06 Oktober 2012

Sindiket Wang Pinjaman Tak Wujud



Seramai 776 individu mengalami kerugian berjumlah RM15 juta apabila menjadi mangsa penipuan sindiket peminjam wang yang tidak wujud sejak tahun lalu hingga sekarang.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Lim Char Boo berkata, mangsa terdiri dari kalangan yang ingin memulakan perniagaan, peniaga kecil-kecilan serta individu yang mahu mendapat pinjaman wang tunai segera tanpa kerenah birokrasi bank.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengiklankan perkhidmatan mereka melalui kad perniagaan yang ditampal di lokasi tumpuan ramai, mengedar risalah atau menghebahkannya melalui sistem pesanan ringkas yang dihantar secara rawak.


"Mangsa yang ingin membuat pinjaman akan menghubungi nombor yang tertera pada iklan itu dan mereka kemudiannya akan diarah oleh sindiket untuk memasukkan wang ke akaun tertentu pada kadar RM1,000 hingga RM5,000 sebagai wang proses," katanya.

Lim berkata, bagi mengaburi mangsa, anggota sindiket berkenaan juga biasanya akan menyamar sebagai pegawai dari institusi kewangan yang kononnya boleh membantu menguruskan pinjaman dengan cepat sebelum bertindak menghilangkan diri selepas wang pemerosesan pinjaman diperolehi.

Lim berkata, kes-kes seperti itu sukar dikesan memandangkan sindiket menggunakan akaun bank serta nombor telefon kepunyaan orang lain yang mana siasatan polis mendapati ia biasanya dimiliki penagih dadah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang menawarkan sebarang pinjaman peribadi yang kini semakin berleluasa dan, jika perlu, merujuk terlebih dahulu dengan agensi berkaitan untuk pengesahan.

"Jika ingin membuat pinjaman, hadirlah sendiri ke mana-mana institusi kewangan yang diketahui umum atau memohonnya melalui agensi pemberi pinjaman wang berlesen, bukannya hanya sekadar melalui panggilan telefon," katanya. - BERNAMA

Sumber: BHarian [05/10/2012]

1 comments:

Seri berkata...

kesenangan dan kekayaan tak datang dengan sekelip mata...jalan pintas selalunya membawa kepada kerugian...