03 Oktober 2012

Galak Anak Berpeluh Dengan Bersukan



Dunia kanak-kanak adalah dunia yang sepatutnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bermain. Usah disekat-sekat kerana fitrahnya kanak-kanak itu akan bermain, berlari, melompat dan pelbagai lagi aktiviti lasak yang ingin mereka terokai.

Sayangnya, tidak semua kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti luar. Hari ini, lebih ramai yang gemar bermain di hadapan komputer, PSP atau paling kurang pun permainan XBOX yang memberi peluang mereka bergerak dan sekurang-kurangnya bersenam dalam rumah.

Persoalan yang timbul, adakah kesibukan ibu bapa hari ini menyekat keperluan anak untuk bermain dan bersosial bersama rakan sebaya?


Ibu bapa hari ini perlu lebih kreatif mencari peluang dan ruang untuk anak berpeluh. Jika faktor keselamatan yang dibimbangkan, terdapat banyak kem dan klinik sukan yang sering dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan dan persatuan.

Mungkin peluang keemasan menerusi program Play More Learn More (PMLM) anjuran Nestle Product Sdn Bhd boleh disertai anak yang gemarkan aktiviti luar.

Kempen PMLM Milo@Nestle pada dasarnya menepati konsep pembangunan sukan remaja di Malaysia dan menyasarkan kepada kanak-kanak sekolah rendah. Antara yang telah berlangsung ialah Kem PMLM di Johor, Terengganu dan Selangor.

Kem sukan ini adalah satu usaha berterusan daripada Nestle dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan kelompok masyarakat setempat. Dimulakan sejak tahun 2009, kempen berbentuk kem dan klinik sukan ini bertujuan menggalakkan kanak-kanak menceburi bidang sukan dan menjalani hidup yang seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran semata-mata.

BERMAIN BINA KEMAHIRAN SOSIAL

Dalam kem tersebut, kanak-kanak ini berpeluang mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada atlet-atlet profesional negara. Antaranya ialah atlet bola keranjang negara, Peter Ng.

Ng, 23, pelajar tahun dua jurusan Sukan Rekreasi UPM dan boleh dijadikan contoh remaja yang membesar dengan memiliki kebebasan bermain.

Bagi Ng secara tidak langsung kebebasan tersebut menyebabkan minda dan tubuhnya cerdas. Kesannya beliau dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Mengakui galakan ibu bapa serta guru adalah pendorong kejayaannya dalam sukan dan akademik, Ng berkata sokongan keluarga dari sudut menyediakan kelengkapan seperti kasut dan pakaian yang sesuai sejak di sekolah rendah adalah antara faktor yang mendorong beliau bermain dan belajar bersungguh-sungguh.

Anak kelahiran Sibu ini menyokong sepenuhnya kempen PMLM ini berikutan ia mengajar kanak-kanak akan teknik asas dalam bersukan.

Program ini, menurut Ng, memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar dengan cara yang menyeronokkan. Malah ia pendekatan positif untuk perkembangan kesihatan dan pendidikan.

"Mereka juga belajar cara berkomunikasi dan membina hubungan sosial dengan keluarga dan rakan dengan cara yang menyeronokkan.

Peserta ditunjukkan teknik-teknik sebenar dalam permainan yang mereka sertai. Selain menambah pengetahuan tentang disiplin berpasukan, mereka turut dilatih untuk membentuk sahsiah diri dan kebolehan bersosial.

"Banyak yang saya pelajari melalui bersukan. Di sinilah tempatnya untuk kita membina persahabatan dan perasaan hormat menghormati.

"Dalam acara berpasukan pula, secara tidak langsung sifat kepimpinan juga terbentuk menerusi kerjasama berpasukan. Paling utama, ia juga membentuk keyakinan diri kepada individu terutama kanak-kanak yang sedang membesar," tambah Ng.

Ng mengakui zaman kanak-kanak adalah zaman yang indah untuk dikenang jika mereka diberi peluang bermain sepuas-puasnya. Ia menjadi lebih bermakna dengan adanya sokongan dan galakan daripada individu berpengalaman sehingga hobi bermain bola keranjang akhirnya membawa Ng menjadi pemain profesional.

GILAP POTENSI ANAK

Bagi ibu bapa yang ingin melihat potensi anak mereka berkembang, kem PMLM mungkin boleh menjadi titik mula buat mereka. Setidak-tidaknya mereka berpeluang mempelajari kemahiran bersosial.

Program PMLM memberi peluang peserta mempelajari teknik asas bermain bola sepak, bola jaring, ping pong, futsal dan bola keranjang yang mendapat tunjuk ajar jurulatih pakar sukan tersebut.

Pertandingan turut dilangsungkan sebaik selesai klinik sukan. Pada akhir setiap kem, kanak-kanak ini akan mewakili pasukan masing-masing dalam perlawanan persahabatan yang diadakan.

Berilah anak bermain dan belajar sepuas-puasnya, bukankah ia satu perkara yang menyeronokkan mereka? Inilah peluang mereka mempelajari kemahiran yang boleh digunakan sepanjang hayat.

Ibu bapa diharap sentiasa menggalakkan anak bermain dan berpeluh kerana bersukan adalah satu daripada cara yang dapat menghilangkan stres anak.

Oleh Nurul Halawati Azhari
Sumber: BERNAMA [28/09/2012]


Edisi ketiga Milo Play More, Learn More


BERSUKAN bukan sahaja menyihatkan tubuh dan minda, bahkan membentuk jati diri remaja.

KOMITMEN Nestle Milo terhadap kanak-kanak di Malaysia melangkau jauh lebih mendalam bukan hanya sekadar pendidikan asas sukan.

Ia jelas terbukti dengan kesinambungan semula kempen Milo Play More, Learn More yang ketiga dengan penglibatan lebih menyeluruh di seluruh negara.

Ini bermakna program itu melibatkan lebih ramai pelajar dan keluarga, bahkan dengan usaha sama yang lebih kukuh masyarakat setempat.

Sebahagian besar daripada kempen itu akan memberi penekanan mendidik dan pada masa yang sama menyampaikan maklumat kepada ibu bapa bahawa mereka memainkan peranan yang penting bagi menggalakkan anak-anak menjalani gaya hidup aktif serta sihat.

Selain membantu mengelakkan penularan epidemik masalah berat badan berlebihan dan tekanan perasaan, Nestle Milo juga ingin mengingatkan ibu bapa bahawa kegiatan sukan adalah amat penting dalam memastikan tumbesaran yang seimbang anak-anak mereka.

Kebiasaannya oleh kerana ibu bapa begitu mendambakan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka terlupa bahawa aktiviti riadah dan bersukan juga merupakan sebahagian daripada pembangunan diri si kecil.

Milo Play More, Learn More merupakan sebuah kempen yang dibangunkan oleh Nestle Milo pada tahun 2009 mencakupi program di seluruh negara.

Tanggungjawab sosial Milo

Ia bertujuan memupuk serta membangunkan pemahaman yang lebih mendalam rakyat Malaysia mengenai keseimbangan hidup yang sejahtera melalui permainan dan sukan.

Selaku pengeluar minuman kesihatan terbesar di Malaysia, Nestle Milo memikul tanggungjawab untuk menerajui perubahan dalam kehidupan kanak-kanak dengan mempromosikan waktu bermain melalui sukan.

"Sukan merupakan guru yang terbaik untuk mengajar mengenai nilai-nilai murni kehidupan," kata Pengarah Eksekutif, Unit Kopi & Minuman Ringan, Nestle Products Sdn. Bhd., Don Howat.


PELBAGAI keletah peserta dapat dilihat sepanjang kem Milo Play More, Learn More.

"Anda boleh menyampaikan pengajaran yang lebih banyak melalui sukan contohnya bagaimana untuk menerima kekalahan dan kemenangan, kehidupan tidak selalunya adil dan pelbagai perkara lagi.

"Sekiranya anda membenarkan generasi muda membesar dengan pengalaman sedemikian mereka akan berjaya memupuk nilai-nilai murni tersebut.

"Kita telah menyaksikan ramai daripada individu yang membesar dengan melaksanakan aktiviti sukan dapat membangunkan kemahiran yang tidak dapat dipelajari dengan membaca buku," kongsi Howat lagi.

Beliau menambah, Nestle Milo berbangga kerana kempen itu telah berjaya mencapai matlamat untuk mencetuskan perubahan tingkah laku generasi muda dan masyakarat Malaysia dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya.

"Selain menumpukan usaha kepada hak kanak-kanak untuk mendapat lebih masa bermain dan belajar, kami juga menjalankan usaha sama yang rapat dengan masyarakat setempat melalui pelbagai kaedah. Ia bertujuan memberi mereka kefahaman dengan lebih mendalam keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.

"Hari ini, kem dan klinik sukan yang kami anjurkan mendapat sokongan penuh dan diakui pelbagai persatuan ibu bapa dan sekolah," ujar Howat.

Sokongan ibu bapa

Kempen tersebut telah menerima maklum balas yang positif daripada ibu bapa yang menghadiri kem itu.

Seorang peserta, Fadzil Anuar, 41, merasakan bahawa konsep yang dilaksanakan itu amat berjaya, malah mencadangkan kem dan aktiviti-aktiviti seumpamanya harus dikendalikan seberapa kerap kerana ia memberi banyak pendedahan kepada kanak-kanak.

Di kem ini ditunjukkan demonstrasi bagaimana untuk menguruskan sesuatu acara dan juga mendidik mereka mengenai sukan selain secara tidak langsung menggalakkan si kecil untuk bersosial.


SI cilik didedah lebih awal untuk berseronok dengan bersukan.

Sukan bukan sekadar memupuk pemenang sahaja kerana sebuah padang permainan merupakan tempat yang terbaik untuk kanak-kanak mempelajari nilai-nilai sosial dan moral.

Bersukan akan membangun serta memperkukuhkan pelbagai nilai diri seperti kerjasama berpasukan, kesetiaan, pengorbanan, kesungguhan, etika bekerja dan ketahanan mental.

Kelebihan yang dipelajari melalui nilai-nilai murni itu akan menentukan bagaimana kanak-kanak tersebut akan bekerjasama dengan orang lain pada masa depan.

"Lebih ramai kanak-kanak hari ini meminati sukan, tetapi mereka hanya menontonnya di kaca televisyen atau melalui internet. Lebih ramai lagi yang tidak dapat melalui sendiri pengalaman bersukan secara langsung sama ada dengan bersendirian mahupun dengan rakan-rakan.

"Milo Play More, Learn More membuka peluang yang sebenar kepada kanak-kanak dengan membawa persekitaran sukan ke tempat di mana mereka berada," tambah Howat.

Tahun ini Milo Play More, Learn More akan meneruskan usaha mendidik masyarakat di peringkat akar umbi melalui kem sukan Milo dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk belajar, berhubungan dan berkembang melalui sukan.

Tahun ini, kem tersebut dijadualkan untuk turut meliputi Pantai Timur Malaysia dan menjangkau kawasan yang lebih luas serta lebih ramai lagi para pelajar di sekolah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jadual kem, ibu bapa boleh mengunjungi laman web milo.com.my

Sumber: Kosmo [02/10/2012]

2 comments:

Unknown berkata...

budak2 la asyik main game jer

Unknown berkata...

budak dulu aku rase more sihat dari budak sekarang..

sebab budak dulu nak kuar peluh dorang main bola petang2 ke atau ade lah aktiviti ..
now days duk depa pc men games je..

aku rase kuar peluh tu lagik bagus..sihat pun sihat..

ye dak?