11 Oktober 2012

SBA Semak Kelayakan Ke SBP Mulai 2014



Mulai 2014, pengambilan pelajar Tingkatan Empat ke sekolah berasrama penuh (SBP) akan ditentukan melalui sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sistem itu mengambil kira pencapaian cemerlang pelajar sepanjang sesi persekolahan, termasuk aktiviti kokurikulum dan latar belakang keluarga.

Ia berikutan pemansuhan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang kali terakhir akan diadakan membabitkan pelajar Tingkatan Tiga tahun 2013 depan.


Tahun terakhir PMR

“Tahun depan (2013) adalah tahun terakhir kita adakan PMR, kita sudah buat keputusan 2014, peperiksaan ini kita tidak akan adakan lagi.

“Peperiksaan berpusat hanya ada dua saja iaitu untuk Tahun Enam, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Tingkatan Lima, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun begitu, kita putuskan supaya kita terus buat penilaian pentaksiran berasas sekolah. Walaupun tidak ada peperiksaan berpusat pelajar boleh diukur tahap pencapaian mereka berasas pentaksiran yang dikendalikan sekolah dan turut dipantau Lembaga Peperiksaan supaya soalan itu (peperiksaan) setara, berkualiti bagi mengukur sejauh mana kejayaan pelajar,” katanya.

Mengulas sistem pentaksiran bagi menentukan pencapaian pelajar, Muhyiddin berkata pihaknya mempunyai sistem tersendiri bagi membolehkan ibu bapa mengetahui sejauh mana pencapaian anak mereka.

Ia juga katanya, membantu sekolah menilai kekurangan atau kelemahan pencapaian pelajar dan sekolah bagi membolehkan usaha peningkatan dilaksana.

Persekolahan satu sesi

Mengenai pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi, Muhyiddin berkata ia dijangka mengambil masa lima hingga 10 tahun untuk dilaksanakan.

“Setakat sekarang, kurang 20 peratus sekolah di seluruh negara yang mempunyai sekolah dua sesi, mungkin sebahagian besar sudah pun ada satu sesi,” katanya.

“Kalau boleh buat semua satu sesi dengan cara tambah bilik darjah. Tiada masalah guru, cuma masalah kelas sebab sesetengah tempat kita tidak dapat ramalkan bilangan pelajar yang meningkat begitu besar, jadi terpaksa diadakan dua sesi.

“Mengenai kemudahan, kalau dapat peruntukan besar sikit, kita akan dapat tingkatkan kemudahan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sumber: BHarian [2012/10/11]

0 comments: