Nuff Atas

28 Oktober 2012

Ijazah Universiti Bukan Jaminan Dapat Kerja



Walaupun memegang ijazah dalam bidang Pengurusan Pengangkutan, Fazren, 29, bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah agensi kerajaan sejak empat tahun lalu.

"Saya mohon banyak kerja dalam sektor awam dan swasta. Bila saya ditawarkan jawatan pembantu pentadbiran (di sebuah agensi kerajaan) saya tidak teragak-agak untuk terima walaupun ia untuk lulusan SPM. Nak dapat kerja sekarang memang agak sukar," cerita anak kelahiran Pahang itu.

Amran, 22, mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan kini bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital awam setelah menerima Diploma Kejururawatan dari kolej latihan kejururawatan awam tahun ini.

Bila ditanya kenapa beliau memilih kerjaya sebagai seorang jururawat walaupun menerima keputusan SPM yang agak cemerlang, Amran, anak kelahiran Perlis memberitahu:

"Ia disebabkan faktor ekonomi. Saya pilih tidak masuk universiti kerana saya percaya selepas jadi graduan, walaupun dengan mempunyai ijazah ia tidak menjanjikan pekerjaan. Dengan hanya diploma kejururawatan, saya boleh dapat kerja dengan mudah di hospital awam atau hospital swasta.

"Ada baiknya kalau mula bekerja semasa usia masih muda dibandingkan dengan bertahun-tahun lamanya menunggu pekerjaan," jelas beliau.


Amran dan Fazren (bukan nama sebenar) adalah antara pencari kerja warga Malaysia yang tidak memilih kerjaya kerana mereka arif tentang situasi pemegang ijazah universiti yang tidak semestinya mudah mendapat pekerjaan.

GRADUAN MENGANGGUR

Pada Mei 2012 lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan memberitahu Parlimen terdapat 76,200 graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan.

Katanya Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan di mana pada tahun 2010 jumlah pengangguran mencecah 42,955 atau 24.62 peratus daripda 174,439 graduan yang ada.

Di Malaysia terdapat 20 universiti awam (IPTA) seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Negara juga mempunyai 60 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multi Media (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

IJAZAH SARJANA MUDA

Menurut Kementerian Pengajian Tinggi, universiti-universiti ini serta politeknik di seluruh negara mengeluarkan 184,581 graduan pada tahun lepas di mana 44,391 atau 24 peratus tidak mempunyai pekerjaan.

Menurut statistik kementerian, graduan daripada kursus Sastera dan Sains Sosial merupakan kelompok pengangguran terbesar pada 44.5 peratus atu 19,784 dari jumlah keseluruhan graduan yang menganggur.

Di kelompok kedua ialah graduan kursus teknikal iaitu seramai 12,321 atau 27.7 peratus lah manakala graduan kursus sains berada di tempat ketiga 7,321 orang atau 16.49 peratus dari jumlah keseluruhanya.

Statistik juga menunjukkan seramai 21,248 pemegang ijazah masih belum mempunyai pekerjaan manakala bagi pemegang diploma, mereka hanya 3 peratus daripada jumlah graduan yang menganggur keseluruhanya.

Menurut maklum balas sektor industri, masih ramai graduan yang menganggur disebabkan kursus yang mereka ambil di universiti tidak sesuai dengan keperluan dan permintaan pasaran.

KEBOLEHAN BERKOMUNIKASI

Pensyarah Sains Kemanusiaan Amien Iskandar berkata satu daripada faktor kenapa graduan sukar mendapat kerja adalah kelulusan yang ada pada mereka tidak sesuai dengan keperluan pasaran, menjadikan mereka tidak diperlukan.

"Satu faktor lagi adalah lemah penguasaan dalam Bahasa Inggeris. Kalau ada kebolehan dalam Bahasa inggeris ini akan membantu graduan mendapat pekerjaan terutama dalam sektor swasta.

"Jadi adalah perlu memastikan graduan mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka diperlukan dalam pasaran pekerjaan," kata beliau.

Selain daripada masalah berkomunikasi, faktor lain adalah sikap yang salah dan gagal meyakinkan bakal majikan.

"Tetapi walaupun anda mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik tetapi jika tidak pandai dalam penyampaian (komunikasi), anda akan masih tidak dapat kerja," katanya.

LATIHAN TEKNIKAL

Menurut Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), kurangnya latihan industri adalah faktor penting dalam isu ini.

Sementara itu Pengarah Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan dilaporkan media berkata isu lain menyebabkan graduan sukar dapat pekerjaan adalah lemah dalam penyelesaian masalah, suka lompat kerja dan kurang keyakinan diri.

Beliau menggesa graduan supaya memperbaiki kelemahan mereka dalam Bahasa Inggeris selain meningkatkan skil komunikasi mereka.

"(Bagaimana nak dapat kerja) kalau nak yakinkan bakal majikan pun tidak boleh, peluang mereka (graduan) untuk dapat kerja adalah amat tipis," kata beliau.

Mohd fauzi juga menasihatkan graduan supaya meninggalkan sikap negatif seperti terlampau memilih perkerjaan dan hanya mahu pekerjaan di kawasan yang mereka rasa selesa seperti di tempat kelahiran masing-masing.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [24/10/2012]

6 comments:

khairul berkata...

betul tu tuan...bukamn senang nk dpt kerja skrg ni

CikZaitul berkata...

macam aku lah..aku belajar akauntan , tapi ke bahagian penolong jururawat lak..
rzeki tu ade di mana2 kannn.. :)

baby comel berkata...

skg org muda susahnya nk dpt pekerjaan..

mieza berkata...

kemahiran insaniah yg di terapkan di universitui sedikit sebnyak membntu pljar agar boleh berkomunikasi dgn baik.
yg pntg zaman skang ni tak boleh nk memilih kerja.
ape yg dtg dlu, just grab it..
ini laa pesan mak sye. hehe

caliph shuriken berkata...

yup, mmg susah giler nk dapat keje skrg ni...

♥♥szumika sakni♥♥ berkata...

saya adalah sorang graduan yg memegang ijazah tp masih tidak mempunyai kerjaya yg tetap. tp tidak kisah la keja macam mna sbb kbnykn company nak yg da pengalaman...mslhnya cm na nk ada pglmanan klu tdk dberi pluang...huhu apa2 pn kna bersyukur :)