15 Oktober 2012
Orang Kelainan Upaya (OKU)
Anak-anak kurang upaya mempunyai keistimewaan jika diasah bakat mereka. - Gambar Hiasan
Orang Kelainan Upaya atau Orang Kurang Upaya?
BEBERAPA tahun lalu, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak memperkenalkan penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menolak penggunaan Orang Kurang Upaya satu terminologi yang telah lama digunakan untuk merujuk kepada mereka yang dianggap 'istimewa'.
Alasannya, mereka ini harus dilihat dalam cara yang betul kerana yang berbeza bukanlah dari segi fizikal tetapi keupayaannya disebabkan oleh sesuatu sebab semulajadi atau kejadian yang diingini. Mereka wajar dinilai kebolehannya berasaskan kelainan keupayaannya berbeza dengan mereka yang dianggap sempurna.
Misalnya USM mengiktiraf seorang siswi cerebral palsy, Tan Chin Chin sebagai penerima Pingat Emas Canselor dalam upacara konvokesyen sebagai graduan serba boleh yang tentunya tidak boleh dibandingkan dengan mereka yang sempurna sepenuhnya dari segi fizikal.
Malah kejayaan Dr. Muzammil Mohd. Noor sebagai seorang ahli akademik yang menggunakan kerusi roda menjadi antara contoh nyata kejayaan mereka yang mempunyai keupayaan berbeza tetapi cemerlang walaupun semasa kecilnya melalui zaman sukar yang sering diperkecilkan.
Baru-baru ini, seorang warga USM yang juga menggunakan kerusi roda kerana masalah kakinya meluahkan perasaan sedih dan kecewa kerana ketika memulakan kerjayanya sebagai seorang kerani melalui pengalaman yang amat sukar. Kedudukan kerusi dan meja, kediaman di asrama yang tidak sesuai, kesukaran untuk menggunakan mesin ATM bank dan pelbagai lagi.
Namun dengan tekad dan semangatnya yang tinggi membolehkannya menjejak kaki ke universiti dan menggenggam segulung ijazah. Kisah-kisah begini menggambarkan betapa kelainan keupayaan bukanlah halangan untuk berjaya jika kita benar-benar prihatin dengan nasib mereka yang berada di sekeliling kita.
Mereka sebenarnya hanya berlainan keupayaan bukannya kurang keupayaan. Ada ketikanya mereka lebih hebat dari kita yang menganggap diri sempurna.
Namun begitu, terdapat alasan tertentu mengapa terminologi Orang Kurang Upaya digunakan terus, malah diterima pakai oleh golongan ini sendiri. Terdapat halangan-halangan tertentu yang menyebabkan ia perlu terus digunakan.
Satu kajian tentang kedudukan OKU dalam masyarakat negara ini telah pun diterbitkan oleh Penerbit USM sebagai rujukan iaitu 'Work and Disablity - A Malaysian Scenario' oleh Dr. Magdalene Ang yang kini seorang tenaga pengajar di Labuan School of International Business and Finance, UMS.
Masalah penggunaan terminologi ini juga banyak dibincangkan dalam buku ini sebagai satu usaha untuk kita lebih memahami tentang kedudukan dan peranan OKU dalam masyarakat dan negara, termasuk sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.
Namun begitu, laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2003 menyatakan kira-kira 200 juta OKU di rantau Asia Pasifik yang tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan, manakala laporan lain pada 2005 pula menyebut walaupun mendapat peluang pekerjaan sebahagian besarnya berpendapatan lebih rendah dari sepatutnya.
Namun, di negara kita, pelbagai usaha dibuat untuk membantu mereka dan diberikan pengiktirafan yang sangat tinggi. Malah Perdana Menteri dalam beberapa kenyataannya menyebut betapa pentingnya kita keluar dari paradigma yang ada terhadap OKU.
Mungkin kita juga tidak pernah terniat untuk memencilkan atau menidakkan hak OKU. Namun, sampai masanya sama ada institusi pengajian dari sekolah sehinggalah ke universiti, organisasi dan institusi lain termasuk industri melihat hal ini dengan teliti. Perkara-perkara yang kita anggap kecil dan mudah mungkin tidak bagi mereka.
Asrama pelajar juga harus melihat dan memberikan sokongan kepada mereka yang masih belajar dari awal mungkin. Kumpulan-kumpulan sokongan daripada pelbagai kelompok harus melihatnya dengan serius. Walaupun pelbagai dorongan, kemudahan dan insentif diberi, yang utama adalah kesungguhan menyediakannya dan menghulurkan bantuan secara berterusan.
Penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali mengungkapkan penghormatan dan kekuatan diri yang berlainan yang sekali gus berkemungkinan memberikan satu persepsi baru yang lebih bermakna kepada OKU. Kita perlu mengiktiraf insan istimewa ini sebagai berlainan keupayaannya, bukannya kurang keupayaannya.
Ia juga mengungkapkan hasrat untuk kita lebih menghargai golongan ini dan melihat keperluan mereka yang sebenarnya. Kita harus merasai bagaimana kesukaran dan kepayahan yang dilalui apatah lagi dengan stigma serong sesetengah kita terhadap kemampuan sebenar mereka.
Bakat yang ada ada pada mereka harus dimanfaatkan dan kitalah yang harus melakukannya. Buku tulisan Dr. Magdalene Ang adalah pembuka mata kita terhadap nasib mereka di negara ini. Lebih banyak rujukan dan dokumentasi kisah mereka harus diusahakan agar masyarakat dapat benar-benar menghayati dan lebih prihatin.
Terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali dapat membantu untuk kita memberikan kelainan persepsi dan pemikiran terhadap mereka yang boleh kita ketengahkan, namun jika ada kesukaran dan halangan, gunalah apa jua terminologi yang dapat membantu mengangkat mereka ke tahap yang sewajarnya, walaupun Orang Kurang Upaya yang telah kita guna sekian lama.
Oleh MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia.
Sumber: Utusan [23/08/2012]
Peluang OKU Dalam Perkhidmatan Awam
Kerajaan sentiasa menyediakan peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memegang jawatan dalam Perkhidmatan Awam sesuai dengan kemahiran mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata sungguhpun secara keseluruhan pelantikan golongan itu dalam sesuatu skim perkhidmatan awam kini masih rendah, bagi sesetengah skim, pelantikan mereka adalah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008.
"Misalnya untuk tahun 2012, untuk skim Pembantu Makmal daripada 11 kekosongan lima daripadanya adalah OKU, iaitu lebih 45 peratus manakala untuk skim Pembantu Tadbir Undang-undang, dua daripada 45 kekosongan atau hampir lima peratus diisi oleh golongan OKU," katanya.
Beliau berkata Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2008 menetapkan satu peratus daripada jumlah pegawai serta kakitangan sesebuah agensi kerajaan hendaklah terdiri daripada golongan OKU, tertakluk kepada permohonan dan kesesuaian bidang.
Katanya, pada 2010 seramai 132 OKU dilantik dalam perkhidmatan awam, 53 dilantik pada tahun 2011 lepas manakala sehingga September tahun 2012 ini, 82 OKU telah dilantik.
Sumber: BERNAMA [15/10/2012]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
OKU pun ada kelebihan mereka sendiri...
Catat Ulasan