. Amat penting ditekankan tentang kepentingan mengambil sarapan pagi dan elakkan meminum susu dengan perut yang kosong.

Keadaan ini akan bertambah parah, sekiranya seseorang itu mengalami masalah 'intoleransi laktosa'.

Merupakan satu keadaan di mana seseorang itu tidak berkeupayaan untuk mencerna dan menyerap laktosa (gula dalam susu), ia akan menyebabkan sakit perut, rasa mual dan kembung perut apabila mengambil makanan/produk tenusu.

"Situasi ini disebabkan oleh tubuh yang kurang atau tidak mampu mengeluarkan enzim lactase (enzim pencernaan yang dikeluarkan oleh sel-sel di dalam usus kecil) yang bertugas memecahkan gula susu untuk menjadi bentuk yang lebih mudah diserap oleh tubuh," katanya.

Sekiranya proses ini tidak berupaya dicerna dengan baik, ia boleh menyumbang kepada keracunan makanan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka yang menghadapi intoleransi laktosa tidak boleh minum susu.

Disarankan minum susu dalam kuantiti sedikit pada peringkat awal selain diambil bukan dengan perut kosong, lama-kelamaan ia (intoleransi laktosa) akan berkurangan.

"Semasa pemberian susu ke sekolah-sekolah, kami (Dutch Lady) akan pantau sekiranya murid ada intoleransi laktosa. Ini kerana, ada murid yang tidak pernah minum susu tidak tahu mereka mempunyai masalah berkenaan," katanya.

MASIH RENDAH!

Semua ini menunjukkan tatacara mahupun amalan minum susu dengan cara betul dalam kalangan masyarakat negara ini khususnya kanak-kanak masih rendah.

Mungkin disebabkan ia kurang diberi pendedahan berbanding negara seperti Eropah akan tatacara yang betul dalam pengambilan susu sebagai diet harian.

Terdapat juga anggapan bahawa susu hanya sesuai untuk golongan kanak-kanak dan bukannya orang dewasa. Ini dapat diperjelaskan lagi menerusi kajian Malaysian Adult Nutrition Survey (Mans) yang dijalankan pada 2002/2003.

Hasil kajian itu mendapati, golongan dewasa hanya mengambil susu sebanyak 0.14 gelas sehari berbanding hidangan yang dicadangkan oleh piramid makanan iaitu 1-3 gelas sehari.

Justeru, bagaimana ibu bapa berupaya menyemai budaya minum susu dalam kalangan kanak-kanak sekiranya mereka juga tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian?

"Mengambil tahu tentang cara pengambilan susu yang betul adalah amat penting terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Ini boleh mengelakkan daripada berlakunya simptom-simptom klinikal dan sebagainya," katanya.

KURANG SATU PERATUS!

Namun begitu, kesalahan selalunya ditujukan kepada pembekal susu PS1M apabila berlakunya laporan cirit-birit, muntah dalam kalangan murid sekolah.

Walhal, peratusan mereka yang mengalami simptom klinikal akibat minum susu berkenaan adalah kecil, iaitu kurang daripada satu peratus!

Jelas Mohd Afizi, senario dimaklumkan sebelum ini seperti budaya minum susu sedikit dan tinggal, tidak sarapan, perut kosong serta menghadapi intoleransi laktosa adalah antara punca dikenalpasti murid mengalami tanda-tanda klinikal

"Contoh, kita membekalkan susu kepada 1000 murid tetapi yang kena cirit-birit, muntah hanya lima murid sahaja. Jadi, kita tidak boleh cakap ia berpunca daripada susu rosak kerana mengapa bukan semua yang kena.

"Disebabkan itulah siasatan terperinci perlu dijalankan dengan membabitkan pelbagai pihak berkaitan dalam mengenalpasti punca tanda-tanda klinikal itu. Dari segi keracunan, kita tidak nampak ia berpunca daripada susu itu," katanya sambil menambah susu PS1M selamat untuk diminum.

Ini berikutan, susu PS1M menjalani proses penyaringan ketat bermula dari aspek pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan sehinggalah ke peringkat pemberian susu mengikut garis prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Pemantauan juga dilakukan bagi memastikan hanya susu berkualiti, dijamin selamat serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada murid.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [25/10/2012]

3 comments:

khairul berkata...

bahaya jugak ni

baby comel berkata...

byk kes susu tercemar ni.. kanak2 berisiko kn, harap susu yg dibekalkan tu okeyla

caliph shuriken berkata...

noted, begitu rupanya.. nice sharing info ^^