04 Oktober 2012

Buku Masih Diterima Masyarakat Di Era Gajet

Di manakah anda mencari sumber bahan bacaan anda? Di internet atau di dalam buku?
Jika anda mencarinya di dalam buku, di kedai buku manakah biasanya anda mendapatkan buku-buku tersebut?


Walaupun era gajet, buku dapat ruang dalam bajet

PARA pelajar universiti dan pra-universiti akan memperoleh baucar buku RM250 dalam bajet 2013, iaitu kenaikan RM50 lagi berbanding RM200 dalam Bajet 2012.

Bukan saja para pelajar menyambut gembira mendapat bantuan ini, tetapi juga ibu bapa dan sudah tentu industri buku; dari kedai buku hinggalah kepada penerbit, pengedar, pencetak dan penulis sendiri.

Adalah suatu yang inovatif di pihak kerajaan untuk memperkenalkan baucar buku itu. Dengan memperkenalkan baucar sedemikian, kerajaan telah menampilkan sikap mesra buku. Pelajar yang tidak pernah membeli buku pun, apabila memperoleh baucar itu mereka perlu membelanjakannya.


Beberapa minggu lalu. rakyat negara ini menyaksikan pelancaran Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang menawarkan buku-buku dengan harga potongan. Menunjukkan satu lagi sisi mesra buku telah ditampilkan oleh kerajaan. Yang pastinya tidak lama lagi akan bercambahlah KB1M di merata-rata tempat.

KB1M dipengerusikan Mohd Khair Ngadiron yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Transformasi ITNM kepada ITBM adalah suatu pemerkasaan yang juga mencerminkan sikap mesra buku oleh kerajaan. ITBM adalah sebuah syarikat kaitan kerajaan (GLC) di bawah Khazanah.

Maknanya selain daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran yang terlibat dalam hal buku, kini ia dirancakkan dengan ITBM.

Beberapa tahun lalu, melalui bajet juga kerajaan memperkenalkan rebat pembelian buku dalam cukai pendapatan. Ini juga menunjukkan sikap mesra buku oleh kerajaan.

Sikap mesra buku ini penting. Ini kerana hanya sebuah kerajaan arif (enlightened) yang menghargai pembacaan buku.

Dalam sektor swasta, terdapat banyak penerbit yang aktif mengeluarkan buku-buku baru. Termasuklah Kumpulan Utusan yang mempunyai penerbit buku iaitu Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Dominasi

Kini penjualan buku melalui kedai didominasi oleh empat rangkaian besar iaitu MPH, Popular, Borders dan Times. Sementara kedai paling besar dengan tajuk-tajuk buku yang luas serta mendalam dari negara-negara maju ialah Kinokuniya di KLCC.

Untuk buku baucar yang dahulu, semua kedai-kedai buku ini menerimanya kecuali Times.

Walaupun dunia siber menjadi penyalur maklumat utama zaman ini, tetapi buku bercetak masih diminati oleh sebahagian besar daripada masyarakat negara ini.

Sebenarnya, yang menjadi ancaman besar bagi kedai buku di negara ini bukannya dunia siber tetapi kenaikan harga sewa hartanah yang mendadak di pusat-pusat bandar.

Kejayaan sesebuah kedai buku terletak pada lokasinya. Tetapi lokasi yang baik menyaksikan kenaikan sewa yang dahsyat. Tidak ada syarikat kedai buku kecil yang mampu menyewa lokasi yang baik. Hanya rangkaian kedai buku besar dari kumpulan syarikat perkasa yang mampu menjalankan perniagaan kedai buku. Segala keuntungan daripada jualan buku banyak dimakan oleh sewa bangunan.

"Sebenarnya kami ini bekerja bukan untuk karya penulis atau pembaca, sebaliknya semua keuntungan ini untuk mengkayakan pemilik hartanah ini." kata seorang pemilik rangkaian kedai buku.

Walaupun dilaporkan banyak kedai buku ditutup di Amerika Syarikat dan Eropah Barat kerana cabaran daripada Internet, tetapi di Malaysia, kehadiran buku masih rancak dan seronok diraikan.

Untuk mendapatkan buku-buku bermutu di negara maju, carilah di Kinokuniya, sebuah syarikat milik Jepun. Kalaulah Suria KLCC tidak ada Kinokuniya, maka ia hanya menjadi pusat membeli belah biasa.

Apa yang menjadikan Suria KLCC sebagai tempat bertamadun bukanlah sekadar kedai-kedai membeli belah dan makanan. Kehadiran Galeri Petronas, Petrosains, Dewan Filharmonik dan Kinokuniya menjadikannya pusat budaya bermakna bagi Kuala Lumpur.

Pusat-pusat membeli belah yang lain juga menyedari kepentingan kedai buku. Umpamanya Pavillion memiliki Times, Mid Valley ada MPH dan Borders, One Utama ada MPH, Curve ada Borders dan Ikano ada Popular.

Untuk mencari buku import murah, pergilah ke Excessbooks dan Payless Books. Untuk buku terpakai, tempatnya ialah Chowrastra, Georgetown, Pulau Pinang.

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Utusan

Buku belum mati, begitu juga tradisi ilmu


Judul kecil bagi buku The Gutenberg Elegies karya Sven Birkerts ialah The Fate of Reading in An Electronic Age. Buku ini menanyakan apakah benar dalam keghairahan kita mengalu-alukan era elektronik kita sebenarnya mengabaikan budaya membaca dan membunuh industri buku?

Sebenarnya manusia lebih banyak membaca daripada sebelum ini. Mungkin mediumnya berubah daripada buku atau akhbar dalam bentuk tradisionalnya kepada membaca dalam dunia siber menggunakan landasan media baru e-mel, SMS, Facebook, Twitter dan sebagainya.

Melayari Internet itu sendiri menuntut ketekunan membaca. Akhbar talian menjadi pilihan baru pembaca muda, begitu juga buku dalam bentuk elektronik. Kini kita melahirkan generasi e-pembaca.

Buku belum berkubur, itulah hakikat yang harus diterima. Malah lebih banyak buku diterbitkan pada masa ini daripada zaman sebelum ini. Era elektronik sebenarnya membantu memperkaya dunia buku dan pembacaan.

Debat berkuburnya buku bukan baru. Pada tahun 50-an apabila TV mula menjadi popular, banyak pihak yang meramalkan buku akan pupus. Jumlah penerbitan buku menunjukkan sebaliknya. Menurut Gabriel Zaid dalam bukunya So Many Books, pada tahun-tahun 50-an, dunia menerbitkan kira-kira 250,000 judul setahun.

Apabila mesin cetak Gutenberg memungkinkan buku dicetak secara meluas pada tahun 1450, hanya 100 judul mampu diterbitkan setahun. Pada tahun 2000, sejuta judul buku telah diterbitkan. Sebagai perbandingan pada tahun 1947, Amerika Syarikat (AS) mempunyai hanya tujuh saluran TV, pada tahun 1949 jumlah itu menjadi 50 dan 517 pada tahun 1960.

Hari ini jumlahnya ribuan. Di antara tahun 1947 dan 1960, judul buku yang diterbitkan di AS meningkat dari 7,000 setahun menjadi 15,000. Stesen TV bertambah banyak kali ganda.

Pada tahun 1550 terdapat 35,000 judul buku yang diterbitkan, seratus tahun kemudian jumlah terkumpul judul buku menjadi 150,000. Pada tahun 1750 jumlahnya ialah 700,000 dan pada tahun 2000, jumlah terkumpul judul buku dunia ialah 52 juta.

Pada hari ini sebuah buku terbit setiap 30 saat. Buku akan terus menjadi wahana ilmu dan maklumat utama manusia. Buku mencorakkan tamadun. Tamadun ditunjang oleh buku. Manusia menjadi cerdik kerana buku dan kecerdikan memungkinkan kelahiran buku. Tradisi keilmuan akan dicorakkan oleh buku, dulu, kini dan selamanya.

Maka itu buku tidak boleh pupus dalam bentuk asalnya. Memang benar era elektronik hari ini mengurangkan waktu membaca manusia dalam konteks yang kita fahami dahulu tetapi tidak mengurangkan jumlah buku yang terbit.

Ada pandangan yang mengatakan perpustakaan tidak lagi relevan dengan wujudnya Wikipedia. Semua maklumat boleh didapati di hujung jari. Maklumat dan ilmu pasang siap bukan tandingannya tradisi ilmu sebenar yang teruji oleh amalan kesarjanaan dan budaya fikir yang halus.

Memang benar penerbit buku dan akhbar dicabar dengan hebatnya oleh banyak medium baru dalam era elektronik. Banyak syarikat akhbar yang satu masa dahulu gah kini gulung tikar. Pada waktu yang sama banyak syarikat buku yang berdepan dengan masa depan yang malap.

Kompendium ilmu yang tersohor, Encyclopedia Britannica yang bermula pada tahun 1768 mengaku kalah dek asakan elektronik lalu menghentikan penerbitan dalam bentuk tradisionalnya. Pada bulan Mac 2012, penerbit ensiklopedia itu mengumumkan bahawa edisi tahun 2012 merupakan edisi bentuk buku yang terakhir.

Di sebaliknya cerita suram dunia perbukuan, banyak lagi cerita kejayaan luar biasa yang harus kita banggakan. Penerbit masih mampu mengeluarkan judul yang dianggap buku laris dunia yang memberikan kekayaan pada penulis. Penulis yang berjaya hari ini bukan sahaja menjadi selebriti tetapi hidup kaya raya dengan royalti.

Malangnya buku paling laris di Malaysia ialah novel popular dan buku agama. Akhdiat Akasah misalnya telah menulis 87 judul novel menjadikan beliau novelis paling produktif di negara kita. Buku serius sukar dijual, termasuk buku karya Sasterawan Negara kita.

Industri buku di Malaysia sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging. Malaysia hanya mampu menerbitkan paling banyak 5,000 judul buku setahun, kebanyakannya buku teks dan buku kerja sekolah. Kita sepatutnya menerbitkan 12,500 judul buku am setahun. DBP sendiri hanya mampu menerbitkan 300 judul baru setahun. Hari ini China menerbitkan 180,000 judul, United Kingdom 16,000, AS 60,000 dan India 49,000.

Terlalu banyak potensi untuk mengembangkan industri buku di negara ini. Apa yang diperlukan ialah usaha menyemarakkannya. Kita memerlukan komitmen semua pihak bagi tujuan ini. Kita perlu menggalakkan pembacaan di kalangan rakyat. Usaha memasyarakatkan buku dan pembacaan memerlukan strategi baru. Buku dan pembacaan masih lagi anak kunci pada tradisi fikir dan budaya ilmu.

Oleh Johan Jaaffar
Sumber: BHarian

3 comments:

Jahirah berkata...

selalu berkunjung ke MPH ngan Popular je...nak cari info mmg kat internet yang lebih mudah..

caliph shuriken berkata...

lagi satu option, buku2 bestseller ada dijual kt e-store sy ^^

*dh lama x singgah kinokuniya...

Karen Monica berkata...

selalunya di MPH atau popular tu pun untuk beli novel..hehe