21 Oktober 2012

Suami Tak Perlu Minta Izin Untuk Poligami



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa undang-undang syariah di Malaysia memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata sebaliknya keputusan sama ada lelaki berkenaan dibenarkan berpoligami atau tidak bergantung kepada budi bicara Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, beliau berkata kebiasaannya Mahkamah Syariah akan memanggil isteri pertama untuk memaklumkan bahawa suami bakal berkahwin satu lagi.

“Mengikut sistem perundangan Islam suami memang tidak perlu meminta kebenaran isteri untuk berkahwin lebih daripada satu atau berpoligami.


Perlu buat permohonan

“Bagaimanapun, mana-mana lelaki yang mahu berpoligami perlu membuat permohonan ke Mahkamah Syariah bagi menentukan sama ada layak atau tidak berkahwin lebih dari satu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan mengenai lelaki Islam di Pulau Pinang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama untuk berpoligami. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussien, berkata enakmen syariah negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran isteri pertama.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, juga dipetik sebagai berkata suami yang mahu berkahwin lebih daripada satu tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kerana ia tidak terkandung dalam enakmen syariah di semua negeri.

Ambil masa 21 hari 

Mengikut Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam yang hampir seragam di semua negeri, suami diberikan hak berpoligami dan hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah.

Zainul Rijal berkata permohonan mengambil masa hampir 21 hari dan akan dinilai oleh Mahkamah Syariah sebelum mendapat kebenaran.

“Empat elemen utama dinilai mahkamah, iaitu keperluan perkahwinan, kemampuan suami, boleh berlaku adil dan tidak mendatangkan kemudaratan pada isteri.

Sumber: BHarian


~ Gambar Hiasan ~

Poligami: Ikut syariat atau nafsu

PANDANGAN seorang lelaki terhadap wanita lanjut umur (35 tahun ke atas) rugi kerana tidak berpeluang hidup berumahtangga dan kupasan Fauziah Arof tidak salah dengan fenomena tersebut kerana setiap wanita memikirkan kebahagiaan daripada segala-galanya. (Rujuk: Syed Abdulllah Syed Othman Jamalullail, Longgarkan Syarat Berpoligami dan Fauziah Arof, Hanya Memudahkan Poligami, Bukan Misi Penyelamat, Utusan Malaysia, 16 dan 17 Oktober, 2012).

Bagi Fauziah, tidak salah seorang wanita yang bekerjaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangannya kerana tidak mahu kecundang akibat tersalah pilih. Atas sikap hati-hati dan berwaspada itulah ada menyebabkan wanita sukar memperoleh pasangan lelaki yang baik kerana calon-calon semakin berkurangan ataupun tidak mahu terjerat dalam putaran berkongsi suami.

Sementara itu, bagi Syed Abdullah, seperti kebanyakan lelaki normal bercakap tentang keinginan dengan harapan dapat melihat fenomena andartu dikurangkan walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya secara mutlak.

Islam memberikan kebenaran untuk berpoligami dengan syaratnya dan bukanlah sebagai terjahan naluri 'ego' kerana wujud perspektif seseorang yang berkahwin lebih dari seorang pada suatu masa 'hebat' kerana berjaya menakluki dan mencairkan hati lebih seorang wanita.

Persoalan yang ditetapkan oleh agama tidak menjadi pertimbangan utama kerana konsep keadilan itu juga telah dipersimpangkan sebagai 'sama rata, sama rasa'. Contoh yang jelas ialah bagaimana Fauziah melihat keadilan itu antaranya, "pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya."

Bagaimanapun Fauziah melihat perspektif selanjutnya iaitu perasaan perempuan bekerjaya takutkan lelaki mengambil kesempatan atas kedudukan itu kerana pada masa sekarang memang sukar untuk mencari lelaki jujur dan ikhlas dalam perkahwinan. Wanita menjadi sedikit gusar apabila kadar penceraian kian bertambah dan ini memeritkan ramai orang kerana perkahwinan itu mudah tetapi hidup bersama hingga ke akhir hayat teramat payah.

Sebelum Islam, konsep berpoligami banyak berkisar atas keinginan seseorang lelaki. Dunia seolah-olah diterajui sepenuhnya oleh lelaki dan dikenali sebagai patriarki. Apabila Islam diturunkan, poligami tidak diharamkan tetapi diletakkan syarat ketat, iaitu berlaku adil.

Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya. Hak lelaki berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia adalah hak Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin berpoligami.

Ini bermakna, ada sebab yang munasabah Islam memberikan kelonggaran untuk lelaki berkahwin lebih seorang dan tidak boleh berlandaskan naluri seks semata-mata sebagaimana menjadi faktor lelaki masa kini menambah bilangan isteri.

Apakah cadangan Syed Abdullah itu dibuat dengan alasan untuk "menyempurnakan kehidupan berumah tangga kepada setiap wanita" manakala Fauziah tidak bersetuju kelonggaran syarat kerana ramai lelaki suka mengambil kesempatan. Wanita semakin sedar, dirinya bukanlah objek yang mudah dipergunakan kerana kesedaran muncul dalam diri, tidak bererti hidup membujang itu sesuatu yang salah dan tidak bahagia.

Menurut Maulana Wahidudin Khan, "Perintah poligami, meskipun nampaknya lazim dipraktikkan, hanya diberikan sebagai solusi bagi mengatasi masalah sosial yang serius. Poligami memberi jalur bagi jumlah perempuan yang berlebih untuk dapat menyelamatkan diri daripada anarki seksual, dan untuk dapat mempunyai kehidupan keluarga yang stabil dan layak. Ertinya, di sini bukan masalah menerima poligami ketimbang monogami, melainkan memilih antara poligami dan anarki sosial."( Antara Islam dan Barat: Perempuan di Tengah Pergumulan, 2001:240-241)

Nyatalah bahawa perspektif poligami yang dibenarkan oleh Islam secara teorinya seolah-olah memberikan kelebihan kepada lelaki, tetapi jika dianalisis dalam perspektif struktur masyarakat, poligami lebih menguntungkan wanita, merupakan jalan keluar terbaik bagi menghindari masalah perempuan dan memenuhi keperluan sosial.

Poligami menimbulkan pelbagai prasangka apabila kelonggaran itu dilihat sebagai 'kontra budaya' oleh gerakan feminisme yang secara lantangnya diwujudkan oleh wanita profesional dan terlibat dalam gerakan buruh pada 1960-an. Mereka memperjuangkan persamaan gender sehingga merosakkan persekitaran moral dan kehidupan bermasyarakat kerana menilai institusi keluarga sebagai "bagasi kehidupan yang semakin berat dan sarat."

Gerakan feminisme sentiasa berjuang secara bertentangan dengan kelaziman sehingga menganggap hidup keseorangan tanpa berkeluarga itu adalah perubahan yang mesti dihormati oleh semua orang. Ia adalah pilihan yang wajib dihormati. Bagi membangunkan keluarga memerlukan kesiapan mental, fizikal dan ilmu. Itulah sebabnya ada ketetapan bahawa sebelum berkahwin perlu menjalani kursus praperkahwinan, tetapi setelah berkeluarga tidak disyaratkan pula menjalani kursus keibubapaan.

Itulah sebabnya, banyak keluarga berantakan manakala perkahwinan semakin bermasalah sehingga dari segi statistiknya amat mencemaskan. Rasa takut sebenarnya punca mengapa ramai mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan dan kecenderungan ini semakin membesar dalam masyarakat.

Contohnya, hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010, 2.5 juta jumlah penduduk berusia lebih 25 tahun masih belum berkahwin, yakni 60.4 peratus adalah lelaki berbanding 39.6 peratus adalah wanita. Masyarakat masih melihat, fenomena lelaki lambat kahwin bukanlah masalah besar berbanding dengan wanita.

Dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 (2004), hampir separuh lelaki memberikan jawapan faktor yang melambatkan mereka berkahwin ialah masalah kewangan (44.7%), kemudian diikuti tiada calon yang sesuai (19.3%), kerjaya (12.8%), komitmen keluarga (6.3%) dan sebab-sebab lain.

Wanita belum berkahwin kerana tiada calon yang sesuai (40%), masalah kewangan (14%), kerjaya (8.4%), selesa hidup membujang (8.4%), komitmen keluarga (7.4%) dan sebagainya.

Dapatan ini memberikan pemahaman faktor calon merupakan masalah yang kritikal bagi wanita manakala bagi lelaki ialah kewangan.

Lelaki mula merasakan agak perit untuk berkahwin kerana belanja kahwin semakin meningkat hingga ada ketikanya keluarga perempuan meletakkan mas kahwin melebih RM10,000 atas alasan, perlu dinaikkan kerana nilai wang semakin kecil dan kos sara hidup semakin tinggi.

Perkahwinan yang mahal dan besar, penuh gemilang bukanlah jaminan memperoleh bahagia. Oleh itu, perlu realistik dalam membuat pilihan pasangan, meletakkan mas kahwin dan hantaran, majlis kenduri dan resepsi. Idealisme tidak dapat dipenuhi sepenuhnya bahkan idealisme tidak pernah menghasilkan kejayaan secara total.

Perkongsian dalam keluarga mestilah bermula dengan keazaman kuat membina keluarga bahagia dengan menepis ego dan merapatkan jurang perbezaan psikologi. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya perkahwinan selebriti dan nilai budaya feminisme, kerana pengaruh itulah banyak menjadikan pasangan rapuh dan rawan penceraian.

Apa pun, sepatutnya kita perlu menyatakan pendirian yang sederhana dalam menanggapi masalah poligami ini. Kita tidak perlu melenting kuat dan menolak serta-merta sekiranya poligami menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan masalah keluarga mahupun masalah sosial. Pasti ada hikmah yang terkandung di dalamnya.

Kita juga tidak boleh menerima secara total implementasi poligami yang mempunyai peluang besar untuk disalah guna oleh kaum lelaki dan disalah erti maksud sebenar tujuan poligami. Perlu ada sebab musabab kuat yang tidak boleh dicari jalan keluarnya bagi membolehkan poligami dilaksanakan.

Kalaulah persekitaran itu dapat dicemerlangkan, maka fenomena berkahwin di lewat tempoh kesuburan berjaya dikurangkan. Persoalan poligami bukanlah masalah besar kerana seorang suami akan merasakan dosa yang besar apabila gagal berlaku adil ke atas isteri-isterinya. Poligami mempunyai kemanisannya jika berjalan secara bijaksana, tetapi kebanyakannya menjadi 'neraka' jika ia diasaskan atas keinginan seksual dan berlangsung tanpa restu isteri pertama.

Kemampuan kewangan haruslah menjadi ukuran kerana sebagai seorang lelaki, adalah dayus jika mengharapkan isteri menyara kehidupan berkeluarga, kecualilah dalam keadaan suami berhadapan dengan penyakit dan kecacatan fizikal (atau mental). Lelaki mestilah kembali menjadi kelompok yang kuat, sihat dan perkasa (fizikal dan mental) bukan hanya bermain sandiwara memikat wanita cantik dan berkerjaya.

Maka setiap orang yang berhasrat berpoligami, sama ada atas alasan lewat usia dan keinginan berkeluarga serta cabaran budaya atau masyarakat hendaklah menghormati apa sebenarnya institusi keluarga. Ia bukanlah perhitungan berdasarkan idealisme semata-mata, ia amalan yang amat memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan hakisan sempadan ego diri.

Oleh: DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sumber: Utusan

2 comments:

Ku Syida berkata...

Seronok lah lelaki2 sekalian..kannn? hehehehe...

Dayang Deno berkata...

kalau mampu takpe.. ni tak mampu nak kawen ramai jgk.. mula la isteri2 terbiar... betul tak koding?