11 Oktober 2012
Kepentingan TASKA Di Tempat Kerja
BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah.
Bukan juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.
Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai.
Kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.
Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal.
Ini berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.
Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya.
Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.
Soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.
Hendak membawa anak ke pejabat pada waktu-waktu genting kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.
Untuk mencari pembantu rumah, lebih-lebih lagi dengan macam-macam ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, 'demand' dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi tekanan lain pula.
Kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja.
Sehubungan itu, kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini.
Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya.
Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri.
Jika boleh membina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska.
Kemudahan ini secara tidak langsung, akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa tenang untuk bekerja kerana tidak perlu terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.
Dalam pada itu, mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat.
Jadi masa akan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja.
Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja.
Dalam menyediakan pusat taska di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar tangkap muat.
Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya memberikan tekanan yang serupa kepada ibu yang bekerja.
Oleh Fauziah Arof
Sumber: Utusan
~Gambar Hiasan~
Kelegaan pada ibu
Bagi Pengerusi Persatuan Pengasuh Berdaftar (PPBM) Malaysia, Shamsinah Che Shariff, ini merupakan usaha kerajaan bagi membawa kembali kaum wanita ke dalam dunia pekerjaan.
"Satu kelebihan kepada kaum ibu untuk bekerja dengan tenang dan lapang apabila anak mereka diasuh di tempat jagaan yang berkualiti dan selamat," katanya.
PPBM yang juga turut serta dalam perbincangan berhubung pembukaan taska ini, menggalakkan bukan sahaja syarikat-syarikat swasta, malah jabatan dan agensi kerajaan turut sama membuka taska di tempat kerja.
"Kami juga ada memberi beberapa cadangan kepada syarikat untuk berkongsi taska memandangkan terdapat syarikat yang kurang mendapat permintaan untuk pembukaan taska.
"Pihak kami mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam memberi pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti memandangkan pihak kerajaan telah menyediakan geran bagi pembukaan taska berhampiran dengan tempat kerja," katanya.
Berhubung yuran, Shamsinah berkata, perkara itu bergantung pada program yang disediakan dan terpulang pada pihak majikan dalam pemberian subsidi kepada pekerja yang menghantar anak-anak mereka di pusat asuhan tersebut.
"Ini juga dilihat sebagai satu tanggungjawab majikan bagi meringankan beban pekerja dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk masuk semula ke dunia pekerjaan," tambah beliau.
Perkara ini turut memberi peluang kepada pengusaha taska untuk merebut peluang untuk membuka taska baru dan memberi perkhidmatan yang lebih baik.
Oleh NOR FARHANI CHE AD
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
kalau ada taska kat pejabat , tak ke nanti bos marah..
nampak taska sekarang asik kes dera , tercekik susu bagai..hisy..
pas kawen nak jaga anak je sindri :P
ramai ibu yg lebih percaya anta umah pengasuh...
Catat Ulasan